Setiap Orang Harus Memikul Tanggungjawab Masing-Masing
“Kita bertanggungjawab kepada Tuhan atas perbuatan kita masing-masing.”—ROMA 14:12.
1. Apakah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh tiga pemuda Ibrani?
SEMASA di Babilon, tiga pemuda Ibrani telah berdepan dengan situasi yang berkaitan dengan hidup mati mereka. Pada suatu hari, raja Babilon telah memerintahkan semua rakyatnya untuk bersujud menyembah sebuah patung yang besar. Apakah yang patut mereka lakukan? Jika mereka sujud, mereka akan selamat. Tetapi jika tidak, mereka akan dilemparkan ke dalam relau api yang bernyala-nyala. Pada masa itu, Sadrakh, Mesakh, dan Abednego tidak sempat bertanya kepada sesiapa pun. Sebenarnya, mereka tidak perlu bertanya kepada orang lain kerana mereka masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk membuat pilihan sendiri. Maka, apakah keputusan mereka? Dengan berani, mereka menjawab raja, “Hendaklah tuanku tahu bahawa kami masih tidak akan menyembah dewa dewi tuanku ataupun patung emas yang tuanku dirikan.”—Daniel 3:1-18.
2. Siapakah yang membuat keputusan bagi Pilatus? Dengan berbuat demikian, adakah dia tidak perlu bertanggungjawab atas kematian Yesus?
2 Sekitar 600 tahun kemudian, seorang gabenor telah menghadapi situasi yang memerlukannya membuat keputusan yang sangat penting. Ketika perbicaraan Yesus Kristus, Pontius Pilatus yakin bahawa Yesus tidak bersalah meskipun terdapat banyak tuduhan terhadapnya. Namun, orang ramai di situ menuntut agar Yesus dihukum mati. Adakah Pilatus memikul tanggungjawabnya dan membuat keputusan yang adil, atau adakah dia membiarkan orang ramai mempengaruhi keputusannya? Sedihnya, dia menyerah kepada tekanan lalu menjatuhkan hukuman mati ke atas Yesus. Kemudian dia membasuh tangannya lalu berkata, “Aku tidak bertanggungjawab atas kematian lelaki ini.” Walaupun dia berkata demikian, dia sebenarnya masih bertanggungjawab atas keputusan yang dibuatnya.—Matius 27:11-26; Lukas 23:13-25.
3. Mengapakah kita tidak patut membiarkan orang lain membuat keputusan untuk kita?
3 Bagaimana pula dengan anda? Sewaktu anda perlu buat keputusan, adakah anda seperti tiga pemuda Ibrani itu atau Pilatus? Memang, adalah tidak mudah untuk membuat keputusan kerana ada banyak situasi dan faktor yang harus dipertimbangkan. Bukan itu saja, kematangan diperlukan untuk membuat keputusan yang bijak. Itulah sebabnya ibu bapa perlu membuat keputusan untuk anak mereka yang masih kecil. Biarpun membuat keputusan tidak mudah, ini bukanlah suatu “beban” sehingga memerlukan saudara saudari lain yang “matang secara rohani” untuk memikulnya bagi kita. (Galatia 6:1, 2) Sebaliknya Bible kata, “Setiap orang harus memikul tanggungjawab masing-masing.” (Galatia 6:5, nota kaki) Maka dalam soal membuat keputusan, “kita [masing-masing] bertanggungjawab kepada Tuhan.” (Roma 14:12) Apakah yang dapat membantu kita membuat keputusan yang bijak? Mula-mula, kita perlu sedar akan keterbatasan kita.
Kunci untuk Membuat Keputusan yang Bijak
4. Apakah pengajaran penting yang kita peroleh daripada pasangan manusia yang pertama?
4 Semasa di Taman Eden, Adam dan Hawa telah membuat keputusan yang membawa akibat yang buruk. Mereka memilih untuk makan buah daripada pokok pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat. (Kejadian 2:16, 17) Mengapakah mereka membuat pilihan yang bodoh itu? Bible kata, “Wanita itu nampak bahawa pokok itu cantik dan buahnya baik untuk dimakan. Ya, pokok itu memang indah di matanya. Jadi dia mengambil buah itu dan mula memakannya. Apabila dia bersama-sama suaminya, dia juga memberikan buah itu kepadanya, dan suaminya pun memakannya.” (Kejadian 3:6) Jelaslah, Hawa membuat keputusan berdasarkan keinginannya sendiri. Kemudian, Adam juga mengikutnya. Akibatnya, dosa dan kematian “tersebar kepada semua orang.” (Roma 5:12) Melalui contoh buruk mereka, kita belajar satu hal yang penting: Manusia cenderung membuat keputusan yang salah apabila mereka tidak bergantung pada bimbingan Tuhan.
