Apa yang Tidak Dapat Dijelaskan oleh Saintis
Para saintis telah membuat banyak kajian tentang alam semesta. Namun, mereka masih tidak dapat menjawab banyak soalan yang penting.
Sudahkah saintis berjaya menjelaskan bagaimana alam semesta dan kehidupan bermula? Secara ringkas, jawapannya ialah belum. Sesetengah orang berkata bahawa kosmologi (satu cabang astronomi) dapat menjelaskan asal usul alam semesta. Namun, Marcelo Gleiser, seorang profesor astronomi di Dartmouth College, berkata, “Kami masih tidak dapat menjelaskan asal usul alam semesta.”
Mengenai asal usul kehidupan pula, sebuah artikel dalam majalah Science News menyatakan, “Nampaknya adalah mustahil untuk mengetahui dengan pasti bagaimana kehidupan bermula di bumi. Kebanyakan batu dan fosil yang dapat menunjukkan apa yang terjadi pada zaman awal bumi sudah tiada.” Pernyataan sebegini menunjukkan bahawa para saintis belum lagi dapat menjawab soalan: Bagaimanakah alam semesta dan kehidupan bermula?
Namun, anda mungkin tertanya-tanya, “Jika hidupan di bumi tidak muncul secara kebetulan, siapakah yang menciptakannya?” Anda juga mungkin memikirkan soalan ini: “Jika Pencipta yang bijak dan pengasih wujud, mengapakah Dia membiarkan manusia menderita? Mengapakah Dia membiarkan begitu banyak agama yang berbeza wujud? Mengapakah Dia membiarkan penyembah-Nya berbuat jahat?”
Jika kita hanya bergantung pada sains, kita tidak dapat menemui jawapan kepada soalan-soalan ini. Namun, hal ini tidak bermaksud bahawa kita tidak mungkin dapat menemui jawapannya. Ramai orang telah menjumpai jawapan yang memuaskan dalam Bible.
Sekiranya anda ingin tahu mengapa sesetengah saintis yang telah mengkaji Bible percaya bahawa Pencipta wujud, sila layari jw.org/ms dan cari “pandangan tentang asal usul kehidupan.”