Bantulah Kaum Lelaki Membuat Kemajuan Rohani
Bantulah Kaum Lelaki Membuat Kemajuan Rohani
‘Mulai sekarang kamu akan menjala orang supaya menjadi pengikutku.’—LUK. 5:10.
1, 2. (a) Bagaimanakah kaum lelaki menyambut kerja penyebaran Yesus? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?
YESUS dan pengikutnya telah menjalankan kerja penyebaran di sekitar Galilea. Pada suatu hari, mereka menaiki perahu dan menuju ke sebuah tempat yang sunyi untuk berehat. Tetapi “kira-kira lima ribu orang [lelaki], belum terhitung wanita dan kanak-kanak” mengikut mereka melalui jalan darat. (Mat. 14:21, ABB) Pada masa yang lain, ramai orang datang kepada Yesus untuk disembuhkan dan untuk mendengar ajarannya. “Jumlah orang lelaki . . . ada empat ribu orang, belum terhitung wanita dan kanak-kanak.” (Mat. 15:38, ABB) Ya, ramai lelaki menunjukkan minat terhadap ajaran Yesus. Dia tahu bahawa ramai lagi akan menerima kebenaran. Selepas membantu pengikutnya untuk menjala banyak ikan secara mukjizat, Yesus memberitahu Simon, “Mulai sekarang kamu akan menjala orang.” (Luk. 5:10) Pengikut Yesus akan menebarkan jala di lautan umat manusia dan akan “menjala” banyak orang, termasuk ramai orang lelaki.
2 Hari ini, kaum lelaki juga menaruh minat dalam ajaran Bible. (Mat. 5:3) Tetapi, ramai yang menerima pembelajaran Bible tidak membuat kemajuan rohani. Bagaimanakah kita dapat membantu mereka? Yesus menyebarkan berita baik kepada semua orang. Tetapi dia mencuba membantu kaum lelaki menangani masalah mereka. Marilah kita tiru teladan Yesus dan belajar cara untuk membantu kaum lelaki dalam tiga aspek yang berikut: (1) semasa mencari nafkah hidup, (2) semasa timbul rasa takut akan manusia, dan (3) semasa timbul perasaan kurang yakin.
Mencari Nafkah Hidup
3, 4. (a) Apakah yang dititikberatkan oleh kaum lelaki? (b) Mengapakah sesetengah lelaki mengutamakan wang dan kerjaya dan bukannya hal-hal rohani?
3 “Guru,” kata seorang guru Taurat kepada Yesus, “Saya bersedia mengikut guru ke mana sahaja guru pergi!” Namun demikian, selepas Yesus memberitahu dia bahawa “Anak Manusia tidak mempunyai tempat untuk berbaring dan berehat,” guru Taurat itu mula mengubah fikirannya. Bible tidak menyatakan bahawa dia menjadi pengikut Yesus. Nampaknya dia bimbang dan mungkin berfikir, “Di manakah saya akan tinggal? Adakah saya akan kelaparan?”—Mat. 8:19, 20.
4 Sering kali, kaum lelaki lebih menitikberatkan wang dan kerjaya daripada hal rohani. Mereka mengutamakan pendidikan tinggi dan kerja yang membayar gaji lumayan. Mereka berfikir bahawa hal-hal ini lebih bermanfaat dan lebih penting daripada mempelajari Bible dan menjalin hubungan yang intim dengan Tuhan. Mereka mungkin menyukai ajaran Bible tetapi ‘kekhuatiran tentang hidup dan keinginan untuk hidup mewah’ memadamkan minat mereka terhadap ajaran Bible. (Mrk. 4:18, 19) Mari kita lihat bagaimana Yesus membantu pengikutnya untuk mengutamakan hal-hal rohani.
5, 6. Apakah yang membantu Andreas, Petrus, Yakobus, dan Yohanes untuk mengubah keutamaan hidup dan menumpukan perhatian pada kerja penyebaran?
5 Andreas dan Simon Petrus bekerja sebagai nelayan. Mereka bekerja bersama Yohanes, Yakobus, dan bapa mereka Zebedeus. Perniagaan mereka agak maju memandangkan mereka telah mengupah orang untuk membantu mereka. Mrk. 1:16-20) Semasa Andreas dan Yohanes mula-mula belajar tentang Yesus daripada Yohanes Pembaptis, mereka berasa yakin bahawa mereka telah menjumpai Mesias. Kemudian, Andreas memberitahu saudaranya Simon Petrus tentang berita ini, dan mungkin Yohanes juga memberitahu saudaranya Yakobus. (Yoh. 1:29, 35-41) Dalam bulan-bulan yang berikutnya, mereka berempat menghabiskan masa bersama Yesus seraya dia menjalankan kerja penyebaran di Galilea, Yudea, dan Samaria. Tetapi mereka kemudiannya kembali menangkap ikan. Mereka memang berminat dalam hal-hal rohani tetapi aktiviti penyebaran bukanlah keutamaan mereka.
