Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Ibu Bapa, Anak—Berkomunikasilah dengan Kasih

Ibu Bapa, Anak—Berkomunikasilah dengan Kasih

“Setiap orang haruslah cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata, dan lambat naik marah.”—YAK. 1:19.

1, 2. Secara umumnya, bagaimanakah hubungan di antara ibu bapa dan anak? Namun apakah masalah yang mungkin dihadapi?

“JIKA anda tahu bahawa ibu bapa anda akan meninggal esok, apakah yang akan anda beritahu mereka hari ini?” Inilah soalan yang telah diajukan kepada ratusan anak di Amerika Syarikat. Mereka tidak ingin mengungkit perselisihan yang pernah dialami. Sebaliknya, 95 peratus daripada anak-anak berkata bahawa mereka ingin memberitahu ibu bapa, “Maafkan saya” dan “Saya sangat mengasihi kamu.” Inilah hasil tinjauan Shaunti Feldhahn dan Lisa Rice dalam buku For Parents Only.

2 Secara umumnya, ibu bapa dan anak-anak saling mengasihi. Ini adalah benar di kalangan umat Tuhan. Mereka sememangnya menginginkan hubungan yang erat, namun berkomunikasi merupakan sesuatu yang mencabar. Mengapakah perbualan bagi sesetengah topik dihindari? Apakah yang boleh menghalang komunikasi yang baik? Bagaimanakah halangan tersebut dapat diatasi?

Jangan mengasingkan diri, tetapi luangkanlah lebih banyak masa bersama keluarga

LUANGKANLAH MASA UNTUK BERKOMUNIKASI

3. (a) Mengapakah komunikasi yang baik merupakan cabaran bagi kebanyakan keluarga hari ini? (b) Mengapakah lebih senang untuk orang Israel meluangkan masa bersama keluarga?

3 Tidak mudah bagi kebanyakan keluarga untuk meluangkan masa yang secukupnya agar dapat berkomunikasi. Keadaannya berbeza pada zaman Israel kuno. Musa berkata kepada semua bapa di Israel, “Ajarkanlah hukum [Tuhan] kepada anak-anak kamu. Percakapkanlah hukum itu semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja.” (Ul. 6:6, 7, ABB) Pada zaman kuno, anak-anak meluangkan masa bersama ibu di rumah atau bersama bapa di tempat kerja. Jadi, ibu bapa dan anak dapat meluangkan banyak masa bersama untuk berbual. Ini memudahkan ibu bapa untuk mengetahui keperluan, keinginan, dan keperibadian anak-anak. Demikian juga, anak-anak mempunyai masa yang mencukupi untuk mengenal ibu bapa mereka dengan lebih rapat.

4. Apakah halangan komunikasi di dalam keluarga hari ini?

4 Kehidupan hari ini amat berbeza! Di sesetengah negara, anak-anak seawal umur dua tahun dihantar ke Taska. Ramai ibu bapa juga tidak selalunya di rumah kerana bekerja. Apabila seisi keluarga berada di rumah pula, kebanyakan masa dihabiskan untuk menonton televisyen atau bermain komputer dan alat elektronik. Akibatnya, ibu bapa dan anak-anak masing-masing terpisah dalam dunia sendiri. Mereka jarang berkomunikasi dan seolah-olah tidak mengenali satu sama lain.

5, 6. Bagaimanakah sesetengah ibu bapa berusaha untuk meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak?

5 Dapatkah anda memikirkan cara untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga? (Baca Efesus 5:15, 16.) Sesetengah keluarga bersetuju untuk mengehadkan masa di depan televisyen dan komputer. Keluarga lain pula cuba makan bersama sekurang-kurangnya sekali sehari. Malam penyembahan keluarga juga membantu ahli keluarga saling mendekati dan membincangkan hal-hal rohani dalam suasana yang tenang. Tetapi, hanya berbuat demikian tidak mencukupi. Anda mesti meluangkan masa untuk berkomunikasi setiap hari. Sebelum anak anda ke sekolah, anda boleh mengatakan sesuatu untuk membangkitkan semangatnya, membincangkan ayat harian, atau berdoa dengannya. Ini dapat membantu dia mengharungi aktiviti seharian.

