Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Sembahlah Yehuwa dengan Sepenuh Hati

Sembahlah Yehuwa dengan Sepenuh Hati

Sembahlah Yehuwa dengan Sepenuh Hati

“Engkau harus mengabdikan diri kepada-Nya dengan tulus ikhlas dan rela hati.”​—1 TAW. 28:9.

CARILAH JAWAPANNYA:

Apakah erti kiasan istilah “hati”?

Apakah kaedah yang baik untuk memeriksa hati kita?

Bagaimanakah kita dapat menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati?

1, 2. (a) Dalam Bible, apakah anggota tubuh yang paling kerap digunakan secara kiasan? (b) Mengapakah kita perlu memahami maksud perkataan “hati”?

FIRMAN Tuhan sering kali merujuk kepada anggota badan secara simbolik. Contohnya, Daud telah menulis, “Biarlah mata mereka buta; biarlah tulang belakang mereka lemah.” Bible juga menyatakan bahawa perkara yang dibenci oleh Yehuwa termasuk “kaki yang bergegas menuju kejahatan.” Yehuwa berfirman, “Aku telah menuliskan nama kamu pada tapak tangan-Ku.” Nabi Yeremia berkata kepada orang Israel, “Kamu mempunyai mata tetapi tidak melihat; mempunyai telinga tetapi tidak mendengar!”​—Mzm. 69:24; Ams. 6:16-19; Yes. 49:16; Yer. 5:21.

2 Namun, terdapat satu anggota tubuh yang paling kerap disebut dalam Bible. Perhatikan doa Hana semasa dia berkata, ‘Yehuwa menggembirakan hatiku.’ (1 Sam. 2:1) Dalam Bible, hati disebut kira-kira seribu kali dan kebanyakannya membawa erti kiasan. Kita perlu memahami apa yang dilambangkan oleh perkataan “hati,” kerana Bible menyatakan bahawa hati manusia licik dan kita perlu menjaganya.​—Baca Yeremia 17:9.

HATI​—ERTI KIASANNYA

3. Bagaimanakah kita dapat mengetahui erti “hati” dalam Bible? Jelaskan dengan contoh.

3 Meskipun Firman Tuhan tidak memberikan takrif perkataan “hati,” kita masih boleh mengetahui ertinya. Bagaimana? Bayangkan sehelai kain bercorak yang terbentuk daripada beribu-ribu benang. Kita tidak dapat melihat coraknya dengan melihat benang itu secara berasingan. Tetapi selepas ditenun, coraknya dapat dilihat dengan jelas. Begitu juga, jika kita “menenun” ribuan contoh dalam Bible di mana “hati” digunakan, kita akan mendapat satu corak. Apakah corak itu?

4. (a) Apakah yang dilambangkan oleh istilah “hati”? (b) Apakah maksud kata-kata Yesus di Matius 22:37?

4 Penulis Bible menggunakan istilah “hati” untuk menggambarkan batin kita, termasuk keinginan, fikiran, sikap, perangai, kebolehan, niat, dan tujuan kita. (Baca Ulangan 15:9; Amsal 13:12; Yesaya 10:7.) Sebuah buku rujukan menyatakan bahawa “hati” merangkumi “seluruh batin seseorang.” Ada kalanya, “hati” tidak membawa makna yang begitu luas. Misalnya Yesus berkata, ‘Kasihilah Yehuwa Tuhanmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.’ (Mat. 22:37, ABB) Dalam ayat ini, “hati” merujuk kepada emosi, keinginan, dan perasaan batin. Yesus menyebut hati, jiwa, dan akal secara berasingan untuk menegaskan bahawa kasih kita terhadap Tuhan perlu ditunjukkan dari segi perasaan, cara hidup, dan pemikiran. (Yoh. 17:3; Ef. 6:6) Namun, istilah “hati” biasanya merujuk kepada seluruh batin kita.

MENGAPA KITA PERLU MENJAGA HATI SENDIRI

5. Mengapakah kita ingin menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati?

5 Raja Daud telah mengingatkan Salomo pentingnya menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Dia berkata, ‘Hai putera beta, hendaklah Tuhan yang disembah ayahandamu, engkau akui sebagai Tuhanmu. Engkau harus mengabdikan diri kepada-Nya dengan tulus ikhlas dan rela hati, kerana Dia tahu akan segala fikiran dan keinginan hati kita.’ (1 Taw. 28:9) Ya, Yehuwa menguji hati semua orang. (Ams. 17:3; 21:2) Apa yang tersimpan dalam hati kita akan mempengaruhi hubungan kita dengan-Nya dan masa depan kita. Oleh itu, kita mempunyai sebab yang baik untuk menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati, seperti yang dinasihatkan oleh Daud.