(6 Tidak lama kemudian, Yesus menjemput Petrus dan Andreas untuk mengikutnya dan ‘menjala orang supaya menjadi pengikutnya.’ Apakah reaksi mereka? Bible memberitahu kita, “Dengan segera adik-beradik itu meninggalkan jala mereka lalu mengikut Yesus.” Yakobus dan Yohanes juga ‘segera meninggalkan perahu dan bapa mereka, lalu mengikut Yesus.’ (Mat. 4:18-22, ABB) Apakah yang membantu keempat-empat lelaki ini untuk menceburi khidmat sepenuh masa? Adakah mereka membuat keputusan secara melulu? Tidak. Mereka telah mengikut Yesus selama beberapa bulan dan telah mendengar Yesus mengajar, melihat dia melakukan mukjizat, mengamati semangat Yesus yang membara untuk apa yang benar, dan menyaksikan cara orang menyambut baik ajarannya. Oleh itu, iman mereka telah bertumbuh dan keyakinan mereka terhadap Yehuwa juga bertambah kukuh!
7. Bagaimanakah kita dapat membantu pelajar Bible memupuk keyakinan terhadap keupayaan Yehuwa untuk menjaga keperluan umat-Nya?
7 Bagaimanakah kita dapat meniru Yesus semasa membantu pelajar Bible untuk memupuk keyakinan pada Yehuwa? (Ams. 3:5, 6) Keberkesanan kita banyak bergantung pada kaedah kita mengajar orang. Kita boleh menekankan bahawa Yehuwa berjanji untuk memberkati kita jika kita mengutamakan Kerajaan-Nya. (Baca Maleakhi 3:10; Matius 6:33.) Walaupun kita boleh menggunakan banyak ayat Bible untuk menunjukkan bagaimana Yehuwa menjaga keperluan umat-Nya, kita juga boleh mengajar orang menerusi teladan kita. Apabila kita memberitahu pelajar Bible bagaimana Yehuwa telah membantu kita, mereka juga akan belajar untuk bergantung pada Yehuwa. Selain itu, kita dapat berkongsi pengalaman dalam bahan bacaan kita dengan mereka.
8. (a) Mengapakah seorang pelajar Bible harus ‘merasakan sendiri betapa baiknya Yehuwa’? (b) Bagaimanakah kita dapat membantu pelajar Bible untuk merasai kebaikan Yehuwa?
8 Jika kita mahu pelajar Bible memiliki iman yang kuat, tidak cukup jika dia sekadar membaca dan mendengar bagaimana Yehuwa memberkati orang. Dia sendiri perlu merasai kebaikan Yehuwa. Mazmur 34:9 (ABB) menyatakan, ‘Rasakanlah sendiri betapa baiknya Yehuwa! Berbahagialah orang yang berlindung kepada-Nya!’ Bagaimanakah kita dapat membantu pelajar Bible untuk merasai kebaikan Yehuwa? Katakan seorang pelajar yang mengalami masalah kewangan sedang mencuba mengatasi tabiat buruk, seperti merokok, berjudi, atau ketagihan alkohol. (Ams. 23:20, 21; 2 Kor. 7:1; 1 Tim. 6:10) Kita boleh mengajar dia berdoa kepada Yehuwa untuk bantuan-Nya. Apabila dia berjaya mengatasi tabiat buruknya, dia akan merasakan sendiri bahawa Yehuwa adalah baik. Kemudian, kita boleh mengajar dia untuk mengutamakan hal-hal rohani seperti mempelajari Bible setiap minggu, serta membuat persediaan dan menghadiri perjumpaan. Apabila dia nampak bagaimana Yehuwa memberkati usahanya, imannya akan bertambah kukuh!
Rasa Takut akan Manusia
9, 10. (a) Mengapakah Nikodemus dan Yusuf dari Arimatea tidak memberitahu orang lain bahawa mereka percaya kepada Yesus? (b) Mengapakah sesetengah lelaki hari ini teragak-agak untuk menjadi pengikut Yesus?
9 Sesetengah lelaki teragak-agak untuk mengikut Yesus kerana mereka mementingkan apa yang difikirkan oleh orang lain. Nikodemus dan Yusuf dari Arimatea tidak memberitahu orang bahawa mereka percaya pada Yesus kerana mereka takut akan reaksi orang Yahudi yang lain. (Yoh. 3:1, 2; 19:38) Rasa takut mereka bukannya tidak berasas. Pemimpin agama begitu membenci Yesus sehingga sesiapa yang menaruh kepercayaan kepada Yesus akan disingkirkan dari rumah ibadat.—Yoh. 9:22.
