Tahukah Anda?
Pernahkah Rumah Tuhan di Yerusalem dibina semula selepas 70 M?
MENGENAI Rumah Tuhan, Yesus berkata bahawa satu batu pun tidak akan tinggal tersusun pada tempatnya. Nubuat ini digenapi semasa tentera Roma yang dipimpin oleh Titus membinasakan Yerusalem pada 70 M. (Mat. 24:2) Kemudian, Maharaja Julian merancang untuk membinanya semula.
Julian dipanggil maharaja kafir Roma yang terakhir. Dia merupakan anak saudara Maharaja Konstantin dan dia kononnya diajar agama Kristian. Namun, pada 361 M selepas diisytiharkan sebagai maharaja, dia menolak ajaran Kristian dan menerima ajaran kafir. Buku sejarah merujuk kepadanya sebagai maharaja Julian yang Murtad.
Julian membenci agama Kristian. Salah satu sebab mungkin kerana orang yang mendakwa diri sebagai Kristian telah membunuh bapa dan saudaranya. Menurut sejarawan Kristian, Julian menggalakkan orang Yahudi membina semula Rumah Tuhan untuk membuktikan bahawa Yesus ialah nabi palsu. *
Julian memang merancang membina semula Rumah Tuhan. Namun, sejarawan tidak pasti sama ada dia telah memulakan kerja itu, dan sebab pembinaan itu terbengkalai. Yang pasti, Julian dibunuh dua tahun selepas menjadi maharaja, dan rancangannya pun lenyap begitu sahaja.
^ per. 5 Yesus menubuatkan bahawa Rumah Tuhan akan dibinasakan. Hal ini berlaku pada 70 M. Namun dia tidak mengatakan sama ada Rumah itu akan dibina semula.