Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

‘Jangan Jemu Melakukan Perkara Baik’

‘Jangan Jemu Melakukan Perkara Baik’

“Janganlah kita jemu melakukan perkara-perkara baik.”—GAL. 6:9.

1, 2. Penglihatan mengenai organisasi Yehuwa mendorong kita untuk melakukan apa?

SUNGGUH mengagumkan bahawa kita adalah sebahagian daripada organisasi Yehuwa yang besar. Penglihatan di Yehezkiel bab 1 dan Daniel bab 7 jelas menunjukkan bahawa Yehuwa sedang melaksanakan tujuan-Nya. Yesus pula sedang memimpin organisasi Tuhan di bumi. Organisasi ini bertumpu pada kerja penyebaran, menjaga keperluan rohani mereka yang menjalankan kerja ini, dan membantu orang menjadi penyembah Yehuwa. Semua hal ini mendorong kita untuk menaruh keyakinan terhadap organisasi Yehuwa!—Mat. 24:45.

2 Adakah anda juga mengutamakan kerja penyebaran seperti organisasi ini? Adakah anda semakin bersemangat dalam kerja penyebaran, atau adakah anda semakin jemu dengannya? Pada abad pertama, Paulus menggesa rakan seimannya untuk meniru teladan Yesus supaya tidak “berkecil hati dan putus asa.” (Ibr. 12:3) Dalam rencana yang sebelumnya, kita telah membincangkan pencapaian organisasi Yehuwa. Hal ini dapat membantu kita bertahan dalam khidmat kita dan terus memperlihatkan semangat yang berkobar-kobar.

3. Apakah yang perlu kita lakukan supaya kita tidak jemu? Dan apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Hanya sekadar merenungkan organisasi Tuhan tidak mencukupi. Paulus berkata kita perlu “melakukan perkara-perkara baik” supaya tidak jemu dalam aktiviti penyebaran. (Gal. 6:9) Maksudnya, kita sendiri perlu bertindak. Mari kita lihat lima aspek yang akan membantu kita tetap teguh seraya kita bergerak bersama organisasi Yehuwa. Kemudian, kita boleh menentukan aspek mana yang perlu diusahakan lagi oleh kita atau keluarga kita.

PERJUMPAAN UNTUK MENGGALAKKAN DAN BERIBADAT

4. Mengapakah perjumpaan merupakan aspek yang sangat penting dalam ibadat sejati?

4 Berkumpul bersama merupakan aktiviti penting bagi hamba Yehuwa. Di syurga, Yehuwa pun menjemput makhluk-makhluk roh untuk berkumpul bersama di hadirat-Nya pada masa yang ditetapkan. (1 Raj. 22:19; Ayb. 1:6; 2:1; Dan. 7:10) Pada masa dahulu, bangsa Israel berkumpul ‘supaya semua orang akan mendengar pembacaan Taurat dan belajar menghormati Yehuwa.’ (Ul. 31:10-12) Orang Yahudi pada abad pertama sering pergi ke rumah ibadat untuk membaca Alkitab. (Luk. 4:16; Kis. 15:21) Perjumpaan sebegini penting sejak sidang Kristian ditubuhkan sehingga ke hari ini. Orang Kristian sejati ‘mengasihi satu sama lain dan melakukan hal yang baik.’ Ya, “kita harus menggalakkan satu sama lain, kerana kita tahu bahawa tidak lama lagi” hari Tuhan akan datang.—Ibr. 10:24, 25.

5. Bagaimanakah kita boleh saling menggalakkan di perjumpaan?

5 Satu cara kita saling menggalakkan adalah dengan mengambil bahagian dalam perjumpaan. Contohnya, kita boleh menjawab soalan yang tertera dalam bahan pelajaran, memberikan komen tentang ayat Bible atau pengalaman singkat yang menunjukkan bagaimana prinsip Bible membantu kita. (Mzm. 22:23; 40:10) Sudah tentu komen-komen daripada mereka yang tua ataupun muda masih menggalakkan kita walaupun kita sudah lama menghadiri perjumpaan.

