“Berhati-hatilah dengan Ragi Orang Farisi”
“Berhati-hatilah dengan Ragi Orang Farisi”
Yesus memberikan amaran berikut kepada pengikutnya: ‘Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi, maksudku kemunafikan mereka.’ (Luk. 12:1) Menurut catatan Matius, Yesus merujuk kepada “ajaran orang Farisi.”—Mat. 16:12.
Bible kadangkala menggunakan perkataan “ragi,” atau yis sebagai simbol keburukan. Ajaran dan sikap orang Farisi memberi kesan yang buruk ke atas pendengar mereka. Mengapakah ajaran orang Farisi berbahaya?
1 Orang Farisi berasa megah kerana menganggap diri mereka adil benar dan memandang hina orang lain.
Sikap orang Farisi ditonjolkan oleh Yesus dalam cerita ibaratnya. Dia berkata, ‘Farisi itu berdiri sendirian dan berdoa, “Aku bersyukur kepada-Mu, ya Tuhan, kerana aku tidak seperti orang lain yang tamak, suka menipu atau berzina. Aku bersyukur kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini. Aku berpuasa dua kali seminggu dan aku mempersembahkan sepersepuluh daripada segala pendapatanku.” Tetapi pemungut cukai itu berdiri agak jauh dan tidak berani menengadah ke langit. Dia menebah dada kerana menyesal sambil berkata, “Ya Tuhan, kasihanilah hamba, orang berdosa ini!”’—Luk. 18:11-13, ABB.
Yesus memuji sifat rendah hati yang diperlihatkan oleh pemungut cukai itu. Dia berkata, ‘Percayalah, apabila mereka pulang ke rumah, pemungut cukailah yang diterima oleh Tuhan dan bukan orang Farisi itu. Setiap orang yang meninggikan diri akan direndahkan dan setiap orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.’ (Luk. 18:14, ABB) Walaupun pemungut cukai biasanya tidak bersikap jujur, Yesus mencuba membantu mereka yang sanggup mendengarkannya. Sekurang-kurangnya dua orang pemungut cukai menjadi pengikut Yesus, iaitu Matius dan Zakheus.
Jika kita berbakat atau diberikan tugas tertentu, patutkah kita memandang rendah pada orang yang gagal atau yang mempunyai kelemahan tertentu? Tidak. Fikiran seperti ini harus segera disingkirkan. Bible menyatakan, ‘Sesiapa yang mengasihi orang lain, sabar, baik hati, tidak iri hati, tidak bercakap besar, tidak sombong, tidak berkasar, tidak mementingkan diri sendiri, tidak cepat tersinggung, tidak mendendam, dan tidak gembira dengan kejahatan. Tetapi dia gembira dengan kebaikan.’—1 Kor. 13:4-6, ABB.
Kita sepatutnya meniru sikap Paulus. Dia berkata, “Yesus datang ke dunia untuk menyelamatkan orang berdosa. Akulah yang paling jahat.”—1 Tim. 1:15.
Soalan-soalan untuk direnungkan:
Adakah saya sedar bahawa saya seorang pendosa dan perlu bergantung pada rahmat Yehuwa agar diselamatkan? Atau adakah saya suka bermegah kerana telah lama berkhidmat kepada Tuhan, diberikan tugas tertentu, atau mempunyai bakat semula jadi?
2 Orang Farisi cuba untuk menarik perhatian orang lain dengan berdoa di tempat umum. Mereka suka gelaran kebesaran dan penghormatan.
Yesus berkata, “Mereka melakukan segala sesuatu hanya untuk dilihat orang. Lihatlah betapa besarnya bekas ayat Alkitab yang diikat pada dahi dan lengan mereka. Perhatikan juga betapa panjangnya rumbai jubah mereka! Mereka gemar akan tempat yang terbaik di majlis jamuan, dan akan kerusi istimewa di rumah ibadat. Mereka suka dihormati orang di pasar, dan suka dipanggil ‘Guru.’” (Mat. 23:5-7, ABB) Sikap Yesus jauh berbeza. Walaupun dia Anak Tuhan yang sempurna, dia rendah hati. Apabila seorang lelaki berkata bahawa Yesus “baik,” Yesus bertanya, ‘Mengapa kamu mengatakan aku baik? Tiada seorang pun yang baik kecuali Tuhan.’ (Mrk. 10:18) Pada kesempatan lain, Yesus menunjukkan pentingnya untuk bersikap rendah hati dengan mencuci kaki pengikutnya.—Yoh. 13:1-15.
Orang Kristian sejati harus sedia berkhidmat kepada rakan seiman. (Gal. 5:13) Hal ini sangat penting bagi mereka yang mahu menjadi penyelia. Memang bagus jika ‘seseorang ingin menjadi pemimpin jemaah,’ tetapi matlamat ini harus berputik daripada hasrat untuk membantu orang lain. Menjadi seorang penyelia tidak bermaksud seseorang mendapat kuasa atau kedudukan tinggi. Seorang penyelia haruslah bersikap “rendah hati” seperti Yesus.—1 Tim. 3:1, 6; Mat. 11:29.
Soalan-soalan untuk direnungkan:
Adakah saya berbaik-baik dengan orang yang memikul tanggungjawab dalam sidang supaya saya mendapat sanjungan atau peluang istimewa lain? Adakah saya hanya mementingkan tugas yang membawa pujian dan penghormatan? Adakah saya cuba untuk menonjolkan diri?
3 Peraturan dan adat orang Farisi menyebabkan Hukum Musa menjadi beban bagi orang ramai.
Hukum Musa mengandungi arahan asas tentang penyembahan Yehuwa. Butiran yang kecil tidak disenaraikan. Sebagai contoh, Hukum melarang orang bekerja pada hari Sabat, tetapi butiran tentang apa yang terangkum sebagai “kerja” tidak disenaraikan. (Kel. 20:10) Orang Farisi mencuba mengisi “tempat kosong” dalam Hukum dengan peraturan, tafsiran, dan adat sendiri. Yesus tidak mengendahkan peraturan Farisi yang mengongkong tetapi dia mematuhi Hukum Musa. (Mat. 5:17, 18; 23:23) Yesus bukan sahaja mengetahui apa yang termaktub dalam Hukum Musa; dia memahami mengapa hukum-hukum ini diberikan. Yesus juga tahu pentingnya sifat belas kasihan. Walaupun pengikutnya mengecewakannya, dia tetap bersikap munasabah. Misalnya, Yesus menggesa tiga orang rasulnya untuk berjaga-jaga pada malam terakhirnya di bumi, tetapi mereka asyik terlena. Meskipun begitu, dia berkata dengan penuh belas kasihan, “Kamu ingin melakukan apa yang benar, tetapi kamu tidak sanggup kerana kamu lemah.”—Mrk. 14:34-42.
Soalan-soalan untuk direnungkan:
Adakah saya suka menetapkan peraturan yang tegas atau memaksa orang lain menurut pandangan peribadi saya? Adakah saya bersikap munasabah?
Renungkan perbezaan antara ajaran Yesus dengan ajaran orang Farisi. Perlukah anda membuat perubahan? Jika ya, bertekadlah untuk berbuat demikian.
[Gambar pada muka surat 28]
Orang Farisi memakai bekas ayat Alkitab.—Mat. 23:2, 5
[Gambar pada muka surat 29]
Penatua berkhidmat dengan rendah hati, tidak seperti orang Farisi yang hidung tinggi
[Gambar pada muka surat 30]
Adakah anda munasabah seperti Yesus?