6. Apakah yang boleh berlaku terhadap tekad kita untuk menyembah Yehuwa?

6 Apabila kita menyertai kegiatan umat Yehuwa dengan sungguh-sungguh, hal ini membuktikan bahawa kita ingin menyembah Tuhan dengan sepenuh hati. Pada masa yang sama, kita sedar bahawa tekanan daripada dunia Syaitan dan kecenderungan untuk berdosa bagaikan ombak yang boleh menghakis tekad kita untuk menyembah Tuhan dengan sepenuh hati. (Yer. 17:9; Ef. 2:2) Jadi, kita perlu sentiasa memeriksa hati kita untuk memastikan agar tekad kita untuk menyembah Tuhan kekal kuat. Apakah caranya?

7. Apakah yang boleh menyingkapkan keadaan hati kita?

7 Sebagaimana teras pokok tidak dapat dilihat, begitu juga dengan sifat batin kita. Namun, menurut khutbah Yesus di atas bukit, sebagaimana buah menunjukkan keadaan pokok yang sebenar, perbuatan kita menyingkapkan keadaan hati kita yang sebenar. (Mat. 7:17-20) Mari kita bincangkan satu contoh.

UJIAN YANG MENYINGKAPKAN KEADAAN HATI KITA

8. Apakah kaitan kata-kata Yesus di Matius 6:33 dengan isi hati kita?

8 Sebelum itu, Yesus telah memberitahu pendengarnya tindakan yang boleh menunjukkan bahawa mereka ingin menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Dia berkata, ‘Utamakanlah Pemerintahan Tuhan dan lakukanlah kehendak-Nya, lalu Tuhan akan memberikan semua itu kepada kamu.’ (Mat. 6:33, ABB) Sememangnya, keutamaan hidup kita menyingkapkan keinginan, pemikiran, dan rancangan yang terpendam di hati. Maka, dengan menilai keutamaan hidup sendiri, kita boleh melihat sama ada kita sedang menyembah Tuhan dengan sepenuh hati atau tidak.

9. Apakah jemputan Yesus kepada beberapa orang, dan apakah yang disingkapkan melalui jawapan mereka?

9 Tidak lama setelah Yesus menggesa pengikutnya untuk ‘mengutamakan pemerintahan Tuhan,’ sebuah peristiwa telah menunjukkan bahawa keutamaan hidup seseorang memang menyingkapkan keadaan hatinya. Yesus bertekad untuk menjalankan kehendak Tuhan. Lukas menulis bahawa dia “mengambil keputusan untuk pergi ke Yerusalem.” Meskipun dia tahu dia akan dianiaya, dia tidak teragak-agak untuk pergi ke sana. “Sedang [Yesus dan pengikutnya] meneruskan perjalanan,” dia telah berkata kepada beberapa orang, ‘Ikutlah aku.’ Mereka sudi mengikut Yesus, tetapi ada syaratnya. Seorang berkata, “Benarkan saya balik untuk mengebumikan jenazah bapa saya dahulu.Seorang lagi berkata, “Saya mahu mengikut tuan, tetapi benarkan saya balik dahulu untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga saya.” (Luk. 9:51, 57-61) Sikap mereka sangat berbeza dengan Yesus! Memandangkan mereka lebih mengutamakan kepentingan diri daripada Kerajaan Tuhan, hal ini menunjukkan bahawa mereka tidak menyembah Tuhan dengan sepenuh hati.

10. (a) Bagaimanakah ramai orang hari ini menyambut jemputan Yesus? (b) Apakah perumpamaan yang diceritakan oleh Yesus?

10 Tidak seperti mereka, kita telah menerima jemputan Yesus untuk menjadi pengikutnya. Kini, kita sedang menyembah Yehuwa setiap hari. Hal ini menyingkapkan perasaan kita terhadap Yehuwa. Walaupun kita aktif dalam sidang, kita masih perlu menjaga hati sendiri. Mengapa? Dalam perbualan Yesus kepada beberapa orang tadi, dia berkata, ‘Orang yang mula membajak, tetapi selalu menoleh ke belakang, tidak layak menikmati Pemerintahan Tuhan.’ (Luk. 9:62) Apakah iktibarnya bagi kita?

ADAKAH KITA “BERPEGANG KEPADA APA YANG BAIK”?