5. Apakah bimbingan yang diberikan oleh Tuhan? Apakah yang perlu kita lakukan untuk mendapat manfaat daripadanya?
5 Kita sangat bersyukur kerana Tuhan Yehuwa telah menyediakan bimbingan yang diperlukan. Bible kata, “Jika kamu menyimpang ke kanan atau ke kiri, kamu akan mendengar suara dari belakang kamu yang berfirman, ‘Inilah jalannya. Ikutlah jalan ini!’” (Yesaya 30:21) Yehuwa bercakap kepada kita menerusi Firman-Nya Bible. Jadi, kita harus mengkaji Bible dan memperoleh pengetahuan yang tepat daripadanya. Untuk menjadi matang dan membuat keputusan yang bijak, kita memerlukan “makanan yang keras.” Selain itu, kita harus berusaha menggunakan daya penilaian kita dan melatihnya “untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.“ (Ibrani 5:14) Dengan menerapkan nasihat daripada Firman Tuhan, kita dapat mengasah daya penilaian kita.
6. Apakah yang diperlukan agar hati nurani kita berfungsi dengan baik?
6 Yehuwa juga mengurniai kita hati nurani, iaitu kebolehan untuk “mengetahui sama ada perbuatan [kita] betul atau salah.” (Roma 2:14, 15) Namun, hati nurani kita mesti dilatih berdasarkan prinsip Bible agar dapat berfungsi dengan baik. Hati nurani yang tidak dilatih pula senang dipengaruhi oleh adat tempatan atau pandangan orang lain. Apakah yang mungkin berlaku kepada hati nurani kita jika kita asyik melanggar prinsip Bible? Bible kata hal itu seperti “hati nurani yang telah diselar dengan besi panas” dan akhirnya menjadi tidak peka lagi.—1 Timotius 4:2, nota kaki.
7. Apakah kunci untuk membuat keputusan yang bijak?
7 Pendek kata, kunci untuk membuat keputusan yang bijak ialah pengetahuan Bible dan daya penilaian yang baik untuk menerapkannya. Bak kata pepatah, “Ikut hati mati, ikut rasa binasa.” Jadi semasa berdepan dengan pilihan, jangan terburu-buru dan mengikut keinginan sendiri. Carilah prinsip Bible dan fikirlah masak-masak dahulu. Walaupun kita menghadapi situasi yang mendesak seperti Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, kita masih dapat membuat pilihan yang bijak jika kita bergantung pada Firman Tuhan dan hati nurani yang terlatih. Sekarang, mari kita kaji dua situasi yang menunjukkan bagaimana daya penilaian yang terlatih dapat membantu kita membuat keputusan yang bijak.
Memilih Pergaulan dengan Bijak
8, 9. (a) Apakah prinsip-prinsip yang membantu kita menghindari pergaulan yang buruk? (b) Adakah pergaulan yang buruk hanya merujuk kepada pergaulan dengan orang yang tidak bermoral? Jelaskan.
8 Semasa memilih pergaulan, kita mungkin terfikir tentang kata-kata Rasul Paulus ini: “Janganlah disesatkan. Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.” (1 Korintus 15:33) Yesus Kristus juga memberitahu murid-muridnya, “Kamu bukan sebahagian daripada dunia.” (Yohanes 15:19) Daripada prinsip-prinsip ini, kita dapat menyimpulkan bahawa kita tidak patut berkawan dengan orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, berzina, mencuri, mabuk, dan sebagainya. (1 Korintus 6:9, 10) Tetapi, apabila pengetahuan Bible kita semakin bertambah, kita sedar bahawa pergaulan yang buruk juga merangkumi wayang, game, atau buku yang mengisahkan perbuatan yang dibenci Tuhan. Selain itu, kita juga akan berwaspada terhadap orang dalam Internet “yang berpura-pura” atau menyembunyikan identiti mereka.—Mazmur 26:4.
9 Bagaimana pula jika seseorang itu bersikap baik tetapi tidak menyembah Tuhan? Bible mengingatkan kita, “Seluruh dunia berada di bawah kuasa Si Jahat.” (1 Yohanes 5:19) Dengan merenungkan prinsip ini, kita sedar bahawa pergaulan yang rapat dengan mereka masih dapat merosakkan akhlak yang baik. Maka, adalah bijak untuk memupuk persahabatan yang erat dengan orang yang mengasihi Yehuwa.
