Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Laksanakan Tugas sebagai Penyebar

Laksanakan Tugas sebagai Penyebar

‘Laksanakan tugas mengisytiharkan Berita Baik, dan jalankanlah kewajipanmu sebagai hamba Tuhan dengan sebaik-baiknya.’—2 TIM. 4:5.

1. Mengapakah Yehuwa boleh dikatakan sebagai Penyebar pertama?

PENYEBAR ialah seseorang yang mengisytiharkan berita baik. Penyebar pertama ialah Yehuwa. Sejurus selepas pemberontakan di Taman Eden, Yehuwa mengisytiharkan berita baik tentang kehancuran Syaitan Si Iblis. (Kej. 3:15) Selama berabad-abad, Tuhan mengilhami hamba-Nya untuk menulis bagaimana nama-Nya akan dimuliakan, masalah yang disebabkan oleh Syaitan akan dilenyapkan, dan bagaimana manusia boleh meraih kehidupan kekal.

2. (a Apakah peranan malaikat dalam kerja penyebaran? (b) Apakah teladan yang ditetapkan oleh Yesus?

2 Malaikat juga adalah penyebar. Mereka mengisytiharkan berita baik dan membantu orang menyebarkan berita baik. (Luk. 1:19; 2:10; Kis. 8:26, 27, 35; Why. 14:6) Bagaimana pula dengan ketua malaikat Mikhael? Semasa di bumi sebagai Yesus, dia menetapkan teladan yang baik sebagai penyebar. Seluruh kehidupannya berpusat pada penyebaran berita baik.—Luk. 4:16-21.

3. (a) Apakah berita baik yang kita sebarkan? (b) Sebagai penyebar, apakah soalan-soalan yang menarik perhatian kita?

3 Yesus menyuruh pengikutnya menjadi penyebar. (Mat. 28:19, 20; Kis. 1:8) Rasul Paulus menggesa Timotius, ‘Laksanakan tugas mengisytiharkan Berita Baik, dan jalankanlah kewajipanmu sebagai hamba Tuhan dengan sebaik-baiknya.’ (2 Tim. 4:5) Apakah berita baik yang kita sebarkan? Berita baik ini termasuk kasih Yehuwa terhadap kita. (Yoh. 3:16; 1 Ptr. 5:7) Cara utama Yehuwa mengungkapkan kasih-Nya ialah melalui Kerajaan-Nya. Jadi, kita memberitahu orang bahawa mereka boleh menjadi sahabat Tuhan jika mereka taat kepada-Nya, tunduk kepada Kerajaan Tuhan, dan melakukan apa yang adil benar. (Mzm. 15:1, 2) Tujuan Yehuwa adalah untuk melenyapkan ketidakadilan. Dia juga akan memansuhkan segala penderitaan daripada ingatan kita! (Yes. 65:17) Sebagai penyebar, marilah kita bincangkan dua soalan: Mengapakah penting supaya orang mendengar berita baik hari ini? Dan bagaimanakah kita boleh melaksanakan tugas sebagai penyebar?

MENGAPA ORANG MEMERLUKAN BERITA BAIK

Soalan yang berkesan membantu orang mencari sebab-sebab mereka yakin terhadap kepercayaan mereka

4. Apakah ajaran palsu yang disebarkan oleh orang lain mengenai Tuhan?

4 Bayangkanlah anda diberitahu bahawa bapa anda telah meninggalkan anda sekeluarga, dan dia merupakan seorang yang kejam dan suka berahsia. Sesetengah orang mungkin berkata bahawa dia sudah mati dan tidak berguna untuk menghubungi dia. Sebenarnya, itulah yang terjadi kepada Tuhan. Ramai orang mengajar bahawa Tuhan itu misteri, tidak boleh difahami dan kejam. Contohnya, pemimpin agama mengajar bahawa Tuhan menghukum orang jahat di tempat seksaan untuk selama-lamanya. Walaupun bencana alam meragut nyawa orang baik mahupun yang jahat, bencana sebegini selalunya dianggap sebagai hukuman Tuhan.

