Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 39

Berikanlah Sokongan kepada Para Saudari!

Berikanlah Sokongan kepada Para Saudari!

“Wanita-wanita yang mengisytiharkan berita baik bagaikan angkatan tentera yang besar.”​—MZM. 68:11.

LAGU 137 Saudari Kristian, Wanita Setia

PENGENALAN *

Saudari-saudari kita yang rajin dan bersemangat membantu menyelenggarakan Dewan Perjumpaan, mengambil bahagian semasa perjumpaan, keluar menginjil, dan mengambil berat terhadap rakan seiman (Lihat perenggan 1)

1. Apakah sumbangan para saudari kepada organisasi kita? Namun, apakah cabaran yang dihadapi mereka? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

KITA amat bersyukur kerana terdapat banyak saudari yang rajin di sidang! Mereka mengambil bahagian semasa perjumpaan, menyertai kerja penyebaran, mengambil berat terhadap rakan seiman, dan ada yang membantu menyelenggarakan Dewan Perjumpaan. Namun, mereka juga menghadapi cabaran. Ada yang perlu menjaga ibu bapa yang lanjut usia, manakala yang lain mungkin ditentang oleh ahli keluarga. Sesetengah saudari kita pula merupakan ibu tunggal dan perlu bekerja keras untuk menjaga anak mereka.

2. Mengapakah kita harus memberikan sokongan kepada para saudari?

2 Kita harus memberikan sokongan kepada para saudari, kerana kebanyakan orang di dunia tidak menghormati kaum wanita dan tidak melayan mereka dengan cara yang sepatutnya. Selain itu, Bible menggalakkan kita untuk memberikan sokongan kepada para saudari. Misalnya, Paulus mengingatkan sidang di Roma untuk menyambut Fibi dan ‘membantu dia jika dia memerlukan apa-apa bantuan.’ (Rm. 16:1, 2) Sebelum Paulus menjadi orang Kristian, dia orang Farisi, dan orang Farisi biasanya memandang rendah terhadap kaum wanita. Tetapi selepas Paulus menjadi orang Kristian, dia menghormati kaum wanita dan melayan mereka dengan baik, seperti yang dilakukan oleh Yesus.​—1 Kor. 11:1.

3. Bagaimanakah Yesus melayan kaum wanita? Apakah pandangannya terhadap wanita yang melakukan kehendak Tuhan?

3 Tidak seperti para pemimpin agama Yahudi, Yesus menghormati semua wanita. (Yoh. 4:27) Sebuah buku rujukan Bible menyatakan bahawa Yesus tidak pernah mengatakan apa-apa yang menghina kaum wanita. Namun, Yesus lebih menghargai wanita yang melakukan kehendak Bapanya. Dia menganggap mereka seperti adik perempuannya dan berkata bahawa mereka juga merupakan ahli keluarga rohaninya.​—Mat. 12:50.

4. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

4 Yesus sentiasa bersedia untuk membantu saudari-saudari rohaninya. Dia juga menghargai mereka dan mempertahankan mereka. Rencana ini akan membincangkan bagaimana kita dapat meniru teladan Yesus.

LUANGKAN MASA DENGAN PARA SAUDARI

5. Mengapakah sesetengah saudari tidak dapat menikmati pergaulan yang membina?

5 Kita semua memerlukan pergaulan yang membina. Namun, sesetengah saudari menghadapi cabaran dalam hal ini. Mengapa? Seorang saudari yang bernama Jane * berkata, “Oleh sebab saya bujang, saya berasa susah untuk mencari kawan rapat dalam sidang, dan saya rasa saya tidak berguna dalam sidang.” Kristy, seorang perintis yang berpindah ke sidang lain untuk meluaskan khidmatnya, berkata, “Orang yang baru berpindah ke sidang lain mungkin berasa sunyi.” Mereka yang mempunyai ahli keluarga yang tidak seiman juga mungkin berasa sunyi kerana mereka tidak begitu rapat dengan ahli keluarga atau ahli sidang. Rakan seiman yang tidak dapat keluar dari rumah kerana masalah kesihatan, atau kerana perlu menjaga ahli keluarga yang sakit, juga mungkin berasa sunyi. Seorang saudari yang bernama Anna berkata, “Saya tidak dapat keluar untuk bergaul kerana saya memikul tanggungjawab utama untuk menjaga ibu saya.”

