Khazanah Rohani Kita
Memelihara Harta Pusaka Kita
UMAT Yehuwa memiliki warisan rohani yang kaya sekali. Kekayaannya bukan sahaja terukir pada bahan bacaan kita, tetapi juga pada foto, surat, kisah hidup, dan artifak yang berkaitan dengan ibadat, kerja penyebaran, dan sejarah kita. Namun, apakah manfaat memelihara bahan sebegini dan meniti sejarah silam? Ketua keluarga di Israel kuno diperintahkan untuk memberitahu anak-anak hukum dan perbuatan ajaib Yehuwa agar ‘mereka juga akan berharap kepada Tuhan.’—Mzm. 78:1-7.
Penyelidikan arkib sudah lama memainkan peranan dalam pelaksanaan tujuan Yehuwa. Contohnya, semasa musuh cuba menghalang pembinaan semula Rumah Tuhan di Yerusalem, perintah telah dikeluarkan untuk memeriksa arkib kerajaan di ibu kota Media, iaitu Ahmeta. Hasilnya, catatan bertulis tentang perintah Raja Kores untuk membina semula Rumah Tuhan telah ditemui. (Ezr. 6:1-4, 12) Jadi, Rumah Tuhan dibina selaras dengan kehendak-Nya. Lukas juga ‘menyelidiki semua peristiwa dari permulaan’ dengan menggunakan sumber arkib.—Luk. 1:1-4.
Badan Pimpinan sangat berminat dalam sejarah teokratik kita. Khazanah rohani kita perlu disimpan, dicatat, dan dikongsi. Seorang ahli Badan Pimpinan berkata, “Untuk mengetahui hala tuju kita, kita harus mengetahui asal usul kita.”
Untuk tujuan itu, bahagian “Arkib Penulisan” telah ditubuhkan baru-baru ini di ibu pejabat sedunia, Brooklyn, New York. Bahagian ini adalah di bawah jagaan Jawatankuasa Penulisan.“ALBUM KELUARGA” DAN “HARTA PUSAKA”
Aliran masa menyebabkan kenangan silam beransur-ansur pudar. Ramai antara kita mungkin berfikir, ‘Sayangnya saya tidak menyimpan rekod keluarga yang lebih lengkap.’ Dalam Arkib Penulisan, usaha untuk memelihara dan mendokumentasikan warisan kita sedang giat dijalankan. Foto-foto yang disimpan dalam Arkib boleh dianggap sebagai “album keluarga” kita. Bahan bacaan kita dahulu, kisah benar yang mendebarkan, dan memorabilia juga membentuk intan mutiara yang disimpan dalam Arkib. Semua ini merupakan “harta pusaka” yang menjelaskan warisan teokratik kita dan menguatkan keyakinan kita terhadap masa depan keluarga rohani kita.
Maka, bacalah rencana baru “Khazanah Rohani Kita” yang akan diterbitkan secara berkala dalam edisi pembelajaran. Rencana ini akan menjadi “teropong” untuk melihat apa yang tersimpan dalam Arkib Penulisan. Misalnya, dalam salah satu terbitan yang akan datang, kami ingin menyiarkan rencana bergambar yang menjawab soalan: Apa itu Dawn Mobile? Siapakah yang menggunakannya? Bilakah dan mengapakah alat ini digunakan?
Album keluarga berisi kenangan yang menyingkapkan banyak maklumat tentang diri kita dan nenek moyang. Begitu juga dengan koleksi Arkib. Kita akan melihat iman, keberanian, sukacita, cabaran yang dialami oleh rakan seiman, dan mengetahui bagaimana Tuhan sentiasa membimbing dan menyokong umat-Nya. (Ul. 33:27) Kami yakin bahawa Yehuwa akan memberkati usaha untuk melestarikan sejarah rohani supaya kita bersatu padu dan dikuatkan untuk melaksanakan kehendak-Nya.
[Kotak/Gambar pada muka surat 31]
Mengetahui Selok-Beloknya
Semasa menyediakan bahan bacaan, DVD, dan terbitan lain yang berdasarkan Bible, penulis, pelukis, penyelidik, dan orang lain bergantung pada sumber-sumber arkib. Oleh itu, Arkib Penulisan mengambil langkah yang praktikal untuk mengumpulkan bahan bersejarah daripada pejabat cawangan, bahagian Bethel, sidang, individu, dan institusi sekular, lalu menyimpannya dengan cermat. Berikut adalah sedikit sebanyak tentang kerja ini:
Memperoleh dan Menganalisis: Bahan-bahan yang unik sentiasa ditambahkan kepada koleksi Arkib. Kebanyakannya didermakan atau dipinjamkan oleh individu yang berasal daripada keluarga yang telah menyembah Yehuwa selama berpuluh-puluh tahun. Setelah membandingkan dan menganalisis bahan sebegini, kita lebih memahami sejarah organisasi dan saudara saudari kita.
Mengkatalogkan: Koleksi Arkib Penulisan mengandungi beribu-ribu barang, ada yang usianya menjangkau seratus tahun. Barang-barang ini beraneka bentuk, saiz, dan format. Jadi, semua itu harus dikatalogkan agar mudah dirujuk kelak.
Memulihara dan Memelihara: Buku-buku dan artifak yang rapuh akan dibaiki, dipulihkan, dan dipelihara secara profesional. Dokumen, foto, keratan akhbar, filem, dan rakaman akan disimpan dalam bentuk digital. Dengan ini penyelidik dapat mengkaji maklumatnya tanpa mengusik barang asal.
Menyimpan dan Mendapatkan Semula: Bahan arkib disimpan dengan teratur dan selamat agar tidak hilang atau dirosakkan oleh cahaya dan kelembapan. Pangkalan data sedang disediakan untuk membantu penyelidik mencari intan mutiara dari sejarah silam kita.
[Gambar pada muka surat 32]
1. Poster “Photo-Drama of Creation.” 2. Senarai langganan. 3. Kereta bunyi. 4. Kulit depan Watch Tower 15 April 1912. 5. Notis penjara J. F. Rutherford. 6. Mikrofon WBBR. 7. Peti nyanyi (Gramofon). 8. Beg buku. 9. Catatan peribadi. 10. Telegram kepada J. F. Rutherford.