Tunjukkan Empati
Masalahnya
Jika kita terlampau berfokus kepada perbezaan antara kita dengan orang lain, kita mungkin memandang rendah terhadap orang yang berbeza daripada kita kerana menganggap perbezaan itu sebagai kelemahan atau kekurangan. Apabila kita mempunyai pandangan sebegini, kita sudah berprasangka terhadap orang lain, dan hal ini akan membuat kita berasa susah untuk menunjukkan empati.
Prinsip Bible
“Bersukacitalah bersama orang yang bersukacita dan menangislah bersama orang yang menangis.”—ROMA 12:15.
Apakah maksudnya? Ayat ini mengajar kita bahawa kita perlu menunjukkan sifat empati. Empati ialah kebolehan untuk menyelami perasaan orang lain.
Pentingnya Menunjukkan Empati
Apabila kita menunjukkan empati, kita akan sedar bahawa kita mempunyai banyak persamaan dengan orang lain, misalnya dari segi perasaan dan reaksi. Sifat empati membantu kita ingat bahawa semua manusia sama sahaja, tidak kira apa latar belakang mereka. Apabila kita berfokus kepada persamaan antara kita dengan orang lain, kita akan dibantu supaya tidak berpandangan buruk terhadap mereka.
Sifat empati juga dapat mendorong kita untuk menghormati orang lain. Anne-Marie dari Senegal dahulunya memandang rendah terhadap orang daripada lapisan masyarakat tertentu, tetapi sifat empati telah membantunya berubah. Dia berkata, “Semasa saya lihat orang daripada kelas bawahan hidup susah, saya tanya diri apa perasaan saya jika saya berada dalam situasi mereka. Biarpun saya daripada kelas atasan, itu bukannya atas usaha saya sendiri. Jadi, saya sedar bahawa saya tidak patut menganggap diri lebih istimewa daripada mereka.” Ya, jika kita berusaha memahami kesusahan orang lain, kita akan lebih cenderung untuk menunjukkan empati dan bukannya mengkritik mereka.
Apa yang Dapat Anda Lakukan
Jika anda berpandangan negatif terhadap golongan tertentu, cubalah mencari persamaan antara anda dengan mereka. Misalnya, bayangkan perasaan mereka dalam situasi berikut:
Sifat empati membantu kita sedar bahawa semua manusia sama sahaja
Semasa makan bersama ahli keluarga
Setelah bekerja keras sehari suntuk
Semasa meluangkan masa bersama sahabat
Semasa mendengar muzik kegemaran mereka
Kemudian, bayangkan diri anda dalam situasi mereka. Tanyalah diri:
“Apakah reaksi saya jika seseorang membuat saya rasa tidak berguna?”
“Apakah perasaan saya jika orang lain menghakimi saya walaupun belum mengenali saya?”
“Jika saya merupakan salah seorang daripada golongan itu, bagaimanakah saya ingin dilayan?”