Seperti Yesus, kita ingin menunjukkan bahawa kita mengasihi dan mengambil berat terhadap para saudari (Lihat perenggan 6-9) *

6. Seperti yang tercatat di Lukas 10:38-42, bagaimanakah Yesus membantu Marta dan Maria?

6 Yesus meluangkan masa bersama saudari-saudari rohaninya, dan dia menjadi sahabat sejati mereka. Fikirkan bagaimana Yesus melayan Maria dan Marta, dua orang sahabatnya yang bujang. (Baca Lukas 10:38-42.) Melalui kata-kata dan perbuatannya, Yesus membuat mereka berasa selesa dengannya. Contohnya, semasa Yesus melawat mereka, Maria berasa selesa untuk duduk dekat kaki Yesus dan belajar daripadanya. * Marta pula tidak teragak-agak untuk memberitahu Yesus bahawa dia tidak puas hati dengan Maria kerana tidak membantunya di dapur. Pada masa itu, Yesus telah membantu Maria dan Marta dengan mengongsi pengajaran yang penting. Dia juga menunjukkan keprihatinannya terhadap mereka dan adik mereka Lazarus dengan mengunjungi mereka pada masa lain. (Yoh. 12:1-3) Maka tidak hairanlah Maria dan Marta tidak segan untuk meminta bantuan Yesus semasa Lazarus sakit tenat.​—Yoh. 11:3, 5.

7. Bagaimanakah kita dapat menggalakkan para saudari?

7 Bagi sesetengah saudari, perjumpaan merupakan cara utama mereka bergaul dengan ahli sidang. Maka, semasa di perjumpaan, kita ingin mengalu-alukan mereka, berbual dengan mereka, dan mengambil berat terhadap mereka. Jane, yang disebut tadi, berkata, “Saya sangat digalakkan apabila orang lain ucapkan terima kasih atas komen saya, buat janji temu untuk menginjil bersama saya, atau tunjukkan keprihatinan melalui cara lain.” Kita juga ingin para saudari berasa dihargai. Seorang saudari yang bernama Kim berkata, “Jika saya tidak datang ke satu perjumpaan, saya tahu saudara saudari akan hantar mesej untuk tanya khabar. Saya dapat rasa bahawa mereka prihatin terhadap saya.”

8. Apakah cara lain kita dapat meniru teladan Yesus?

8 Seperti Yesus, kita ingin meluangkan masa bersama para saudari. Kita boleh menjemput mereka untuk makan atau berekreasi bersama kita. Semasa berbuat demikian, kita ingin memastikan agar kata-kata kita sentiasa membina. (Rm. 1:11, 12) Para penatua harus meniru sikap Yesus. Yesus tahu bahawa kehidupan membujang tidak mudah bagi sesetengah orang, tetapi dia menyatakan dengan jelas bahawa berkahwin atau mempunyai anak bukanlah kunci untuk meraih kebahagiaan yang kekal. (Luk. 11:27, 28) Sebaliknya, dia berkata bahawa kebahagiaan yang kekal dapat diperoleh jika kita mengutamakan khidmat kepada Yehuwa.​—Mat. 19:12.

9. Bagaimanakah penatua dapat membantu para saudari?

9 Para penatua khususnya perlu melayan wanita Kristian seperti kakak, adik perempuan, dan ibu mereka. (1 Tim. 5:1, 2) Apabila para penatua selalu meluangkan masa untuk bercakap dengan para saudari sebelum atau selepas perjumpaan, mereka menunjukkan bahawa mereka mengambil berat terhadap para saudari. * Kristy, yang disebut tadi, berkata, “Seorang penatua memperhatikan bahawa saya sangat sibuk, maka dia bertanya kepada saya tentang kehidupan saya. Saya sangat berterima kasih atas keprihatinannya.” Anna, yang disebut tadi, menjelaskan manfaatnya apabila dia sering bercakap dengan para penatua. Dia berkata, “Saya mengenali mereka dengan lebih baik, dan mereka pun mengenali saya dengan lebih baik. Apabila saya ada masalah, saya tidak segan untuk minta bantuan mereka.”