6 Sesetengah ibu bapa telah melakukan perubahan dalam hidup mereka agar dapat meluangkan lebih banyak masa bersama anak. Contohnya Laura, * seorang ibu yang mempunyai dua orang anak telah berhenti bekerja. Dia berkata, “Dahulu, kami semua bergegas ke tempat kerja atau ke sekolah pada waktu pagi. Semasa saya pulang dari kerja, anak-anak saya sudah tidur di bawah jagaan pengasuh. Apabila saya berhenti kerja, kami tidak mempunyai banyak wang seperti dulu. Namun, sekarang saya lebih memahami fikiran dan masalah anak-anak saya. Saya dapat mendengar doa mereka, membimbing, mengajar, serta menggalakkan mereka.”

“HARUSLAH CEPAT MENDENGAR”

7. Apakah aduan yang selalu dibuat oleh ibu bapa dan anak?

7 Selepas melakukan tinjauan, para penulis buku For Parents Only mendapati satu lagi penghalang komunikasi. Mereka berkata, “Aduan utama yang sering dikemukakan anak-anak tentang ibu bapa ialah ‘Ibu bapa tidak mendengar saya.’” Namun, ibu bapa juga sering mengadu bahawa anak-anak tidak mendengar cakap. Jika keluarga ingin terus berkomunikasi dengan baik, mereka harus mendengar dengan teliti luahan hati setiap ahli keluarga.—Baca Yakobus 1:19.

8. Bagaimanakah ibu bapa dapat benar-benar mendengar anak mereka?

8 Ibu bapa, adakah anda benar-benar mendengar anak anda? Mungkin hal ini tidak senang apabila anda letih atau perbualan adalah mengenai sesuatu yang remeh. Namun, apa yang tampaknya remeh bagi anda mungkin sesuatu yang penting untuk anak anda. Ungkapan Bible “cepat mendengar” bermaksud memberikan perhatian penuh terhadap apa yang mereka katakan dan cara mereka mengatakannya. Nada suara, gerak-geri, dan ekspresi muka adalah petanda yang menunjukkan perasaan anak. Menanya soalan juga penting. Bible menyatakan, “Fikiran manusia bagaikan air di perigi yang dalam, tetapi orang yang berpengertian dapat menimbanya.” (Ams. 20:5, ABB) Pengertian dan daya penilaian adalah penting untuk mengetahui perasaan sebenar anak, terutamanya apabila membincangkan topik yang sensitif.

9. Mengapakah anak-anak harus mentaati ibu bapa?

9 Anak-anak, adakah anda mentaati ibu bapa? Bible menyatakan, “Hai anakku, perhatikanlah kata-kata bapa dan ibumu.” (Ams. 1:8, ABB) Ingatlah, ibu bapa sangat mengambil berat terhadap anda. Jadi, adalah bijak untuk mendengar dan mentaati mereka. (Ef. 6:1) Jika anda menjalinkan hubungan yang baik dengan ibu bapa dan ingat bahawa anda dikasihi, anda akan berasa lebih senang untuk mentaati mereka. Janganlah teragak-agak untuk meluahkan perasaan kepada ibu bapa. Ini akan membantu mereka memahami anda. Anda juga perlu cuba memahami mereka.

10. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah Rehabeam?

10 Pernahkah anda mengikut nasihat orang muda yang sebaya dengan anda? Berhati-hatilah kerana nasihat mereka mungkin sedap didengar, tetapi tidak dapat membantu. Malahan, nasihat mereka mungkin membawa akibat buruk. Orang muda kurang bijak dan kurang berpengalaman daripada orang yang lebih tua. Orang muda selalunya tidak berpandangan jauh dan tidak memikirkan akibat buruk perbuatan mereka. Ingatlah tentang Rehabeam, anak lelaki Raja Salomo. Selepas dia menjadi raja, dia sepatutnya mengikut nasihat orang tua-tua. Tetapi, atas keputusan yang kurang bijak dia mendengar nasihat orang muda yang sebaya dengannya. Akibatnya, rakyat memberontak terhadap dia. (1 Raj. 12:1-17) Janganlah mengikut teladan buruk Rehabeam. Sebaliknya, berusahalah untuk berkomunikasi dengan ibu bapa. Kongsilah pendapat dan perasaan anda dengan mereka. Nasihat dan kebijaksanaan ibu bapa pasti membawa manfaat kepada anda.—Ams. 13:20.