10. Apakah yang dapat membantu kita bersikap seimbang?
10 Memandangkan kita hidup di dunia ini, kita tidak dapat mengelakkan orang duniawi dengan sepenuhnya. (Yohanes 17:15) Ada antara kita yang mempunyai pasangan yang tidak seiman. Selain itu, semasa menginjil, pergi sekolah, atau bekerja, kita pun perlu berjumpa dengan orang yang tidak menyembah Yehuwa. Jadi, apakah yang dapat bantu kita bersikap seimbang? Kita perlu menggunakan daya penilaian kita untuk bezakan situasi yang tidak dapat dielakkan dengan situasi yang dapat dielakkan. Ingatlah juga prinsip ini: Kita mahu berwaspada agar tidak memupuk persahabatan dengan dunia ini. (Yakobus 4:4) Maka, semasa mempertimbangkan sama ada untuk menyertai aktiviti seperti parti, jamuan, acara sukan, dan kegiatan sekolah, daya penilaian yang terlatih dapat membantu kita membuat keputusan yang bijak.
Memilih Pekerjaan dengan Bijak
11. Apakah yang mesti kita fikirkan semasa memilih pekerjaan?
11 Orang Kristian bertanggungjawab untuk ‘menyediakan keperluan orang di bawah jagaan mereka.’ (1 Timotius 5:8) Tetapi semasa memilih pekerjaan, tanyalah diri, “Apakah yang terlibat dalam pekerjaan itu?” Sudah pasti kita tidak akan buat kerja yang melanggar hukum Bible, seperti mencuri, menyalahgunakan darah, atau melakukan hal yang berkaitan dengan penyembahan berhala. Kita juga tidak akan menipu biarpun majikan menyuruh kita berbuat demikian.—Kisah 15:29; Wahyu 21:8.
12, 13. Apakah hal-hal lain yang harus difikirkan sebelum menerima suatu pekerjaan?
12 Bagaimana pula jika pekerjaan kita tidak terang-terang melanggar prinsip Bible? Pengetahuan Bible yang dalam dan daya penilaian yang dilatih akan mendorong kita untuk mempertimbangkan beberapa faktor lain. Kita akan tanya diri, “Adakah pekerjaan itu melibatkan hal yang tidak selaras dengan ajaran Bible?” Contohnya, adakah anda diminta untuk menjawab telefon di tempat perjudian? Selain itu, fikirkan juga soalan ini: “Wang yang digunakan untuk membayar upah saya datang dari mana? Di manakah saya harus bekerja?” Contohnya, jika anda ada syarikat sendiri, wajarkah anda menerima kontrak untuk mengecat gereja dan mendapat upah daripadanya?—2 Korintus 6:14-16.
13 Bagaimana jika majikan anda telah menerima kontrak untuk mengecat bangunan sedemikian? Anda harus mempertimbangkan sejauh mana penglibatan anda dan skop kuasa anda dalam projek ini. Bagaimana pula jika anda disuruh menghantar surat ke tempat yang terlibat dalam perbuatan yang dikutuk Tuhan? Anda boleh memikirkan prinsip di Matius 5:45, dan tanya diri, “Adakah saya hanya mengirim surat ke tempat itu saja, atau adakah perkhidmatan saya merangkumi seluruh kawasan itu?” Selain itu, tanyalah diri, “Jika saya melakukan kerja ini setiap hari, apakah kesannya terhadap hati nurani saya?” (Ibrani 13:18) Sememangnya, kita perlu terus mengasah daya penilaian kita dan melatih hati nurani dengan prinsip Bible agar dapat membuat keputusan yang bijak.
“Ingatlah akan Dia dalam Segala Perbuatanmu”
14. Sebelum membuat keputusan, apakah yang harus kita lakukan?
14 Selain soal pekerjaan dan pergaulan, kita juga perlu membuat keputusan dalam hal peribadi yang lain seperti pendidikan atau perubatan. Sebelum membuat keputusan, carilah prinsip Bible yang berkaitan dan berusahalah untuk menerapkannya. Raja Salomo yang bijak menulis, “Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu, dan janganlah bergantung pada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan Dia dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan meluruskan jalan hidupmu.”—Amsal 3:5, 6.