10 Di sesetengah tempat hari ini, seorang lelaki yang berminat dalam agama, Tuhan, atau Bible akan dicemuh oleh rakan sejawat, sahabat, atau saudara-mara; kadangkala mereka akan menyusahkan dia. Di tempat lain pula, nyawa seseorang mungkin terancam jika dia memberitahu orang bahawa dia mahu memeluk agama lain. Seorang askar, ahli politik, atau orang kenamaan mungkin dikritik jika dia bercakap tentang agama. Contohnya, seorang lelaki di negara Jerman mengaku, “Apa yang diajar oleh Saksi-Saksi Yehuwa tentang Bible memang benar. Tetapi jika saya menjadi seorang Saksi hari ini, esok semua orang akan tahu. Apakah yang akan difikirkan oleh rakan sekerja, jiran, dan orang lain yang mengenali saya sekeluarga? Saya tidak sanggup melakukannya.”
11. Bagaimanakah Yesus membantu murid-muridnya untuk mengatasi rasa takut akan manusia?
11 Walaupun para rasul bukannya pengecut, mereka perlu bergelut dengan rasa takut akan manusia. (Mrk. 14:50, 66-72) Bagaimanakah Yesus membantu mereka untuk membuat kemajuan rohani walaupun ditentang? Yesus mempersiapkan hati dan minda pengikutnya bagi menghadapi tentangan yang bakal menimpa. Dia berkata, “Berbahagialah kamu apabila orang membenci, menolak, dan menghina kamu, serta memburukkan nama kamu kerana Anak Manusia!” (Luk. 6:22, ABB) Yesus memberitahu pengikutnya bahawa mereka akan dianiaya. Tetapi tentangan yang dihadapi adalah demi “Anak Manusia.” Yesus juga menjamin bahawa jika mereka meminta bantuan dan kekuatan daripada Yehuwa, Tuhan akan menyokong mereka. (Luk. 12:4-12) Tambahan lagi, Yesus mengundang orang yang baru untuk bergaul dan menjalin persahabatan dengan murid-muridnya.—Mrk. 10:29, 30.
12. Bagaimanakah kita dapat membantu pelajar Bible untuk mengatasi rasa takut akan manusia?
12 Kita juga perlu membantu pelajar Bible mengatasi rasa takut akan manusia. Cabaran yang dapat diduga selalunya lebih senang untuk diatasi. (Yoh. 15:19) Sebagai contoh, kita boleh membantu pelajar Bible untuk menyediakan jawapan yang ringkas, munasabah, dan yang berdasarkan Bible bagi soalan yang mungkin dikemukakan oleh rakan sejawat atau orang lain. Selain itu, kita boleh menjadi sahabatnya dan memperkenalkannya kepada saudara saudari di sidang yang mungkin mempunyai minat yang sama. Yang penting sekali, kita harus mengajar dia untuk berdoa secara tetap dan ikhlas. Hal ini dapat mengeratkan hubungannya dengan Yehuwa. Dengan demikian Yehuwa boleh menjadi Pembela dan Pelindungnya.—Baca Mazmur 94:21-23; Yakobus 4:8.
Perasaan Kurang Yakin
13. Bagaimanakah perasaan kurang yakin pada diri sendiri menghalang sesetengah lelaki daripada melibatkan diri dalam aktiviti rohani?
13 Sesetengah lelaki tidak mahu melibatkan diri dalam aktiviti rohani kerana mereka tidak pandai membaca, tidak fasih bercakap, atau bersifat pemalu. Yang lain pula berasa kekok untuk meluahkan pandangan atau perasaan sendiri di depan orang. Mempelajari Bible, memberikan komen di perjumpaan, dan berkongsi berita baik dengan orang merupakan cabaran bagi mereka. Seorang saudara berkata, “Semasa saya muda, saya akan berjalan ke pintu rumah dengan cepat, pura-pura menekan loceng, dan beredar dari situ. Saya berharap tidak ada sesiapa yang nampak atau mendengar saya. . . . Berfikir tentang kerja penyebaran dari rumah ke rumah membuat saya jatuh sakit.”