6. Bagaimanakah berkumpul bersama membantu kita?

6 Apakah sebab lain kita berkumpul bersama? Perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen membantu kita menjadi berani supaya dapat mengatasi tentangan serta sikap orang yang acuh tak acuh di kawasan penyebaran kita. (Kis. 4:23, 31) Perbincangan berdasarkan Bible menguatkan dan meneguhkan iman kita. (Kis. 15:32; Rm. 1:11, 12) Ajaran dan galakkan yang diterima semasa berkumpul bersama membawa sukacita dan ‘menenangkan kita pada masa kesusahan.’ (Mzm. 94:12, 13) Jawatankuasa Mengajar di bawah Badan Pimpinan mengatur semua program rohani yang diadakan di serata dunia. Betapa bersyukurnya kita kerana menerima ajaran yang bermanfaat di perjumpaan setiap minggu sepanjang tahun!

7, 8. (a) Apakah tujuan utama perjumpaan diadakan? (b) Bagaimanakah perjumpaan membantu kita secara rohani?

7 Kita tidak menghadiri perjumpaan hanya untuk menerima manfaat. Tujuan utama kita menghadiri perjumpaan adalah untuk menyembah Yehuwa. (Baca Mazmur 95:6.) Kita berbesar hati kerana berpeluang untuk memuji Tuhan! (Kol. 3:16) Yehuwa memang layak menerima penyembahan kita. Dengan memberi komen semasa perjumpaan, kita menunjukkan bahawa kita memuji-Nya. (Why. 4:11) Tidak hairanlah kita digesa untuk ‘jangan menghentikan kebiasaan berkumpul bersama-sama, seperti yang dilakukan oleh beberapa orang saudara’!—Ibr. 10:25.

8 Adakah anda memandang perjumpaan Kristian sebagai sarana Yehuwa untuk membantu kita bertahan sehingga ke akhir sistem jahat ini? Jika anda berasa demikian, anda memang “memilih apa yang terbaik.” (Flp. 1:10) Oleh itu, kita akan menghadiri semua perjumpaan kecuali jika ada hal yang serius menghalang kita.

CARILAH ORANG YANG BERHATI JUJUR

9. Bagaimanakah kita tahu bahawa kerja penyebaran adalah penting?

9 Untuk bergerak bersama organisasi Yehuwa, kita mesti menginjil dengan bersemangat. Yesus telah memulakan kerja ini sewaktu dia berada di bumi. (Mat. 28:19, 20) Sejak itu, kerja menginjil dan menjadikan orang murid Yesus merupakan tumpuan utama organisasi Yehuwa. Banyak pengalaman hari ini membuktikan bahawa malaikat-malaikat juga sedang membantu kita mencari orang yang berhati jujur. (Kis. 13:48; Why. 14:6, 7) Tujuan utama Yehuwa mewujudkan organisasi-Nya di bumi adalah untuk mengatur dan menyokong kerja penyebaran yang sangat penting ini. Adakah anda juga mementingkan kerja penyebaran?

10. (a) Bagaimanakah seorang saudara mengukuhkan kasihnya terhadap kebenaran? (b) Bagaimanakah kerja penyebaran telah membantu anda supaya tidak jemu melakukan perkara baik?

10 Jika kita menjalankan kerja penyebaran dengan bersungguh-sungguh, kita dapat mengukuhkan kasih terhadap kebenaran dalam hidup kita. Mitchel, yang lama berkhidmat sebagai seorang penatua dan perintis berkata, “Saya sangat suka memberitahu orang tentang kebenaran. Semasa berfikir tentang rencana baru dalam The Watchtower dan Awake!, saya sangat kagum dengan kebijaksanaan dan keseimbangan di dalamnya. Saya mahu kongsi perkara ini dengan orang lain, mencetuskan minat mereka serta melihat reaksi mereka.” Dia juga mengatakan bahawa kerja menginjil membantunya mengutamakan hal yang terpenting dalam hidupnya. Dia memastikan agar tiada apa-apa yang mengganggu masa menginjilnya. Kita juga boleh bertahan dalam sistem dunia ini jika kita sibuk dalam khidmat Yehuwa.—Baca 1 Korintus 15:58.

