Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

MASALAHNYA

Ancaman kepada Keamanan dan Keselamatan

Ancaman kepada Keamanan dan Keselamatan

“Generasi ini memiliki teknologi, sains, dan kekayaan yang paling hebat . . . Namun nampaknya inilah generasi pertama yang akan menghancurkan sistem [politik, ekonomi, dan alam sekitar] dunia ini.”​—Laporan Risiko Global 2018, Forum Ekonomi Dunia.

MENGAPAKAH RAMAI ORANG RISAU TENTANG MASA DEPAN MANUSIA DAN BUMI? PERHATIKAN BEBERAPA MASALAH YANG KITA HADAPI.

  • JENAYAH SIBER: Menurut akhbar The Australian, Internet semakin berbahaya kerana menjadi sarang bagi pemangsa seksual kanak-kanak, penggodam (hacker), pembuli, dan budaya troll, iaitu perbuatan memaparkan mesej yang menimbulkan kemarahan atau pertengkaran. Akhbar itu menambah, “Pencurian identiti merupakan salah satu jenayah yang paling menular di dunia. . . . Melalui Internet, kekejian dan kekejaman manusia berpeluang menunjukkan taringnya.”

  • KEKAYAAN YANG TIDAK SAMA RATA: Kebelakangan ini, laporan Oxfam menyatakan bahawa lapan orang yang terkaya di dunia memiliki kekayaan yang sama banyaknya dengan jumlah kekayaan 3.6 bilion orang yang paling miskin di dunia. Oxfam menyatakan, “Ekonomi kita sangat bermasalah. Segelintir orang yang kaya-raya menjadi semakin kaya, manakala orang miskin, yang kebanyakannya wanita, menjadi semakin miskin.” Sesetengah pihak khuatir bahawa jurang yang semakin besar ini akan mencetuskan pergolakan sosial.

  • KONFLIK DAN PENINDASAN: Laporan tahun 2018 daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian menyatakan, “Setiap dua saat, satu orang terpaksa melarikan diri dari tempat tinggal mereka. Kita tidak pernah menyaksikan angka yang begitu tinggi.” Di serata dunia, terdapat lebih daripada 68 juta orang yang meninggalkan tempat tinggal sendiri, dan kebanyakan antara mereka ialah mangsa konflik dan penindasan.

  • ANCAMAN TERHADAP ALAM SEKITAR: Laporan Risiko Global 2018 menjelaskan, “Banyak hidupan sedang pupus dengan kadar yang cepat. . . . Pencemaran udara dan laut semakin menggugat kesihatan manusia.” Selain itu, jumlah serangga di sesetengah negara sedang merosot dengan mendadak. Oleh sebab serangga penting untuk pendebungaan, ahli sains memberikan amaran bahawa alam sekitar mungkin akan musnah. Terumbu karang juga terus diancam kepupusan. Menurut anggaran, hampir separuh daripada terumbu karang di bumi telah mati dalam tempoh 30 tahun yang lalu.

Mampukah kita mengubah dunia ini menjadi lebih aman dan selamat? Sesetengah orang berasa bahawa pendidikan ialah kuncinya. Jika begitu, apakah jenis pendidikan yang diperlukan? Rencana-rencana berikut akan menjawab beberapa soalan ini.