Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mematuhi ibu bapa sama seperti membayar ansuran bank. Jika anda selalu dapat dipercayai, anda akan diberi lebih banyak “kredit” atau kebebasan

KAUM MUDA

10: Dapat Dipercayai

10: Dapat Dipercayai

MAKSUDNYA

Orang yang dapat dipercayai akan mematuhi peraturan, menepati janji, dan selalu bercakap benar. Itulah sebabnya ibu bapa, kawan, dan majikan percaya kepada mereka.

MENGAPA PENTING

Selalunya, orang yang lebih dipercayai akan diberi lebih banyak kebebasan.

“Cara terbaik untuk mendapat kepercayaan ibu bapa adalah dengan menunjukkan bahawa kamu matang dan bertanggungjawab, bukan sahaja semasa kamu bersama mereka, tetapi juga semasa mereka tiada.”​—Sarahi.

PRINSIP BIBLE: “Dia harus membuktikannya menerusi kelakuan yang baik.”​—Yakobus 3:13.

LANGKAH-LANGKAH

Jika anda ingin mendapat lebih banyak kepercayaan atau mendapat semula kepercayaan yang hilang, cubalah langkah-langkah berikut:

Bersikap jujur. Berbohong ialah jalan pintas untuk menghancurkan kepercayaan orang terhadap anda. Tetapi apabila anda jujur, terutamanya semasa anda tersilap, orang akan lebih mempercayai anda.

“Memang senang untuk jujur apabila tiada masalah. Tetapi jika kamu jujur walaupun air muka kamu akan jatuh, kamu akan bina kepercayaan orang lain terhadapmu.”​—Caiman.

PRINSIP BIBLE: “Kami ingin melakukan segala sesuatu dengan jujur.”​—Ibrani 13:18.

Jadilah orang yang dapat diharapkan. Menurut satu tinjauan di A.S., 78 peratus pakar sumber manusia berkata bahawa sifat dapat dipercayai ialah salah satu daripada tiga sifat terpenting yang diperhatikan semasa syarikat mengambil pekerja. Jika anda belajar sekarang untuk menjadi orang yang dapat diharapkan, anda akan menuai hasilnya semasa dewasa nanti.

“Ibu bapa saya tahu apabila saya melakukan tugas rumah tanpa perlu diingatkan berulang kali. Semakin kerap saya tunjukkan inisiatif sebegini, semakin banyak kepercayaan mereka kepada saya.”​—Sarah.

PRINSIP BIBLE: “Aku yakin bahawa kamu akan memenuhi permintaanku, lebih daripada apa yang aku katakan.”​—Filemon 21.

Bersabarlah. Pertumbuhan badan mudah dilihat, tetapi pertumbuhan mental dan emosi perlu masa untuk diperhatikan.

“Kamu tidak akan dapat kepercayaan ibu bapa dan orang lain melalui satu perbuatan sahaja. Kepercayaan itu akan dibina secara beransur-ansur jika kamu sentiasa bertanggungjawab.”​—Brandon.

PRINSIP BIBLE: “Hendaklah kamu mengenakan . . . kesabaran.”​—Kolose 3:12.