HARGAILAH PARA SAUDARI

10. Apakah yang dapat kita lakukan agar para saudari berasa gembira?

10 Kita semua berasa gembira apabila kebolehan dan usaha kita dihargai. Sebaliknya, jika orang lain tidak menghargai bakat dan kerja keras kita, kita akan berasa tawar hati. Abigail, seorang perintis yang bujang, berasa diabaikan kerana orang lain hanya mengenali ibu bapanya dan adik-beradiknya, tetapi tidak mengenalinya secara peribadi. Dia berkata, “Ada kalanya, saya rasa mereka tidak sedar saya wujud.” Namun, perhatikan kesannya apabila para saudari berasa dihargai. Semasa Pamela bujang, dia pernah menjadi mubaligh selama bertahun-tahun sebelum kembali ke negara asalnya untuk menjaga ibu bapanya. Kini, Pamela berusia 70-an dan dia masih merintis. Apakah yang membantunya terus merintis? Dia berkata, “Saya sangat digalakkan apabila orang lain memberitahu saya bahawa usaha saya dihargai.”

11. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia menghargai para wanita yang setia?

11 Yesus menghargai para wanita yang setia, yang “menggunakan harta milik mereka untuk menolong” dia. (Luk. 8:1-3) Selain memberi mereka penghormatan untuk melayaninya, dia juga mengajar mereka kebenaran yang penting tentang kehendak Tuhan. Contohnya, dia memberitahu mereka bahawa dia akan mati dan dibangkitkan. (Luk. 24:5-8) Dia juga membantu mereka untuk bersedia menghadapi cubaan, seperti yang telah dilakukannya untuk para rasulnya. (Mrk. 9:30-32; 10:32-34) Yang menarik, semasa Yesus ditangkap, semua rasul meninggalkannya, tetapi sebilangan wanita yang pernah melayaninya tetap bersamanya sehingga dia mati pada tiang seksaan.​—Mat. 26:56; Mrk. 15:40, 41.

12. Apakah tugas penting yang diamanahkan oleh Yesus kepada kaum wanita?

12 Yesus mengamanahkan tugas yang penting kepada kaum wanita. Misalnya, sekumpulan wanita yang setia merupakan orang pertama yang melihat Yesus selepas dia dibangkitkan, dan mereka ditugaskan untuk memberitahu para rasulnya bahawa dia sudah dibangkitkan. (Mat. 28:5, 9, 10) Selain itu, pada Pentakosta 33 M, semasa kuasa suci Tuhan dicurahkan ke atas murid-murid Yesus, kemungkinan besar para wanita juga ada di situ. Jika demikian, mereka juga diurapi dan dikurniai kebolehan untuk menuturkan bahasa asing dan mengisytiharkan “perkara-perkara menakjubkan yang dilakukan oleh Tuhan.”​—Kis. 1:14; 2:2-4, 11.

13. Bagaimanakah para saudari Kristian berkhidmat kepada Yehuwa? Bagaimanakah kita dapat menunjukkan penghargaan atas usaha mereka?

13 Para saudari harus dipuji kerana melakukan banyak kerja untuk Yehuwa. Misalnya, mereka membina dan menyelenggarakan bangunan teokratik, membantu dalam kumpulan bahasa asing, berkhidmat di Bethel atau pejabat penterjemahan, membantu mangsa bencana, dan berkhidmat sebagai perintis atau mubaligh. Seperti para saudara, mereka juga menghadiri sekolah perintis, Sekolah Latihan Penginjil, dan Sekolah Gilead. Fikirkan juga para isteri kepada saudara-saudara yang memikul tugas yang berat dalam sidang dan organisasi Tuhan. Tanpa sokongan mereka, suami mereka tidak dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai “kurnia berupa manusia” dengan sepenuhnya. (Ef. 4:8) Dapatkah anda memikirkan cara untuk menyokong usaha para saudari kita?

