Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Beranilah dan Mulakanlah Pekerjaan Anda

Beranilah dan Mulakanlah Pekerjaan Anda

‘Engkau harus yakin dan berani. Mulakanlah pekerjaan itu dan jangan gentar terhadap apa-apa pun. Yehuwa akan menolong engkau.’​—1 TAW. 28:20.

LAGU: 38, 34

1, 2. (a) Apakah tugas penting yang diberikan kepada Salomo? (b) Mengapakah Daud berasa risau tentang Salomo?

 YEHUWA telah mengarahkan Salomo untuk menyelia sebuah projek pembinaan yang terpenting dalam sejarah manusia, iaitu pembinaan ‘Rumah Tuhan Yehuwa’ di Yerusalem. Bangunan itu “harus sangat indah dan termasyhur di seluruh dunia.”​—1 Taw. 22:1, 5, 9-11.

2 Raja Daud yakin akan sokongan Tuhan, tetapi Salomo “masih muda dan kurang pengalaman.” Adakah hal ini akan menjadi suatu halangan? Adakah Salomo dapat memiliki keberanian untuk membina Rumah Tuhan? Jika ingin berjaya, Salomo perlu berani dan memulakan pekerjaan itu.

3. Apakah yang dapat dipelajari oleh Salomo daripada bapanya?

3 Salomo belajar tentang keberanian daripada bapanya. Semasa muda, Daud berlawan dengan binatang liar yang menyerang domba bapanya. (1 Sam. 17:34, 35) Dia juga menunjukkan keberanian semasa berhadapan dengan seorang gergasi yang bernama Goliat. Dengan bantuan Tuhan, Daud menggunakan sebiji batu untuk mengalahkan gergasi itu.—1 Sam. 17:45, 49, 50.

4. Mengapakah Salomo memerlukan keberanian?

4 Daud memang orang yang sesuai untuk menggalakkan Salomo agar berani dan membina Rumah Tuhan. (Baca 1 Tawarikh 28:20.) Jika Salomo dikuasai ketakutan, dia langsung tidak dapat memulakan pekerjaannya. Hal itu lebih teruk daripada mengalami kegagalan.

5. Mengapakah kita memerlukan keberanian?

5 Seperti Salomo, kita memerlukan bantuan Yehuwa untuk memupuk keberanian dan melaksanakan tugas kita. Mari kita lihat beberapa watak Bible yang berani dan cara kita dapat meniru mereka agar dapat melaksanakan tugas kita.

TELADAN ORANG YANG BERANI

6. Apakah yang mengagumkan anda tentang keberanian Yusuf?

6 Bayangkan keberanian yang harus ditunjukkan oleh Yusuf semasa isteri Potifar cuba menggodanya untuk melakukan hubungan seks. Jika dia enggan bersetuju dengan pujukannya, dia akan mengalami akibat buruk. Namun, Yusuf tidak menyerah kepada ketakutan. Dengan berani, dia segera menolak godaan itu.​—Kej. 39:10, 12.

7. Jelaskan bagaimana Rahab menunjukkan keberanian. (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

7 Rahab juga menunjukkan keberanian. Apabila pengintip Israel datang ke rumahnya di Yerikho, dia sebenarnya boleh berasa gentar dan menghalau mereka. Namun, keyakinan terhadap Yehuwa telah memberinya keberanian untuk menyembunyikan dua pengintip itu dan membantu mereka melarikan diri. (Yos. 2:4-6, 9, 12-16) Rahab percaya bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang benar, dan Yehuwa akan menyerahkan negeri Kanaan ke dalam tangan orang Israel. Dia tidak tunduk kepada rasa takut akan orang lain, termasuk raja Yerikho dan utusan raja. Sebaliknya, dia mengambil tindakan yang akhirnya menyebabkan dirinya dan keluarganya terselamat.​—Yos. 6:22, 23.