11. Apakah yang akan terjadi jika ibu bapa tidak mudah didekati?

11 Ibu bapa, jika anda tidak mahu anak anda mencari nasihat daripada rakan sebaya, anda perlu mudah didekati. Seorang saudari remaja berkata, “Sebaik sahaja saya menyebut nama seorang lelaki, ibu bapa saya menjadi runsing. Oleh itu saya berasa tidak senang hati dan teragak-agak untuk meneruskan perbualan.” Seorang lagi saudari muda berkata, “Ramai remaja ingin mendengar nasihat ibu bapa. Tetapi jika ibu bapa tidak memberi perhatian, anak-anak akan mencari nasihat daripada orang lain, bahkan yang kurang berpengalaman.” Dengarlah anak-anak dengan penuh belas kasihan tidak kira apa jua topik yang mereka bualkan. Hal ini akan membuka hati mereka dan lebih mudah bagi mereka untuk menerima nasihat anda.

ANDA PERLU “LAMBAT BERKATA-KATA”

12. Bagaimanakah ibu bapa mungkin menghalang komunikasi yang baik dengan anak?

12 Ibu bapa yang bertindak mengikut emosi terhadap kata-kata anak menghalang komunikasi yang baik. Sememangnya, ibu bapa ingin melindungi anak-anak kerana “hari-hari terakhir” ini penuh dengan bahaya. (2 Tim. 3:1-5) Namun, anak-anak mungkin menganggap perlindungan daripada ibu bapa sebagai sesuatu yang melampau dan mengongkong.

13. Mengapakah ibu bapa perlu berhati-hati supaya tidak menyuarakan pendapat dengan serta merta?

13 Adalah bijak jika ibu bapa tidak menyuarakan pendapat mereka dengan serta merta. Sememangnya tidak senang untuk berdiam diri apabila anak-anak memberitahu sesuatu yang mencemaskan. Tetapi adalah penting untuk mendengar dengan teliti sebelum bersuara. Raja Salomo yang bijaksana menulis, “Orang yang menjawab sebelum mendengar, bukan sahaja bodoh tetapi mempermalu diri sendiri.” (Ams. 18:13, ABB) Jika anda tenang, anda akan terus mendengar apa yang dikatakan anak. Sebelum membantu mereka, anda perlu mendapatkan gambaran yang lengkap. Di sebalik kata-kata yang “melulu” mungkin terdapat hati yang penuh kekacauan. (Ayb. 6:1-3) Sebagai ibu bapa yang pengasih, anda perlu mendengar dan cuba memahami anak-anak serta menggunakan kata-kata membina.

14. Mengapakah anak-anak perlu “lambat berkata-kata”?

14 Anak-anak, anda juga perlu “lambat berkata-kata.” Tuhan memberikan tanggungjawab kepada ibu bapa untuk mengajar anda. Jadi, janganlah terus membantah apa yang mereka katakan. (Ams. 22:6) Mereka mungkin pernah melalui situasi yang sama seperti anda. Malah, mereka kesal atas kesilapan lampau. Maka, mereka tidak ingin anda membuat kesilapan yang serupa. Jadi lihatlah ibu bapa sebagai kawan anda, bukan sebagai musuh. Mereka ingin membantu bukannya menyakiti anda. (Baca Amsal 15:31.) “Hormatilah ibu bapamu” dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi anda. Ini akan memudahkan mereka untuk mendidik anda dengan ‘ajaran dan nasihat Tuhan.’—Ef. 6:2-4.