Soalan membuka minda dan hati mereka supaya menerima kebenaran

5, 6. Apakah pengaruh teori evolusi dan ajaran palsu terhadap orang ramai?

5 Ada yang menegaskan bahawa Tuhan tidak wujud, dan percaya dalam evolusi. Mereka menyokong pendapat bahawa kehidupan wujud tanpa adanya Pencipta yang bijak. Mereka juga berkata bahawa manusia hanyalah sejenis binatang, dan tidak hairanlah manusia sesekali bersikap buas. Mereka menekankan bahawa yang kuat akan menindas yang lemah dan hal itu merupakan lumrah alam. Maka tidak hairanlah mereka percaya bahawa manusia akan dibanjiri ketidakadilan selama-lamanya. Oleh itu, orang yang mempercayai teori evolusi tidak ada harapan.

6 Sememangnya, teori evolusi dan ajaran palsu telah menyumbang kepada penderitaan yang berleluasa sekarang. (Rm. 1:28-31; 2 Tim. 3:1-5) Ajaran manusia ini tidak membawa berita baik yang sejati dan kekal. Sebaliknya, ajaran sebegini menjauhkan kita daripada Tuhan dan berita baik.—Baca Efesus 4:17-19.

Soalan juga membantu mereka membuat kesimpulan sendiri berdasarkan ayat Bible

7, 8. Bagaimanakah orang boleh memahami berita baik dengan sepenuhnya?

7 Untuk menjalin hubungan yang baik dengan Tuhan, orang perlu percaya bahawa Dia benar-benar wujud dan adalah berfaedah untuk menghampiri-Nya. Oleh itu, kita boleh menggalakkan mereka untuk meneliti ciptaan. Jika mereka mempunyai minda yang terbuka, mereka akan sedar bahawa ciptaan menyerlahkan kebijaksanaan dan kuasa Tuhan. (Rm. 1:19, 20) Kita boleh menggunakan brosur Adakah Kehidupan Diciptakan? untuk membantu mereka belajar tentang keagungan Tuhan sebagai Pencipta. Namun, dengan memeriksa ciptaan sahaja, mereka tidak akan mendapat jawapan kepada soalan-soalan seperti: Mengapakah Tuhan membenarkan penderitaan? Apakah tujuan Tuhan bagi bumi? Adakah Tuhan mengambil berat tentang saya?

8 Untuk memahami berita baik dan tujuan Tuhan dengan sepenuhnya, seseorang mesti belajar Bible. Kita berbesar hati kerana dapat membantu orang mencari jawapan kepada soalan-soalan mereka! Kita bukan sahaja mengongsi fakta-fakta dengan mereka, tetapi kita ingin meyakinkan mereka supaya hati mereka tersentuh. (2 Tim. 3:14) Bagaimanakah kita boleh melakukan hal ini? Dengan meniru teladan Yesus yang menggunakan soalan-soalan dengan berkesan.

PENYEBAR YANG BAIK MENGGUNAKAN SOALAN

9. Apakah yang perlu kita lakukan untuk membantu orang secara rohani?

9 Semasa menginjil, mengapakah kita patut menggunakan soalan seperti Yesus? Sebagai contoh, seorang doktor berkata bahawa dia ada berita baik. Dia mampu menyembuhkan penyakit anda dengan melakukan suatu pembedahan. Anda mungkin mempercayai berita baik ini. Tetapi, bagaimana pula jika dia menjanjikan harapan baik ini tanpa memeriksa kesihatan anda terlebih dahulu? Pasti anda tidak mempercayainya! Tidak kira betapa hebatnya doktor tersebut, dia masih perlu mengambil tahu tentang masalah kesihatan anda. Selepas dia mendengar jawapan anda barulah dia dapat membantu. Begitu juga, jika kita ingin menolong orang menerima berita baik, kita perlu bertanya soalan supaya kita mendapat gambaran yang jelas tentang keadaan rohani mereka.

