Ingatkah Anda?
Sudahkah anda membaca isu-isu majalah pembelajaran yang lepas dengan teliti? Lihatlah sama ada anda dapat menjawab soalan-soalan yang berikut:
Apakah pandangan Yehuwa terhadap Asa?
Walaupun Asa kemudiannya telah mengabaikan kerohaniannya, Yehuwa tidak melupakan sifat-sifat Asa yang baik dan semangatnya yang kental untuk ibadat sejati sewaktu permulaan pemerintahannya. Pada pandangan Yehuwa, Asa telah menyembah-Nya seumur hidup.—8/15, muka 10.
Bagaimanakah kita dapat mengawal pertuturan kita?
Kita harus memeriksa hati sendiri. Daripada mengkritik seorang saudara atau saudari, tanyalah diri sendiri: Mengapakah saya bersikap sedemikian? Adakah saya mengkritiknya kerana ingin meninggikan diri? Ingatlah juga bahawa sikap suka mengkritik akan memburukkan lagi situasi yang tegang.—8/15, muka 21.
Apakah peristiwa-peristiwa yang bakal berlaku sejurus sebelum hari Yehuwa bermula?
Pernyataan “Semuanya aman dan tenteram” akan diisytiharkan. Bangsa-bangsa akan menyerang dan memusnahkan Babilon Besar. Umat Yehuwa akan diserang. Perang Armagedon akan berlaku, lalu Syaitan dan roh-roh jahat akan dikurung.—9/15, muka 4.
Apakah manfaatnya sekiranya kita tidak tahu bila akhir akan datang?
Oleh sebab kita tidak mengetahui hari dan waktunya akhir akan datang, hal ini menyingkapkan apa yang tersirat dalam hati kita. Kita berpeluang melakukan apa yang menggembirakan hati Tuhan. Kita tidak akan mementingkan diri tetapi rela membuat pengorbanan. Kita akan lebih bergantung pada Yehuwa dan Firman-Nya. Kesusahan yang dialami juga dapat memurnikan keperibadian kita.—9/15, muka 24-25.
Apakah yang perlu dilakukan oleh orang Israel kuno untuk menghadiri perayaan tahunan?
Sebagai contoh, Yusuf dan Maria perlu berjalan kira-kira 100 km dari Nasaret ke Yerusalem. Mereka perlu membawa anak-anak kecil serta berjalan dengan saudara-mara dan kawan-kawan. Berjalan, memasak, dan mencari penginapan bersama-sama di tempat yang jauh memang mencabar. Namun, peristiwa sedemikian pastinya kenangan yang sukar dilupakan, terutamanya bagi anak-anak muda.—9/15, muka 31.
Siapakah yang diwakili oleh “tujuh buah bintang” di tangan kanan Yesus seperti yang disebut dalam Wahyu 1:16, 20?
“Tujuh buah bintang” itu mewakili penatua terurap dan juga boleh merujuk kepada semua penatua di sidang.—10/15, muka 13-14.
Bagaimanakah Yesus memperlihatkan sikap rendah hati seperti yang tercatat di Yesaya 50:4, 5?
Ayat-ayat tersebut mengatakan bahawa orang yang ‘diajarkan tentang apa yang harus dikatakan’ tidak akan “memberontak atau berpaling” daripada Tuhan. Yesus bersikap rendah hati dan memberikan sepenuh perhatian semasa diajar oleh Bapanya. Dia rela dan suka belajar daripada Tuhan. Yesus tentu nampak kerendahan hati dan belas kasihan yang diperlihatkan oleh Yehuwa kepada umat manusia yang berdosa.—11/15, muka 11.
Apakah itu bibliomancy?
Bibliomancy ialah cara kebanyakan orang menyalahgunakan Bible. Bibliomancy merupakan amalan membuka Bible secara rawak dan membaca ayat pertama yang dilihat. Pembaca percaya bahawa apa yang dibaca ialah pedoman yang diperlukannya.—12/15, muka 3.