ANDA PERLU “LAMBAT NAIK MARAH”

15. Apakah yang dapat membantu kita bertenang dan bersabar dengan mereka yang dikasihi?

15 Kadangkala kita mungkin hilang sabar dengan orang yang dikasihi. Paulus menulis kepada umat Tuhan di Kolose, ‘Suami, kasihilah isteri dan janganlah berlaku kasar terhadap mereka. Ibu bapa, janganlah sakiti hati anak-anak supaya mereka tidak menjadi tawar hati.’ (Kol. 1:1, 2; 3:19, 21) Paulus menggesa mereka di Efesus, “Janganlah berdengki, geram, dan marah. Jangan lagi bertengkar dan memfitnah orang.” (Ef. 4:31) Memupuk buah daya aktif Tuhan seperti kepanjangsabaran, kelemahlembutan, dan kawalan diri akan membantu kita untuk tetap tenang apabila menghadapi tekanan.—Gal. 5:22, 23.

16. Bagaimanakah Yesus membetulkan pandangan pengikutnya? Mengapakah hal ini mengagumkan?

16 Ibu bapa, ingatlah teladan Yesus. Dia berada di bawah tekanan yang amat besar sewaktu makan malam bersama pengikutnya. Yesus tahu dalam beberapa jam lagi dia akan diseksa hingga mati. Penyucian nama Tuhan dan penyelamatan manusia bergantung atas kesetiaannya. Namun, pada malam itu, “pengikut-pengikut Yesus bertengkar tentang siapa antara mereka yang harus dianggap terbesar.” Tetapi, Yesus tidak menjerit atau bercakap kasar dengan mereka. Sebaliknya dia membetulkan pandangan pengikutnya dengan tenang. Yesus juga mengingatkan bahawa mereka telah bertahan bersamanya semasa keadaan sukar. Syaitan ingin menguji mereka. Namun, Yesus yakin pengikutnya akan terus setia. Malah dia telah berjanji bahawa mereka akan memerintah bersamanya di syurga.—Luk. 22:24-32, ABB.

Dengarlah luahan hati anak anda dengan teliti

17. Apakah yang akan membantu anak-anak bertenang?

17 Anak-anak juga perlu bertenang. Semasa remaja, anda mungkin tidak suka ibu bapa memberikan arahan. Anda mungkin berfikir ibu bapa tidak mempercayai anda. Walaupun demikian, mereka sebenarnya mengambil berat tentang anda. Ibu bapa akan menghormati anda sebagai seorang yang bertanggungjawab jika anda tenang dan bekerjasama dengan mereka. Mereka juga akan memberikan anda lebih kebebasan. Bible menerangkan bahawa “orang bodoh menunjukkan kemarahan dengan terang-terang, tetapi orang bijak bersabar dan menahan kemarahan.”—Ams. 29:11, ABB.

18. Bagaimanakah kasih dapat membantu keluarga berkomunikasi dengan baik?

18 Ibu bapa dan anak-anak, jangan kecewa apabila komunikasi dalam keluarga adalah tidak sebaik yang anda inginkan. Teruslah berusaha dan ikutlah nasihat Bible. (3 Yoh. 4) Di dunia baru, manusia akan berkomunikasi dengan sempurna tanpa perselisihan faham atau perbalahan. Tetapi hari ini, kita semua membuat kesilapan. Janganlah ragu-ragu untuk meminta maaf. Maafkanlah orang dengan rela. Kita dapat “bersatu kerana saling mengasihi.” (Kol. 2:2) Kasih memang berkuasa. ‘Sesiapa yang mengasihi orang lain, sabar dan baik hati. Dia tidak cepat tersinggung dan tidak mendendam. Dia tahan menghadapi segala sesuatu; dia mempercayai orang lain, tidak hilang harapan, dan sentiasa bersabar.’ (1 Kor. 13:4-7, ABB) Mutu komunikasi dalam keluarga akan meningkat jika anda saling mengasihi. Ini akan membuat anda gembira dan membawa pujian kepada Yehuwa.

^ per. 6 Nama telah diubah.