Untuk mencapai hati pendengar, kita mesti meyakinkan mereka

10, 11. Apakah yang boleh kita laksanakan dengan mencontohi cara Yesus mengajar?

10 Yesus tahu bahawa seorang guru boleh menggunakan soalan untuk mengenal murid serta membantunya berfikir dan meluahkan pendapatnya. Contohnya, apabila Yesus mengajar murid-muridnya tentang kerendahan hati, dia menanya soalan yang merangsang fikiran mereka. (Mrk. 9:33) Semasa mengajar Petrus cara menerapkan prinsip Bible, Yesus menanya soalan aneka pilihan. (Mat. 17:24-26) Semasa Yesus ingin menyelami hati pengikutnya, dia menggunakan soalan untuk mengetahui pendapat mereka. (Baca Matius 16:13-17.) Dengan menggunakan soalan dan pernyataan, Yesus menyentuh hati orang dan mendorong mereka untuk bertindak selaras dengan berita baik.

11 Semasa mencontohi Yesus, kita dapat melakukan tiga perkara. Kita belajar cara untuk membantu orang, mengatasi penghalang perbualan, dan mengajar orang yang rendah hati cara memanfaatkan diri. Mari kita lihat tiga contoh yang menunjukkan bagaimana kita boleh menggunakan soalan dengan berkesan.

12-14. Bagaimanakah anda boleh membantu anak anda berasa lebih yakin sebagai penyebar berita baik? Berikan contoh.

12 Contoh 1: Bagaimanakah anda dapat membantu anak anda yang perlu mempertahankan kepercayaannya tentang penciptaan? Sudah tentu anda ingin dia berasa yakin semasa menyebarkan berita baik di sekolah. Jadi, janganlah mengkritiknya atau terus memberi nasihat. Sebaliknya, tirulah teladan Yesus. Bagaimana?

13 Bincanglah dengannya brosur Adakah Kehidupan Diciptakan? Kemudian tanyalah dia bahagian mana yang paling merangsang pemikirannya. Galakkannya untuk mencari sebab tersendiri mengapa dia mempercayai kewujudan Pencipta dan ingin melakukan kehendak-Nya. (Rm. 12:2) Beritahulah anak anda bahawa alasannya tidak semestinya sama dengan anda.

14 Beritahu anak anda bahawa dia boleh meneladani cara yang anda gunakan. Mula-mula anak anda boleh membincangkan beberapa fakta dan kemudian menanya pandangan rakan sekolah. Contohnya, rakan sekolah itu boleh membaca muka 17 dalam brosur Adakah Kehidupan Diciptakan? Kemudian anak anda boleh bertanya, “Adakah kamu rasa sistem pandu arah kupu-kupu ini lebih hebat daripada kapal terbang?” Rakan sekolah barangkali akan menjawab ya. Lalu anak anda boleh bertanya, “Jika kapal terbang diciptakan oleh manusia, tidakkah kupu-kupu monarch juga diciptakan oleh individu yang berakal?” Anda boleh memupuk keyakinan anak anda dengan selalu mengadakan sesi latihan. Jika anak anda tahu cara menggunakan soalan dengan berkesan, dia dapat menjadi seorang penyebar yang baik.

15. Bagaimanakah kita boleh menggunakan soalan untuk membantu seorang ateis?

15 Contoh 2: Semasa menyebar, kita mungkin menemui orang yang meragui kewujudan Tuhan. Contohnya seseorang mungkin berkata bahawa dia adalah ateis. Walaupun begitu, kita masih boleh meneruskan perbincangan. Anda boleh bertanya dia bila dan mengapa dia menjadi ateis. Selepas memujinya atas jawapan yang diberikan, anda boleh bertanya sama ada dia rela menerima bahan bacaan yang menyokong penciptaan. Jika dia memiliki minda yang terbuka, dia akan menerimanya. Anda boleh menawarkan brosur Adakah Kehidupan Diciptakan? Ya, jika kita menanya soalan dengan bijak dan sopan, kita boleh membuka hati orang supaya menerima berita baik.