8. Bagaimanakah keberanian Yesus mempengaruhi para rasulnya?

8 Para rasul Yesus juga menunjukkan keberanian. Mereka pernah melihat cara Yesus menunjukkannya, dan hal itu membantu mereka meneladaninya. (Mat. 8:28-32; Yoh. 2:13-17; 18:3-5) Sewaktu ditentang oleh golongan Saduki, mereka tidak berhenti mengajar orang menurut nama Yesus.—Kis. 5:17, 18, 27-29.

9. Menurut 2 Timotius 1:7, bagaimanakah kita dapat memiliki keberanian?

9 Yusuf, Rahab, Yesus, dan para rasul bertekad untuk melakukan kerja yang baik. Keberanian mereka itu bukan kerana mereka terlalu yakin pada diri sendiri, tetapi kerana mereka bergantung pada Yehuwa. Semasa kita memerlukan keberanian, bergantunglah pada Yehuwa, bukannya diri sendiri. (Baca 2 Timotius 1:7.) Mari kita lihat cara untuk menunjukkan keberanian dalam dua aspek kehidupan: keluarga dan sidang.

SITUASI YANG MEMERLUKAN KEBERANIAN

10. Mengapakah kaum muda Kristian memerlukan keberanian?

10 Kaum muda Kristian menghadapi banyak situasi yang memerlukan keberanian. Mereka dapat meneladani Salomo yang menunjukkan keberanian semasa membuat keputusan bijak untuk menyelesaikan pembinaan Rumah Tuhan. Walaupun kaum muda dapat dan harus meminta bimbingan ibu bapa, mereka sendiri perlu membuat keputusan. (Ams. 27:11) Kaum muda perlu berani semasa memilih pergaulan dan hiburan yang sihat, tetap murni secara moral, dan membaktikan diri kepada Tuhan. Hal ini kerana keputusan sebegini menimbulkan kemarahan Syaitan yang mencela Tuhan.

11, 12. (a) Bagaimanakah Musa menunjukkan teladan dalam soal keberanian? (b) Bagaimanakah kaum muda dapat meniru teladan Musa?

11 Salah satu keputusan penting yang harus dibuat oleh kaum muda berkaitan dengan matlamat mereka. Di sesetengah tempat, kaum muda ditekan untuk mengejar pendidikan tinggi dan mendapatkan kerja dengan gaji yang lumayan. Di tempat lain pula, ekonomi yang merosot menyebabkan kaum muda berasa bahawa mereka perlu bertumpu untuk membantu keluarga mereka. Jika anda berada dalam situasi sebegini, fikirkan contoh Musa. Musa dibesarkan oleh puteri Firaun, jadi dia boleh mengejar kekayaan dan kemasyhuran. Bayangkan tekanan yang diterimanya daripada keluarganya di Mesir, gurunya, dan penasihatnya! Tetapi Musa berani dan berpegang teguh pada ibadat sejati. Setelah meninggalkan kekayaan di Mesir, Musa bergantung pada Yehuwa. (Ibr. 11:24-26) Hasilnya, dia diberkati Yehuwa pada masa itu dan akan diberkati dengan melimpah pada masa depan.

12 Begitu juga, Yehuwa akan memberkati kaum muda yang berani menetapkan matlamat rohani dan mengutamakan Kerajaan Tuhan. Dia akan menjaga keperluan mereka dan keluarga mereka. Pada abad pertama, Timotius yang muda mengejar matlamat rohani, dan anda juga dapat melakukannya. *​—Baca Filipi 2:19-22.

Adakah anda bertekad untuk menjadi berani dalam semua aspek kehidupan anda? (Lihat perenggan 13-17)

13. Bagaimanakah keberanian seorang saudari membantunya mencapai matlamatnya?

13 Seorang saudari di Alabama, A.S., memerlukan keberanian untuk menetapkan matlamat rohani. Dia menulis, “Saya pemalu sejak kecil. Saya berasa susah untuk bercakap dengan orang di Dewan Perjumpaan, apatah lagi menginjil kepada orang yang tidak dikenali.” Dengan bantuan ibu bapanya dan saudara saudari, dia dapat mencapai matlamat untuk menjadi perintis biasa. Dia berkata, “Dunia Syaitan mengagung-agungkan pendidikan tinggi, kemasyhuran, kekayaan, dan harta benda. Namun, matlamat sedemikian susah dicapai dan menyebabkan keperitan. Sebaliknya, khidmat Yehuwa memberi saya kebahagiaan dan kepuasan.”