14. Setelah merenungkan kata-kata di Mazmur 68:11, apakah yang akan dilakukan oleh penatua yang bijak?

14 Bible menyatakan bahawa “wanita-wanita yang mengisytiharkan berita baik bagaikan angkatan tentera yang besar.” (Baca Mazmur 68:11.) Maka penatua yang bijak akan cuba belajar daripada para saudari kerana sedar bahawa ramai antara mereka rajin dan mahir menginjil. Abigail, yang disebut tadi, berasa digalakkan apabila para saudara meminta cadangannya cara untuk memulakan perbualan. Dia berkata, “Saya berasa bahawa Yehuwa telah beri saya peranan yang penting dalam organisasi-Nya.” Selain itu, para penatua juga sedar bahawa saudari yang matang sangat mahir membantu para saudari muda yang menghadapi cabaran. (Tit. 2:3-5) Sesungguhnya, para saudari memainkan peranan yang penting dan patut dihargai!

PERTAHANKANLAH PARA SAUDARI

15. Bilakah saudari-saudari kita mungkin memerlukan seseorang untuk mempertahankan mereka?

15 Ada kalanya, saudari-saudari kita perlu dipertahankan. (Yes. 1:17) Sebagai contoh, saudari yang kematian suaminya atau yang sudah bercerai mungkin memerlukan seseorang untuk bercakap bagi pihaknya dan mengurus sesetengah hal yang dahulunya diurus oleh suaminya. Saudari yang lanjut usia mungkin memerlukan bantuan untuk bercakap kepada doktor. Atau, perintis yang membantu dalam projek teokratik yang lain mungkin memerlukan seseorang untuk membelanya jika dia dikritik kerana tidak menginjil dengan begitu kerap seperti perintis yang lain. Apakah cara lain untuk mempertahankan para saudari kita? Mari kita memperhatikan teladan Yesus.

16. Menurut catatan di Markus 14:3-9, bagaimanakah Yesus mempertahankan Maria?

16 Yesus segera membela saudari-saudari rohaninya semasa orang lain salah faham terhadap mereka. Sebagai contoh, semasa Maria dikritik oleh Marta, Yesus mempertahankannya. (Luk. 10:38-42) Yesus juga mempertahankan Maria semasa orang lain mengkritiknya kerana berfikir bahawa dia membuat keputusan yang buruk. (Baca Markus 14:3-9.) Yesus memahami niat Maria dan memujinya dengan berkata, ‘Dia melakukan sesuatu yang baik untuk aku. Wanita ini melakukan apa yang dapat dilakukannya.’ Yesus bahkan menubuatkan bahawa perbuatan Maria akan diceritakan “di mana sahaja berita baik disebarkan di seluruh dunia,” seperti yang sedang dilakukan menerusi rencana ini. Yang menarik, Yesus telah menyebut tentang kerja penyebaran sedunia semasa dia memuji Maria. Kata-kata Yesus tentu telah menggalakkan Maria!

17. Bilakah kita mungkin perlu mempertahankan saudari kita? Berikan contoh.

17 Adakah anda bersedia untuk mempertahankan para saudari? Bayangkan situasi berikut: Seorang saudari yang suaminya tidak seiman sering datang lewat ke perjumpaan dan segera beredar selepas perjumpaan tamat. Dia juga jarang membawa anaknya ke perjumpaan. Jadi, sesetengah penyiar mengkritiknya kerana berpendapat bahawa saudari itu patut lebih berusaha untuk membawa anaknya ke perjumpaan, dan bukannya menuruti kemahuan suaminya sahaja. Namun, saudari itu sebenarnya sudah melakukan apa yang mampu dilakukannya. Terdapat banyak hal yang berada di luar kawalannya, dan biarpun dia ingin membawa anaknya ke perjumpaan, dia perlu menghormati keputusan suaminya. Bagaimanakah anda dapat mempertahankan saudari itu? Jika anda memujinya dan bercakap tentang usaha baiknya, orang lain mungkin akan berhenti mengkritiknya.