MANFAATKANLAH BAHAN BACAAN KITA

11. Mengapakah kita perlu memanfaatkan semua makanan rohani yang diterima?

11 Yehuwa telah menyediakan makanan rohani yang berlimpah-limpah supaya kita kuat secara rohani. Tidak hairanlah semasa anda membaca bahan bacaan rohani, anda mungkin terfikir, “Hal ini memang bagus untuk saya! Yehuwa bagaikan menulisnya khas untuk saya.” Perkara ini tidak terjadi secara kebetulan. Yehuwa memang mengajar dan membimbing kita melalui bahan bacaan. Dia pernah berkata, “Aku akan menunjukkan jalan yang harus kauikuti. Engkau akan Kubimbing dan Kunasihati.” (Mzm. 32:8) Adakah kita berusaha memanfaatkan semua makanan rohani yang diterima dan merenungkannya? Jika kita berbuat demikian, kita dapat bertahan dan bersemangat dalam khidmat kita kepada Yehuwa sekarang walaupun dunia ini penuh dengan kesusahan.—Baca Mazmur 1:1-3; 35:28; 119:97.

12. Apakah yang boleh membantu kita menghargai bahan bacaan rohani?

12 Adalah bagus untuk merenungkan segala kerja yang dilakukan supaya kita sentiasa mendapat makanan rohani. Kerja mengkaji, menulis, menyemak, memilih gambar, dan menterjemah perlu dilakukan bagi bahan bacaan yang dicetak serta yang dipaparkan pada laman web kita. Jawatankuasa Penulisan di bawah Badan Pimpinan menyelia semua kerja ini. Cawangan yang mencetak bahan bacaan akan menghantarnya ke sidang-sidang yang dekat dan jauh. Mengapakah semua kerja ini dilakukan? Supaya umat Yehuwa diberikan makanan rohani yang mencukupi. (Yes. 65:13) Oleh itu, marilah kita memanfaatkan segala makanan rohani yang disediakan oleh organisasi Yehuwa!—Mzm. 119:27.

SOKONGLAH ATURAN ORGANISASI YEHUWA

13, 14. Siapakah yang sedang menyokong aturan Yehuwa di syurga? Seperti mereka, bagaimanakah kita boleh menyokong aturan Yehuwa di bumi?

13 Dalam suatu penglihatan, rasul Yohanes nampak Yesus menunggang seekor kuda putih serta menakluki orang yang menentang Yehuwa. (Why. 19:11-15) Iman kita dikuatkan lagi apabila mengetahui bahawa Yesus diikuti oleh malaikat-malaikat setia serta kaum terurap yang sudah naik ke syurga! (Why. 2:26, 27) Teladan baik mereka menunjukkan bahawa kita patut menyokong aturan Yehuwa.

14 Dalam cara yang sama, kumpulan besar manusia menyokong saudara-saudara terurap Kristus yang masih di bumi. (Baca Zakharia 8:23.) Bagaimanakah kita boleh menunjukkan bahawa kita menyokong aturan Yehuwa? Satu cara adalah dengan mematuhi mereka yang mengambil pimpinan. (Ibr. 13:7, 17) Hal ini boleh diterapkan dalam sidang sendiri. Adakah komen-komen kita tentang para penatua mendorong orang untuk menghormati mereka dan tanggungjawab mereka? Adakah kita menggalakkan anak kita untuk menghormati dan meminta nasihat Bible daripada para penatua? Selain itu, bolehkah kita berbincang bersama keluarga mengenai sumbangan yang boleh diberikan untuk menyokong kerja penyebaran sedunia? (Ams. 3:9; 1 Kor. 16:2; 2 Kor. 8:12) Adakah kita menganggap kerja pembersihan dalam Dewan Perjumpaan penting? Jika kita menunjukkan sikap hormat sebegini, Yehuwa akan mencurahkan daya aktif-Nya yang dapat membantu kita bertahan pada hari-hari terakhir.—Yes. 40:29-31.