14. Mengapakah murid Yesus gagal menyembuhkan budak lelaki yang dirasuk roh jahat?
14 Bayangkan perasaan murid Yesus semasa mereka gagal menyembuhkan seorang budak lelaki yang dirasuk roh jahat. Mereka tentu berasa kurang yakin pada diri sendiri. Bapa budak itu datang kepada Yesus dan berkata, “[Anak saya] menderita penyakit gila babi. Serangan sawannya begitu teruk sehingga kerap kali dia jatuh ke dalam air atau api. Saya membawa dia kepada pengikut-pengikut tuan, tetapi mereka tidak dapat menyembuhkannya.” Selepas Yesus mengusir roh jahat itu, budak itu pun sembuh. Pengikutnya kemudian bertanya, “Mengapakah kami tidak dapat mengusir roh jahat itu?” Yesus menjawab, ‘Kamu tidak dapat melakukannya, kerana kamu kurang percaya kepada Tuhan. Ketahuilah! Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada bukit ini, “Beralihlah ke sana!” dan bukit ini akan beralih. Kamu dapat melakukan apa sahaja!’ (Mat. 17:14-20, ABB) Orang yang beriman kepada Yehuwa dapat melaksanakan perkara yang nampaknya mustahil. Tetapi orang yang bergantung pada kebolehan sendiri akan gagal, lalu berasa kurang layak untuk berkhidmat kepada Yehuwa.
15, 16. Bagaimanakah kita dapat membantu pelajar Bible menangani perasaan kurang yakin?
15 Satu cara yang baik untuk membantu orang yang sedang bergelut dengan perasaan kurang yakin adalah dengan menggalakkannya untuk menumpukan perhatian pada Yehuwa dan bukan pada diri sendiri. Petrus menulis, ‘Rendahkanlah diri kamu ke bawah tangan Tuhan yang berkuasa, supaya Dia meninggikan kamu pada masa yang ditetapkan-Nya. Serahkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan.’ (1 Ptr. 5:6, 7, ABB) Hal ini bermaksud kita harus membantu pelajar Bible untuk mengasihi Yehuwa dan pedoman-Nya. Seseorang yang berkerohanian mencintai Bible dan memperlihatkan buah daya aktif Tuhan. (Gal. 5:22, 23) Dia mengutamakan doa. (Flp. 4:6, 7) Dan dia bergantung kepada Tuhan untuk mendapatkan kekuatan dan keberanian yang diperlukan untuk melaksanakan kehendak-Nya.—Baca 2 Timotius 1:7, 8.
16 Sesetengah pelajar juga mungkin memerlukan Mat. 9:12.
bantuan praktikal untuk meningkatkan kemahiran membaca dan bertutur. Terdapat juga pelajar yang berasa tidak layak menyembah Yehuwa kerana mereka pernah melakukan perkara yang buruk sebelum mengenali Yehuwa. Yesus berkata, “Orang sihat tidak memerlukan doktor; hanya orang yang sakit.” Maka, bantulah mereka dengan menunjukkan kasih dan kesabaran.—Bantu Lebih Banyak Lelaki untuk Mengenali Yehuwa
17, 18. (a) Bagaimanakah kita dapat membantu lebih banyak lelaki mengenali Yehuwa? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?
17 Hanya mesej Bible yang boleh menawarkan kebahagiaan sejati. Oleh itu, kita mahu membantu lebih banyak lelaki untuk menerima kebenaran. (2 Tim. 3:16, 17) Bagaimanakah kita boleh berbuat demikian? Kita boleh menjalankan kerja penyebaran semasa kaum lelaki selalunya berada di rumah, mungkin pada waktu lewat petang, cuti umum, atau petang hujung minggu. Kita boleh meminta izin untuk bercakap dengan ketua keluarga. Kita boleh melakukan kesaksian tidak formal dengan rakan sekerja lelaki dan membantu suami yang bukan Saksi.
18 Semasa menjalankan kerja penyebaran, kita boleh berasa yakin bahawa orang yang sedang mencari kebenaran akan menyambut baik mesej Bible. Kita harus bersifat sabar dan terus membantu semua yang mahu mengenali kebenaran. Tetapi, bagaimanakah kita dapat membantu saudara terbaptis memikul tanggungjawab di dalam sidang? Rencana seterusnya akan menjawab soalan ini.
Apakah Jawapan Anda?
• Bagaimanakah kita dapat membantu kaum lelaki untuk mengutamakan hal-hal rohani?
• Bagaimanakah kita dapat membantu pelajar Bible untuk mengatasi rasa takut akan manusia?
• Apakah yang dapat membantu seseorang mengatasi perasaan kurang yakin?
[Soalan Pembelajaran]
[Gambar pada muka surat 25]
Adakah anda mencari kesempatan untuk memberikan kesaksian kepada kaum lelaki?
[Gambar pada muka surat 26]
Bagaimanakah anda dapat membantu pelajar Bible menghadapi cubaan?