18. Apakah cara lain untuk menunjukkan keprihatinan terhadap saudari-saudari kita?

18 Kita juga dapat menunjukkan keprihatinan kita terhadap para saudari dengan menawarkan bantuan yang praktikal. (1 Yoh. 3:18) Anna, saudari itu yang perlu menjaga ibunya, berkata, “Saudara saudari akan bawa makanan ke rumah saya, atau mereka akan bantu menjaga ibu saya sekejap agar saya dapat buat hal lain. Hal ini buat saya rasa dikasihi dan berasa rapat dengan sidang.” Jane juga menerima bantuan daripada rakan seimannya. Contohnya, seorang saudara telah mengajar dia cara untuk menjaga kereta. Jane berkata, “Saya rasa gembira kerana saudara saudari ambil berat tentang keselamatan saya.”

19. Apakah cara lain para penatua dapat membantu saudari-saudari?

19 Para penatua juga berusaha menjaga keperluan para saudari, kerana mereka tahu bahawa Yehuwa ingin para saudari dilayan dengan baik. (Yak. 1:27) Seperti Yesus, mereka ingin bersikap munasabah dan tidak hanya berfikir tentang peraturan yang harus diikuti. Sebaliknya, mereka akan mempertimbangkan setiap situasi dan menunjukkan kebaikan hati dan bertimbang rasa jika lebih sesuai untuk berbuat demikian. (Mat. 15:22-28) Apabila para penatua mengambil inisiatif untuk menghulurkan bantuan, saudari-saudari akan berasa dikasihi. Sebagai contoh, semasa penyelia kumpulan Kim mendapat tahu bahawa dia akan pindah rumah, saudara itu segera mengaturkan bantuan. Kim berkata, “Bantuan itu mengurangkan banyak stres saya. Galakan dan bantuan para penatua meyakinkan saya bahawa saya dihargai dan tidak perlu berdepan dengan masalah seorang diri.”

SEMUA SAUDARI MEMERLUKAN SOKONGAN

20-21. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai semua saudari kita?

20 Hari ini, terdapat banyak saudari yang rajin dalam sidang kita. Kita ingin memberikan sokongan kepada mereka. Jadi, seperti Yesus, kita ingin meluangkan masa bersama mereka dan mengenali mereka dengan lebih baik. Kita juga ingin menunjukkan penghargaan atas usaha mereka dan selalu bersedia untuk mempertahankan mereka.

21 Semasa mengakhiri suratnya kepada sidang di Roma, Paulus telah menyebut nama sembilan orang saudari. (Rm. 16:1, 3, 6, 12, 13, 15) Mereka tentu digalakkan semasa mendengar salam dan pujian daripada Paulus. Semoga kita juga memberikan sokongan kepada semua saudari dalam sidang kita. Dengan itu, kita menunjukkan bahawa mereka ialah ahli keluarga rohani kita yang dikasihi.

LAGU 136 Ganjaran Besar daripada Yehuwa

^ per. 5 Semasa Yesus di bumi, dia memberikan sokongan kepada kaum wanita dengan meluangkan masa bersama mereka, menghargai mereka, dan mempertahankan mereka. Rencana ini akan membincangkan bagaimana kita dapat meniru teladan Yesus dan memberikan sokongan kepada saudari-saudari kita yang menghadapi banyak cabaran.

^ per. 5 Sesetengah nama telah diubah.

^ per. 6 Sebuah buku rujukan Bible menyatakan, “Murid yang duduk dekat kaki guru merupakan murid yang sedang bersedia untuk menjadi guru. Namun, dalam masyarakat Yahudi, kaum wanita tidak dibenarkan menjadi guru. Jadi kebanyakan lelaki Yahudi akan terkejut jika mereka melihat Maria duduk dekat kaki Yesus dan mendengar dengan penuh perhatian.”

^ per. 9 Para penatua harus mengambil langkah berjaga-jaga semasa membantu saudari. Misalnya, seorang penatua tidak akan melawat seorang saudari tanpa ditemani orang lain.

^ per. 65 KETERANGAN GAMBAR: Tiga orang saudara meniru teladan Yesus dan mengambil berat terhadap saudari-saudari mereka. Saudara yang pertama membantu dua orang saudari menukar tayar. Saudara yang kedua melawat seorang saudari yang tua dan sakit. Saudara yang ketiga menjemput seorang saudari dan anak perempuannya untuk ikut serta semasa dia dan isterinya mengadakan penyembahan keluarga.