14. Ibu bapa Kristian perlu menunjukkan keberanian dalam situasi seperti apa?

14 Ibu bapa Kristian juga perlu berani. Misalnya, majikan anda mungkin selalu menyuruh anda bekerja lebih masa pada waktu malam atau hujung minggu, iaitu masa yang anda khaskan untuk penyembahan keluarga, kerja penyebaran, dan perjumpaan. Anda perlu berani untuk menolak permintaan itu dan menetapkan teladan baik bagi anak anda. Selain itu, sesetengah ibu bapa di sidang mungkin membenarkan anak mereka melakukan sesuatu yang anda tidak ingin anak anda lakukan. Ibu bapa itu mungkin mempersoalkan tindakan anda. Adakah anda akan menunjukkan keberanian dan menjelaskan sebabnya dengan sopan?

15. Bagaimanakah Mazmur 37:25 dan Ibrani 13:5 membantu ibu bapa?

15 Kita menunjukkan keberanian dengan membantu anak-anak kita untuk menetapkan dan mencapai matlamat rohani. Contohnya, sesetengah ibu bapa berasa ragu-ragu untuk menggalakkan anak mereka menjadi perintis, berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan, berkhidmat di Bethel, atau menyertai projek pembinaan teokratik. Ibu bapa mungkin berasa takut jika anak mereka tidak dapat menjaga mereka apabila mereka tua. Namun, ibu bapa yang bijak akan berani dan yakin terhadap janji Yehuwa. (Baca Mazmur 37:25; Ibrani 13:5.) Ibu bapa yang berani dan bergantung pada Yehuwa akan membantu anak mereka untuk menunjukkan sifat yang sama.​—1 Sam. 1:27, 28; 2 Tim. 3:14, 15.

16. Bagaimanakah sesetengah ibu bapa membantu anak mereka menetapkan matlamat rohani, dan bagaimanakah hal ini membawa manfaat?

16 Sepasang suami isteri di Amerika Syarikat membantu anak mereka menetapkan matlamat rohani. Suami itu berkata, “Sebelum anak-anak kami dapat berjalan dan bercakap, kami akan bercerita kepada mereka tentang sukacita merintis dan membantu sidang. Kini, itulah matlamat mereka. Matlamat rohani membantu anak kami menolak tekanan daripada dunia Syaitan dan bertumpu kepada khidmat Yehuwa.” Seorang lagi saudara yang mempunyai dua orang anak menulis, “Banyak ibu bapa mencurahkan tenaga dan wang untuk membantu anak-anak mereka mencapai matlamat dalam sesetengah hobi, pendidikan, atau sukan. Alangkah baiknya jika tenaga dan wang itu digunakan untuk membantu anak kita mencapai matlamat rohani dan memiliki hubungan baik dengan Yehuwa. Melihat anak-anak kami berusaha dan akhirnya mencapai matlamat rohani mereka merupakan sumber sukacita dan berkat bagi kami.” Anda boleh yakin bahawa Tuhan akan memberkati ibu bapa yang membantu anak mereka mencapai matlamat rohani.

TUNJUKKAN KEBERANIAN DALAM SIDANG

17. Apakah contoh yang memerlukan kita menunjukkan keberanian dalam sidang?

17 Kita juga perlu menunjukkan keberanian dalam sidang. Contohnya, para penatua perlu berani semasa menangani kes pengadilan atau kes kecemasan perubatan yang mengancam nyawa saudara saudari. Sesetengah penatua mengunjungi banduan di penjara untuk menjaga keperluan rohani mereka. Bagaimana pula dengan saudari yang bujang? Terdapat banyak peluang untuk meluaskan khidmat mereka dengan merintis, berpindah ke tempat yang memerlukan bantuan, menyertai program Reka Bina Tempatan, dan memohon menghadiri Sekolah Latihan Penginjil. Ada yang bahkan berpeluang menghadiri Sekolah Gilead.