HIDUP DALAM CARA YANG DIPERKENANKAN TUHAN

15. Mengapakah kita perlu selalu bergelut untuk hidup selaras dengan kehendak Yehuwa?

15 Jika kita ingin bertahan dan bergerak bersama organisasi Yehuwa, kita perlu “melakukan apa yang menyenangkan hati Tuhan.” (Ef. 5:10, 11) Kita perlu sentiasa bergelut menentang pengaruh negatif daripada kelemahan sendiri serta dunia Syaitan yang jahat. Ada di antara anda yang perlu bergelut setiap hari untuk memelihara hubungan erat dengan Yehuwa. Janganlah berputus asa! Yehuwa memang menyayangi anda. Jika kita hidup selaras dengan kehendak Yehuwa, kita pasti akan menikmati kepuasan hati dan perkenan-Nya.—1 Kor. 9:24-27.

16, 17. (a) Apakah yang harus kita buat jika kita telah melakukan dosa yang serius? (b) Apakah yang boleh kita pelajari daripada pengalaman Anne?

16 Tetapi bagaimana pula jika kita telah melakukan dosa yang serius? Dapatkanlah bantuan secepat mungkin. Jika kita menyembunyikan dosa itu, kita akan memburukkan lagi keadaan. Ingatlah kata-kata Daud selepas dia menyembunyikan dosanya. Dia berkata bahawa dia “letih kerana menangis sepanjang hari.” (Mzm. 32:3) Ya, dengan menyembunyikan dosa, kita sebenarnya akan meletihkan diri sendiri secara emosi dan rohani. Namun, ‘sesiapa mengakui dan meninggalkan dosanya, akan dikasihani Tuhan.’—Ams. 28:13.

17 Ambillah contoh Anne. * Semasa berumur lewat belasan tahun, dia sudah menjadi seorang perintis. Namun dia mula melakukan dosa tersembunyi. Oleh itu, hati nuraninya terganggu. Dia berkata, “Saya sedih dan pilu selalu.” Jadi apakah yang dilakukannya? Semasa di perjumpaan, ayat di Yakobus 5:14, 15 telah dibincangkan. Anne sedar bahawa dia memerlukan bantuan para penatua. Dia berkata, “Ayat-ayat itu adalah panduan daripada Yehuwa bagi penyembuhan rohani. Ubatnya memang susah ditelan, namun memang mujarab. Menerapkan nasihat Bible memang berkesan.” Beberapa tahun kemudian, Anne sekali lagi berkhidmat kepada Yehuwa dengan bersemangat dan hati nurani yang bersih.

18. Apakah tekad kita?

18 Betapa besarnya penghormatan kita kerana dapat menjadi sebahagian daripada organisasi Yehuwa pada hari-hari terakhir ini. Janganlah meremehkan penghormatan ini! Marilah kita bekerjasama sebagai sebuah keluarga untuk menghadiri semua perjumpaan, mencari orang yang berhati jujur, dan menghargai semua makanan rohani yang diterima. Selain itu, kita juga ingin menyokong mereka yang mengambil pimpinan dan hidup selaras dengan mesej kebenaran yang kita sebarkan. Dengan berbuat demikian, kita bukan sahaja akan bergerak bersama organisasi Yehuwa, malah kita tidak akan jemu melakukan perkara yang baik.

^ per. 17 Nama telah diubah.