11. Dalam perumpamaan Yesus, apakah yang berlaku kepada tanah yang perlu dibajak, dan mengapa?

11 Mari kita menambahkan beberapa butiran kepada perumpamaan Yesus: Seseorang yang sedang sibuk membajak asyik berfikir tentang keluarga, kawan, makanan, muzik, keseronokan, dan keselesaan di rumah. Dia menginginkan semua ini. Setelah membajak seketika, keinginannya menjadi begitu kuat sehingga dia “menoleh ke belakang.” Walaupun dia masih ada banyak tanah yang perlu dibajak, tumpuannya sudah hilang dan kerjanya terjejas. Sudah pasti, majikannya marah kerana dia tidak melaksanakan kerjanya dengan tabah hati.

12. Apakah persamaan antara peladang dalam perumpamaan Yesus dengan sesetengah orang Kristian hari ini?

12 Sekarang, bayangkan perkara yang sama pada zaman moden ini. Peladang itu boleh melambangkan mana-mana orang Kristian yang nampaknya sihat secara rohani tetapi keadaan hatinya tidak begitu sihat. Sebagai contoh, seorang saudara menghabiskan banyak masa dalam aktiviti penyebaran. Meskipun dia menghadiri perjumpaan dan menginjil, dia asyik memikirkan gaya hidup dunia yang disukainya. Dalam hatinya, dia menginginkan hal-hal ini. Beberapa tahun kemudian, keinginannya menjadi begitu kuat sehingga dia “menoleh ke belakang.” Walaupun masih ada banyak kerja penyebaran yang perlu dilakukan, dia tidak bertumpu pada penyembahan Yehuwa dan kegiatan teokratiknya merosot. (Flp. 2:15, 16) Sebagai “Pemilik tuaian,” Yehuwa berasa sedih kerana dia tidak bekerja dengan tabah.​—Luk. 10:2.

13. Apakah maksud menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati?

13 Apakah pengajarannya bagi kita? Biarpun kita menghadiri perjumpaan dan menjalankan kerja penyebaran dengan tetap, usaha sedemikian tidak semestinya bermaksud kita sedang menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. (2 Taw. 25:1, 2, 27) Jika dalam hatinya, seorang Kristian masih “menoleh ke belakang” kerana mencintai gaya hidup dunia, hubungannya dengan Tuhan akan terancam. (Luk. 17:32) Hanya dengan “membenci apa yang jahat, [dan] berpegang kepada apa yang baik,” barulah kita ‘layak menikmati pemerintahan Tuhan.’ (Rm. 12:9; Luk. 9:62) Meskipun terdapat sesetengah perkara dalam dunia Syaitan yang nampaknya berguna dan menyeronokkan, janganlah membiarkan hal-hal sebegini menghalang kita daripada menyembah Tuhan dengan sepenuh hati.​—2 Kor. 11:14; baca Filipi 3:13, 14.

TERUSLAH BERWASPADA!

14, 15. (a) Bagaimanakah Syaitan mencuba mempengaruhi keadaan hati kita? (b) Gunakan contoh untuk menjelaskan sebabnya helah Syaitan begitu berbahaya.

14 Kita telah membaktikan diri kepada Yehuwa kerana kita mengasihi-Nya. Selama bertahun-tahun, ramai antara kita telah membuktikan bahawa kita ingin menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Namun, Syaitan masih belum putus asa. Dia ingin menyerang hati kita. (Ef. 6:12) Dia pasti tahu bahawa kita tidak akan meninggalkan Yehuwa secara tiba-tiba, jadi dia memperalatkan sistem dunia ini untuk melemahkan semangat kita secara beransur-ansur. (Baca Markus 4:18, 19.) Mengapakah helahnya begitu berkesan?

15 Fikirkan contoh ini: Anda sedang membaca buku di bawah mentol 100 watt, dan mentol itu terbakar. Keadaan di sekitar anda menjadi gelap, lalu anda menukar mentol itu. Bilik anda menjadi terang semula. Keesokan malam, anda memasang lampu yang sama dan meneruskan pembacaan. Tetapi, seorang telah curi-curi menukar mentol 100 watt dengan mentol 95 watt. Adakah anda akan perasan? Mungkin tidak. Jika pada hari seterusnya, mentol 95 watt digantikan dengan mentol 90 watt, adakah anda akan perasan? Mungkin tidak juga. Mengapa? Cahaya lampu menjadi malap sedikit demi sedikit, sehingga anda tidak menyedarinya. Begitu juga, pengaruh dunia Syaitan mungkin menyebabkan semangat kita beransur-ansur pudar. Jika kita tidak berwaspada, Syaitan mungkin akan berjaya beransur-ansur memudarkan semangat kita sehingga kita tidak menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati.​—Mat. 24:42; 1 Ptr. 5:8.

