Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Laporan Mesyuarat Tahunan

Mesyuarat yang Menyerlahkan Perpaduan dan Rancangan Baru

Mesyuarat yang Menyerlahkan Perpaduan dan Rancangan Baru

MESYUARAT tahunan Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania sering kali mencetuskan perasaan gembira. Hal ini tidak terkecuali bagi mesyuarat yang ke-127 yang berlangsung pada 1 Oktober 2011! Tetamu dari seluruh dunia berkumpul di Dewan Perhimpunan Saksi-Saksi Yehuwa di Jersey City, New Jersey, A.S.

Gerrit Lösch, anggota Badan Pimpinan, mengalu-alukan kedatangan semua orang. Dia memberitahu hadirin dari sekitar 85 buah negara bahawa mereka menikmati perpaduan sejagat yang istimewa. Perpaduan kita memberikan kesaksian yang baik dan memuliakan Yehuwa. Sebenarnya, perpaduan telah menjadi tema utama bagi mesyuarat ini.

LAPORAN YANG MEMBINA DARI MEXICO

Bahagian pertama dalam program ini menyerlahkan perpaduan umat Yehuwa. Baltasar Perla menemu ramah 3 anggota keluarga Bethel Mexico tentang pergabungan 6 pejabat cawangan Amerika Tengah dengan Bethel Mexico. Pergabungan ini menjadikan Bethel Mexico kaya dengan orang yang berbilang kaum. Hasilnya mereka saling menggalakkan dan berasa Tuhan seolah-olah telah mengambil pemadam yang besar lalu menghapuskan sempadan antarabangsa.

Memandangkan sesetengah negara tidak mempunyai pejabat cawangan lagi, adakah penyiar di situ akan berasa tersisih daripada organisasi Yehuwa? Tidak. Setiap sidang mempunyai talian e-mel yang dikhaskan supaya mereka yang berada di kawasan yang terpencil pun dapat terus menghubungi pejabat cawangan.

LAPORAN TERKINI DARI JEPUN

James Linton dari cawangan Jepun menjelaskan kesan gempa bumi dan tsunami yang berlaku pada Mac 2011 ke atas saudara saudari kita. Ramai Saksi kehilangan orang tersayang serta harta milik. Saksi-Saksi di luar kawasan bencana menyediakan lebih daripada 3,100 rumah dan ratusan kenderaan. Para sukarelawan di bawah Jawatankuasa Pembinaan Serantau bekerja tanpa henti untuk membaiki rumah saudara saudari kita. Lebih daripada 1,700 orang telah menawarkan bantuan mereka secara sukarela. Sepasukan sukarelawan dari Amerika Syarikat dan 575 orang yang lain telah membantu dalam kerja membaik pulih Dewan Perjumpaan.

Tumpuan diberikan kepada keperluan rohani dan emosi mangsa bencana. Lebih daripada 400 orang penatua membantu dalam kerja penggembalaan. Keprihatinan Badan Pimpinan diperlihatkan semasa dua penyelia zon dari ibu pejabat mengunjungi kawasan bencana untuk menawarkan galakan. Keprihatinan saudara sejagat juga membawa kelegaan hati yang besar.

KEMENANGAN MAHKAMAH

Para hadirin memberikan perhatian penuh semasa saudara Stephen Hardy dari cawangan Britain mengetuai perbincangan tentang kemenangan mahkamah baru-baru ini. Sebagai contoh, kerajaan Perancis menuntut cukai berjumlah 82 juta dolar (A.S.) daripada Saksi-Saksi Yehuwa di Perancis. Isu ini diselesaikan semasa Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) berpihak pada kita dan menyatakan bahawa kerajaan Perancis disabitkan bersalah menurut Artikel 9 Konvensyen Eropah, yang melindungi kebebasan beragama. Keputusan yang dibuat jelas menunjukkan bahawa wang bukan akar umbi kes ini, “Keengganan untuk mengiktiraf sesuatu persatuan agama, pembubarannya, serta penggunaan kata-kata yang menghina atasnya, semua bercanggah dengan hak yang dijamin dalam Artikel 9 Konvensyen.”

ECHR juga memihak kita dalam kes yang melibatkan Armenia. Sejak tahun 1965, ECHR berpegang pada dasar bahawa Konvensyen Eropah tidak melindungi individu-individu daripada khidmat tentera yang wajib. Grand Chamber, iaitu mahkamah tertinggi di Eropah, menyatakan bahawa Konvensyen Eropah patut melindungi seseorang yang menolak khidmat tentera berdasarkan konflik yang sangat serius dan besar. Keputusan ini mewajibkan Armenia, dan negara-negara seperti Azerbaijan dan Turki untuk turut menghormati hak itu.