18. Bagaimanakah saudari yang tua dapat menunjukkan keberanian?

18 Saudari yang lebih tua merupakan berkat bagi sidang. Kita sangat mengasihi mereka! Ada antara mereka yang tidak lagi dapat bergiat seperti dahulu dalam khidmat kepada Yehuwa, namun mereka masih dapat menunjukkan keberanian dan terus melakukan tugas mereka. (Baca Titus 2:3-5.) Misalnya, seorang saudari yang tua perlu berani jika dia diminta untuk bercakap kepada saudari yang muda tentang pakaian dan dandanan. Dia tidak akan memarahi saudari itu, sebaliknya dia akan menggalakkan saudari itu untuk memikirkan bagaimana cara pemakaiannya dapat mempengaruhi orang lain. (1 Tim. 2:9, 10) Tindakan yang pengasih sebegini mungkin membawa hasil yang positif.

19. (a) Bagaimanakah saudara yang dibaptis dapat menjadi berani? (b) Bagaimanakah Filipi 2:13 dan 4:13 membantu para saudara memupuk keberanian?

19 Saudara yang dibaptis juga perlu menunjukkan keberanian. Saudara yang berani memikul lebih banyak tugas merupakan berkat bagi sidang. (1 Tim. 3:1) Namun, sesetengah saudara mungkin teragak-agak untuk berbuat demikian. Ada yang mungkin pernah berbuat silap pada masa dahulu, dan kini berasa tidak layak menjadi pembantu sidang atau penatua. Ada juga yang meragui kebolehan sendiri. Jika anda berasa begitu, Yehuwa dapat membantu anda menjadi berani. (Baca Filipi 2:13; 4:13.) Ingatlah, Musa juga pernah berasa tidak layak untuk memikul tanggungjawab daripada Yehuwa. (Kel. 3:11) Namun, Yehuwa membantu Musa menjadi berani dan melaksanakan tugasnya. Saudara yang dibaptis dapat memupuk keberanian sebegini dengan berdoa kepada Yehuwa, membaca Bible setiap hari, dan membuat perenungan. Dia juga boleh menawarkan diri untuk membantu para penatua dan meminta mereka untuk melatihnya. Kami menggalakkan semua saudara yang dibaptis untuk menjadi berani dan bekerja keras dalam sidang!

‘YEHUWA AKAN MENOLONG ENGKAU’

20, 21. (a) Apakah keyakinan yang diberikan oleh Daud kepada Salomo? (b) Kita boleh yakin akan hal apa?

20 Raja Daud mengingatkan Salomo bahawa Yehuwa akan menyertainya sehingga pembinaan Rumah Tuhan selesai. (1 Taw. 28:20) Walaupun Salomo masih muda dan kurang pengalaman, dia tidak membiarkan hal ini menjadi halangan kerana dia merenungkan kata-kata bapanya. Dia menunjukkan keberanian, bekerja keras, dan dengan bantuan Yehuwa, dia berjaya membina Rumah Tuhan yang indah dalam masa tujuh tahun setengah.

21 Sebagaimana Yehuwa membantu Salomo, Dia juga akan membantu anda untuk berani dan melaksanakan tugas anda, tidak kira dalam keluarga atau sidang. (Yes. 41:10, 13) Jika kita menunjukkan keberanian dalam khidmat kepada Yehuwa, kita pasti akan diberkati sekarang dan juga pada masa depan. Oleh itu, beranilah dan mulakanlah pekerjaan anda.

^ per. 12 Untuk mengetahui langkah-langkah praktikal tentang menetapkan matlamat rohani, sila baca rencana “Gunakanlah Cita-Cita Rohani untuk Memuliakan Pencipta Saudara” dalam majalah Menara Pengawal terbitan 15 Julai 2004 dalam bahasa Indonesia.