JANGAN LUPA BERDOA

16. Bagaimanakah kita boleh melindungi diri daripada helah Syaitan?

16 Bagaimanakah kita boleh melindungi diri daripada helah Syaitan dan menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati? (2 Kor. 2:11) Doa sangat penting. Paulus menggalakkan rakan seimannya agar “mempertahankan diri daripada muslihat Iblis yang jahat.” Kemudian dia berkata, ‘Berdoa untuk meminta pertolongan daripada Tuhan. Berdoalah sentiasa.’​—Ef. 6:11, 18; 1 Ptr. 4:7.

17. Apakah yang kita pelajari daripada doa Yesus?

17 Untuk melawan Syaitan, kita perlu tekun berdoa seperti Yesus. Yesus berbuat demikian kerana dia ingin menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Lukas telah mencatatkan bagaimana Yesus berdoa pada malam sebelum kematiannya: ‘Kerana berat penderitaannya, Yesus semakin tekun berdoa.’ (Luk. 22:44) Sebelum ini, Yesus pernah berdoa dengan sungguh-sungguh. Tetapi semasa menghadapi dugaan yang terbesar baginya di bumi, Yesus “semakin tekun berdoa” dan Tuhan telah menjawab doanya. Contoh Yesus menunjukkan bahawa doa kita ada tahap kesungguhan. Oleh itu, apabila dugaan kita menjadi semakin berat, dan apabila muslihat Syaitan menjadi semakin licik, kita perlu “semakin tekun berdoa” untuk memohon perlindungan Yehuwa.

18. (a) Apakah yang harus kita tanya tentang doa sendiri, dan mengapa? (b) Apakah faktor-faktor yang akan mempengaruhi hati kita? Bagaimana? (Lihat  kotak pada muka 16.)

18 Mengapakah doa sebegini sangat penting? Paulus menyatakan, ‘Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Tuhan apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Tuhan, hendaklah kamu selalu mengucap syukur. Kesejahteraan daripada Tuhan akan menjaga hatimu.’ (Flp. 4:6, 7) Ya, kita perlu berdoa dengan kerap dan sungguh-sungguh agar dapat menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. (Luk. 6:12) Maka tanyalah diri anda, “Adakah saya berdoa dengan kerap dan sungguh-sungguh?” (Mat. 7:7; Rm. 12:12) Jawapan anda akan menunjukkan sekuat mana keinginan anda untuk menyembah Tuhan.

19. Apakah yang akan anda lakukan untuk menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati?

19 Perbincangan tadi menunjukkan bahawa keutamaan hidup kita boleh menyingkapkan keadaan hati kita. Kita ingin memastikan bahawa gaya hidup yang lama serta muslihat Syaitan tidak menghakis tekad kita untuk terus menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. (Baca Lukas 21:19, 34-36.) Seperti Daud, semoga kita terus memohon Yehuwa, “Jelaskanlah Taurat-Mu kepadaku supaya aku mematuhinya, dan dengan sepenuh hati melakukannya”!​—Mzm. 119:34, ABB.

[Soalan Pembelajaran]

[Kotak pada muka surat 16]

 TIGA FAKTOR YANG MEMPENGARUHI HATI KITA

Kita perlu mengambil langkah tertentu untuk menjaga kesihatan fizikal. Begitu juga dengan kesihatan hati kiasan kita. Perhatikan tiga faktor yang penting:

1 Khasiat: Badan kita perlu mendapat khasiat yang mencukupi. Begitu juga, kita perlu sentiasa membuat pembelajaran peribadi, perenungan, dan menghadiri perjumpaan secara tetap untuk menerima makanan rohani.​—Mzm. 1:1, 2; Ams. 15:28; Ibr. 10:24, 25.

2 Senaman: Kita perlu bersenam untuk menjaga kesihatan badan. Dalam cara yang sama, kita dapat menjaga kesihatan hati kiasan apabila kita meningkatkan usaha untuk menyertai kerja penyebaran dengan bersungguh-sungguh.​—Luk. 13:24; Flp. 3:12.

3 Persekitaran: Dunia ini boleh menyebabkan kita berasa tertekan. Namun, kita boleh mengurangkan tekanan sebegini dengan bergaul dengan saudara saudari kita sekerap yang mungkin. Mereka mengambil berat terhadap kita dan menyembah Tuhan dengan sepenuh hati.​—Mzm. 119:63; Ams. 13:20.