16. Mengapakah pelajar Bible tidak harus sekadar membaca jawapan daripada bahan pelajaran?

16 Contoh 3: Kemajuan rohani seorang pelajar Bible akan terbantut jika dia sekadar membaca jawapan daripada bahan pelajaran. Mengapa? Kerana pelajar yang mengulangi jawapan tanpa merenungkannya tidak akan mantap secara rohani. Mereka bagaikan tumbuhan yang layu di bawah bahang tentangan. (Mat. 13:20, 21) Kita perlu menanya pelajar Bible pandangannya mengenai apa yang dipelajari. Berusahalah untuk mengetahui sama ada dia setuju dengan apa yang dibincangkan. Yang penting sekali, biarlah dia menjelaskan mengapa dia setuju atau tidak setuju dengan isi-isi tertentu. Kemudian, bantulah dia membuat kesimpulannya sendiri berdasarkan ayat-ayat Bible. (Ibr. 5:14) Jika kita menggunakan soalan dengan efektif, iman pelajar Bible akan berakar umbi. Maka dia boleh bertahan sewaktu ditentang atau diperdaya. (Kol. 2:6-8) Apa lagi yang boleh dilakukan untuk melaksanakan tugas kita sebagai penyebar?

PENYEBAR SALING MEMBANTU

17, 18. Apabila menyebar bersama rakan Kristian, bagaimanakah kita boleh saling bekerjasama?

17 Yesus menghantar pengikutnya secara berdua-dua. (Mrk. 6:7; Luk. 10:1) Mengenai rakan sekerjanya, Paulus berkata bahawa mereka ‘bekerja keras bersama-samanya untuk mengkhabarkan Berita Baik.’ (Flp. 4:3) Selaras dengan ayat itu, pada tahun 1953, penyiar diminta untuk melatih penyiar yang kurang berpengalaman dalam kerja penyebaran.

18 Semasa bekerja dengan rakan Kristian yang lain, bagaimanakah anda boleh saling bekerjasama? (Baca 1 Korintus 3:6-9.) Apabila rakan anda mengemukakan ayat-ayat tertentu, ikutlah pembacaan dalam Bible sendiri. Berilah perhatian semasa dia berbincang dengan penghuni rumah. Jika dia memerlukan pertolongan, bantulah dia. (Pkh. 4:12) Berusahalah untuk tidak memotong percakapan semasa rakan anda sedang membahaskan sesuatu dengan baik. Semangat yang keterlaluan boleh mengakibatkan rakan anda tawar hati dan mengelirukan penghuni rumah. Ada kalanya anda boleh menyertai perbincangan tersebut. Tetapi jika anda ingin mengatakan sesuatu, katakanlah dengan singkat. Kemudian, biarkan rakan anda menyambung semula perbincangan.

19. Apakah yang harus kita ingat, dan mengapa?

19 Bagaimanakah kita boleh saling membantu semasa menginjil dari rumah ke rumah? Gunakanlah masa perjalanan bagi membincangkan cara untuk meningkatkan mutu penyampaian. Berhati-hati supaya tidak mengeluarkan kata-kata negatif tentang penghuni rumah di kawasan penyebaran. Juga elakkan daripada sentiasa merungut mengenai saudara saudari lain. (Ams. 18:24) Ingatlah bahawa kita semua tidak sempurna. Atas belas kasihan Yehuwa kita semua diamanahkan tugas penyebaran. (Baca 2 Korintus 4:1, 7.) Jadi, hargailah kurniaan ini dengan menjalankan kerja penyebaran secara bersungguh-sungguh.