PROJEK PEMBINAAN

Guy Pierce, anggota Badan Pimpinan, menyatakan bahawa semua hadirin tentu tidak sabar-sabar untuk mengetahui projek kita di New York. Dia menayangkan video yang menunjukkan perkembangan di Wallkill, Paterson serta tanah yang baru di Warwick dan Tuxedo, New York. Di Wallkill, 300 bilik lagi akan siap dibina pada tahun 2014.

Terdapat juga rancangan untuk mengembangkan tanah di Warwick yang saiznya 248 ekar. “Walaupun kami tidak pasti apa kehendak Yehuwa tentang Warwick buat masa ini,” kata Saudara Pierce, “kami merancang untuk memindahkan ibu pejabat Saksi-Saksi Yehuwa ke situ.” Terdapat rancangan untuk meletakkan mesin dan bahan binaan di sebidang tanah 50 ekar yang terletak 10 km dari Warwick. “Sebaik sahaja kami mendapat kebenaran untuk memulakan kerja pembinaan, kami berharap projek ini akan disiapkan dalam masa empat tahun,” kata Saudara Pierce. “Kemudian, hartanah kita di Brooklyn akan dijual.”

Adakah semua rancangan ini menunjukkan bahawa kita percaya kesengsaraan besar masih jauh lagi? “Tidak!” jawab Saudara Pierce. “Jika kesengsaraan besar menjejaskan rancangan kami, baguslah, itu berita yang baik sekali!”

BERWASPADALAH TERHADAP SINGA YANG MENGAUM

Seterusnya Stephen Lett, anggota Badan Pimpinan, membincangkan 1 Petrus 5:8 (ABB), “Berjaga-jagalah dan berwaspadalah, kerana Iblis, musuh kamu merayau-rayau seperti singa yang mengaum sambil mencari mangsa.” Saudara Lett menyatakan ciri-ciri singa yang menunjukkan bahawa gambaran Petrus tentang Si Iblis sangat sesuai.

Memandangkan singa lebih kuat dan pantas daripada manusia, kita tidak patut bergantung pada kekuatan sendiri untuk melawan atau melarikan diri daripada Syaitan. Kita memerlukan bantuan Yehuwa. (Yes. 40:31) Seekor singa suka menghendap mangsanya. Jadi kita harus menghindari kegelapan rohani. Sepertimana singa akan membunuh rusa atau anak kuda belang yang sedang tidur, Syaitan juga tidak berhati perut dan menanti-nantikan saat untuk membunuh kita. Selepas selera seekor singa dipuaskan, mangsanya tercobak-cabik dan sukar dikenal pasti. Begitu juga, ‘keadaan [mangsa rohani Syaitan] lebih buruk daripada sebelum mengenal Kristus.’ (2 Ptr. 2:20) Jadi kita perlu berteguh melawan Syaitan dan berpaut erat pada prinsip Bible yang telah kita pelajari.​—1 Ptr. 5:9.

BERSYUKUR ATAS PERANAN ANDA DALAM RUMAH TUHAN

Kemudian Samuel Herd, anggota Badan Pimpinan berkata, “Kita semua ada peranan masing-masing dalam Rumah Yehuwa.” Rumah rohani ini merujuk kepada ibadat yang berlandaskan korban tebusan Yesus. Peranan kita berharga dan harus dijaga. Seperti Daud, kita mahu “tinggal di dalam Rumah Tuhan sepanjang hidup.”​—Mzm. 27:4.

Saudara Herd merujuk pada Mazmur 92:13-15 dan bertanya, “Bagaimanakah Yehuwa membantu kita untuk berbuah dengan lebat?” Dia menjawab, “Dalam firdaus rohani, Tuhan memastikan kita tidak kesejukan, Dia melindungi kita, dan memberi kita air kebenaran yang menyegarkan. Semoga kita mengucapkan terima kasih kepada-Nya.” Saudara Herd kemudian menggalakkan hadirin, “Semoga kita bertekad untuk tinggal di rumah Yehuwa, bukan untuk seketika, tetapi untuk selama-lamanya.”

ORANG KRISTIAN MENGHORMATI BIBLE

Saudara David Splane, anggota Badan Pimpinan, menjelaskan dalam ceramahnya bahawa orang Kristian sejati selalu menghormati Firman Tuhan. Pada abad pertama, mereka juga bergantung pada Firman-Nya untuk menyelesaikan masalah sunat. (Kis. 15:16, 17) Tetapi, sesetengah orang Kristian pada abad kedua yang dididik menurut falsafah Yunani mula mengutamakan kepintaran sendiri dan bukannya Bible. Pada kemudian hari, banyak ajaran palsu bermula apabila orang menggantikan ajaran Bible dengan pandangan Bapa Gereja dan maharaja Roma.