15. Apakah yang kita belajar daripada orang Kristian abad pertama?
15 Terdapat satu hal lagi yang perlu kita fikirkan semasa membuat keputusan. Mari kita belajar daripada contoh orang Kristian pada abad pertama. Pada masa itu, hati nurani beberapa orang Kristian terganggu kerana sesetengah daging yang dijual di pasar telah dipersembahkan terlebih dahulu kepada berhala. Memandangkan mereka tidak lagi berada di bawah Hukum Musa dan adalah tidak salah untuk makan daging itu, apakah keputusan yang dibuat oleh Rasul Paulus? Dia kata, “Jika makanan membuat saudaraku tersandung, aku langsung tidak akan makan daging lagi agar aku tidak membuat saudaraku tersandung.” (1 Korintus 8:11-13) Sememangnya, orang Kristian abad pertama digalakkan untuk mempertimbangkan hati nurani orang lain agar keputusan mereka tidak “menyebabkan orang lain tersandung.” (1 Korintus 10:29, 32) Seperti mereka, kita juga ingin memikirkan hati nurani orang lain sebelum membuat suatu keputusan.
Mohon Kebijaksanaan daripada Tuhan
16. Bagaimanakah doa dapat membantu kita membuat keputusan yang bijak?
16 Doa sangat penting semasa membuat keputusan. Yakobus menulis, “Jika ada sesiapa antara kamu yang kurang bijaksana, hendaklah dia terus meminta kebijaksanaan daripada Tuhan. Tuhan tidak akan memarahinya. Sebaliknya, Tuhan akan menunaikan permintaannya kerana Dia murah hati terhadap semua orang.” (Yakobus 1:5) Maka, berdoalah kepada Yehuwa pada bila-bila masa untuk meminta kebijaksanaan daripada-Nya. Apabila kita luahkan kerisauan kita kepada-Nya, kuasa suci-Nya dapat membantu kita memahami dan mengingat kembali prinsip-prinsip Bible.
17. Semasa membuat keputusan, bagaimanakah orang lain dapat membantu kita?
17 Dapatkah orang lain membantu kita semasa membuat keputusan? Ya. Yehuwa telah memberi kita saudara saudari matang untuk membantu kita. (Efesus 4:11, 12) Kita boleh mendapatkan nasihat mereka, terutamanya semasa membuat keputusan yang besar. Oleh sebab mereka mempunyai lebih banyak pengalaman dan pengetahuan Bible, mereka dapat membantu kita mempertimbangkan prinsip Bible tambahan dan “mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.” (Filipi 1:9, 10) Namun, jangan lupa hal ini: Tanggungjawab kita untuk membuat keputusan tidak boleh diserahkan kepada orang lain. Maka, kita tidak patut mengharapkan orang lain untuk membuat keputusan bagi kita.
Adakah Hasil Akhirnya Selalu Baik?
18. Adakah keputusan yang bijak selalu membawa hasil yang baik pada akhirnya?
18 Setelah membuat keputusan berdasarkan prinsip Bible, adakah hal ini bermaksud hasil akhirnya selalu baik? Ya! Hal ini memang benar dalam jangka masa yang panjang. Meskipun demikian, ada kalanya kita mungkin perlu mengalami kesusahan. Itulah yang berlaku kepada Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Mereka tahu bahawa keputusan mereka untuk tidak menyembah patung berhala akan menyebabkan mereka dihukum mati. (Daniel 3:16-19) Para rasul yang bertekad untuk mematuhi Tuhan sebagai pemerintah pula telah dicambuk sebelum dibebaskan. (Kisah 5:27-29, 40) Selain itu, “kejadian yang tidak terduga” mungkin memberi kesan terhadap keputusan kita. (Pengkhutbah 9:11) Tetapi tidak kira apa pun yang berlaku, jika kita bersandar pada Yehuwa dan membuat keputusan yang bijak, Dia pasti akan memberkati kita.—2 Korintus 4:7.
19. Bagaimanakah kita dapat memikul tanggungjawab kita dan membuat keputusan yang bijak?
19 Jadi, semasa membuat keputusan, kita mesti mencari prinsip Bible dan menggunakan daya penilaian kita untuk menerapkannya. Selain itu, kita mahu bergantung pada kuasa suci Yehuwa dan mendapatkan nasihat baik daripada saudara saudari yang matang. Dengan itu, kita dapat memikul tanggungjawab kita dan membuat keputusan yang bijak.
Apakah Jawapan Anda?
• Apakah kunci untuk membuat keputusan yang bijak?
• Bagaimanakah pengetahuan Bible dan daya penilaian yang baik membantu kita memilih pergaulan?
• Apakah hal yang perlu kita fikirkan sebelum menerima suatu pekerjaan?
• Apakah hal lain yang dapat membantu kita membuat keputusan yang bijak?
[Soalan Pembelajaran]
[Gambar]
Janganlah buat keputusan yang buruk seperti Adam dan Hawa
[Gambar]
Carilah prinsip Bible sebelum membuat keputusan yang penting