Saudara Splane menyatakan bahawa dalam perumpamaan yang digunakan oleh Yesus, dia menunjukkan bahawa orang Kristian yang sejati akan sentiasa wujud di bumi untuk mempertahankan kebenaran. (Mat. 13:24-30) Kita tidak pasti siapa mereka tetapi sepanjang abad-abad yang lalu, ramai telah mengutuk ajaran dan amalan yang tidak berasaskan Bible. Contohnya, ketua Uskup Agobard dari Lyons pada abad ke-9, Peter dari Bruys, Henry dari Lausanne, dan Valdès (atau, Waldo) pada abad ke-12, John Wycliffe pada abad ke-14, William Tyndale pada abad ke-16, dan Henry Grew dan George Storrs pada abad ke-19. Hari ini, Saksi-Saksi Yehuwa terus berpegang pada piawaian Bible dan menerima Bible sebagai asas kebenaran. Itulah sebabnya Badan Pimpinan telah memilih kata-kata di Yohanes 17:17, “Firman-Mu selalu benar” sebagai ayat tahunan 2012.

PERUBAHAN DARI SEGI LATIHAN DAN PELUANG BERKHIDMAT

Anthony Morris, anggota Badan Pimpinan, telah mengumumkan beberapa perubahan bagi mubaligh dan perintis khas. Bermula September 2012, Sekolah Bible untuk Pasangan Kristian akan diadakan di negara tertentu. Tumpuan bagi Sekolah Gilead juga berubah. Bermula bulan Oktober tahun lepas, Sekolah Gilead hanya terbuka kepada pasangan yang sudah menceburi khidmat khas sepenuh masa, seperti mubaligh yang belum pernah pergi ke Gilead, perintis khas, penyelia lawatan, atau ahli Bethel. Lulusan Gilead akan berkhidmat di pejabat cawangan, dalam kerja lawatan, atau dalam sidang yang terletak di kawasan yang berpenduduk padat. Tujuannya adalah untuk menguatkan dan menggalakkan umat Tuhan.

Lebih ramai perintis khas akan menerokai kerja penyebaran di kawasan pedalaman. Bermula 1 Januari 2012, lulusan Sekolah Bible untuk Saudara Bujang dan Sekolah Bible untuk Pasangan Kristian akan ditugaskan sebagai perintis khas sementara untuk membuka atau mengembangkan kawasan penyebaran di tempat terpencil. Mereka akan berkhidmat sebagai perintis khas sementara untuk setahun, dan boleh dilanjutkan sehingga tiga tahun. Mereka yang melakukan tugas ini dengan berkesan akan dilantik sebagai perintis khas.

Mesyuarat tahunan 2011 sememangnya masa yang menggembirakan. Kita bergantung pada Yehuwa untuk memberkati aturan baru yang dapat memantapkan lagi kerja penyebaran dan menguatkan perpaduan sejagat kita. Semoga nama Yehuwa terus dimuliakan dan dipuji!

[Kotak/​Gambar pada muka surat 18, 19]

MARI KITA KENALI MEREKA

Antara acara dalam mesyuarat kali ini ialah temu ramah dengan 5 daripada 9 orang balu anggota Badan Pimpinan. Saudari Marina Sydlik, Edith Suiter, Melita Jaracz, Melba Barry, dan Sydney Barber menceritakan bagaimana mereka mempelajari kebenaran dan menceburi khidmat sepenuh masa. Masing-masing memberitahu hadirin kenangan manis yang disimpan dalam hati serta berkat yang dinikmati bersama suami mereka. Sebagai penutup, hadirin menyanyikan lagu nombor 86 yang berjudul “Saudari Kristian, Wanita Setia.”

[Gambar]

(Atas) Daniel dan Marina Sydlik; Grant dan Edith Suiter; Theodore dan Melita Jaracz

(Bawah) Lloyd dan Melba Barry; Carey dan Sydney Barber

[Gambar pada muka surat 16]

(Sila lihat bahan bacaan untuk keterangan lengkap)

Enam cawangan digabungkan di bawah pimpinan cawangan Mexico

MEXICO

GUATEMALA

HONDURAS

EL SALVADOR

NICARAGUA

COSTA RICA

PANAMA

[Gambar pada muka surat 17]

Reka bentuk ibu pejabat baru Saksi-Saksi Yehuwa di Warwick, New York