Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yehuwa—Sahabat Karib Kita

Yehuwa—Sahabat Karib Kita

Abraham disebut sahabat Tuhan.’—YAK. 2:23.

1. Oleh sebab kita dicipta mengikut rupa Tuhan, apakah yang kita mampu lakukan?

SEBUAH pepatah yang sering digunakan ialah, “Bapa borek, anak rintik.” Sememangnya ramai anak menyerupai ibu bapa mereka. Lagipun anak mewarisi sifat-sifat genetik ibu bapa. Yehuwa, Bapa kita di syurga merupakan Sumber segala kehidupan. (Mzm. 36:10) Sebagai anak Tuhan, kita mampu mencerminkan sifat-sifat-Nya. Oleh sebab kita dicipta mengikut rupa-Nya, kita mempunyai kebolehan untuk berfikir, membuat keputusan, serta menjalin dan memelihara persahabatan.—Kej. 1:26.

2. Bagaimanakah Yehuwa boleh menjadi Sahabat karib kita?

2 Yehuwa boleh menjadi Sahabat karib kita. Persahabatan sebegini adalah berdasarkan kasih Yehuwa terhadap kita, serta iman kita terhadap Dia dan Anak-Nya. Yesus berkata, ‘Tuhan sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.’ (Yoh. 3:16, ABB) Terdapat banyak contoh tentang orang yang pernah menjadi sahabat Tuhan. Mari kita lihat dua contoh.

“ABRAHAM SAHABATKU”

3, 4. Bagaimanakah persahabatan Abraham dengan Yehuwa berbeza daripada persahabatan orang Israel dengan-Nya?

3 Abraham ialah nenek moyang bangsa Israel. Yehuwa memanggilnya, “Abraham, sahabat-Ku.” (Yes. 41:8) Dua Tawarikh 20:7 juga merujuk Abraham sebagai sahabat Tuhan. Mengapakah Abraham dapat memiliki hubungan yang erat dengan Yehuwa? Kerana imannya.—Kej. 15:6; baca Yakobus 2:21-23.

4 Keturunan Abraham yang kemudiannya menjadi bangsa Israel juga menganggap Yehuwa sebagai Bapa dan Sahabat mereka. Sedih sekali, mereka kehilangan hubungan baik dengan Tuhan. Mengapa? Kerana mereka gagal untuk terus beriman pada janji-janji-Nya.

5, 6. (a) Bagaimanakah Yehuwa menjadi Sahabat anda? (b) Apakah soalan-soalan yang harus kita tanya?

5 Semakin banyak kita mengenali Yehuwa, semakin dalam iman dan kasih kita terhadap-Nya. Ingatlah kembali apabila anda mempelajari bahawa Tuhan benar-benar wujud dan anda dapat menjalinkan hubungan yang erat dengan-Nya. Selain itu, anda telah belajar bahawa kita semua mewarisi dosa daripada Adam. Anda juga memahami bahawa umat manusia terasing daripada Tuhan. (Kol. 1:21) Kemudian, anda sedar bahawa Bapa yang di syurga tidak jauh daripada kita dan Dia prihatin terhadap kita. Apabila anda tahu tentang korban tebusan Yesus yang disediakan oleh-Nya dan beriman terhadap tebusan itu, anda mula menjalin persahabatan dengan-Nya.

6 Semasa kita mengingat kembali bagaimana kita mula-mula mengenali Yehuwa, tanyalah diri, “Adakah saya semakin mengenali Sahabat saya, Yehuwa? Adakah saya benar-benar percaya kepada-Nya? Adakah kasih saya kepada-Nya bertambah setiap hari?” Sekarang, mari kita lihat contoh seorang hakim yang memiliki hubungan erat dengan Yehuwa, iaitu Gideon.

‘YEHUWA SUMBER KESEJAHTERAAN’

7-9. (a) Apakah pengalaman menakjubkan yang dialami oleh Gideon, dan apakah hasilnya? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Bagaimanakah kita boleh mengeratkan hubungan kita dengan Tuhan?

7 Hakim Gideon ialah seorang penyembah Yehuwa semasa bangsa Israel menghadapi kesusahan. Pada masa itu, mereka sudah memasuki Tanah yang Dijanjikan dan menghadapi ancaman daripada orang Midian. Oleh sebab itu, Gideon tidak mengirik gandum di tempat terbuka, tetapi di tempat memeras anggur supaya dia dapat menyembunyikan gandum itu dengan segera. Hakim-Hakim bab 6 menyatakan bahawa malaikat Yehuwa mengunjungi Gideon di Ofra. Gideon terkejut apabila malaikat itu memanggilnya, “Hai pemuda yang gagah berani!” Walaupun Yehuwa pernah membebaskan bangsa Israel dari Mesir, Gideon meragui sama ada Yehuwa akan membantu mereka kali ini. Sebagai wakil Tuhan, malaikat itu meyakinkan Gideon bahawa Yehuwa benar-benar akan membantu mereka.

8 Gideon tertanya-tanya, “Bagaimanakah mungkin aku dapat menyelamatkan umat Israel?” Yehuwa menjawab dengan jelas, ‘Aku akan menolong engkau. Engkau akan mengalahkan orang Midian seolah-olah engkau berhadapan dengan satu orang sahaja.’ (Hak. 6:11-16) Gideon meminta suatu tanda daripada Tuhan kerana dia kurang pasti bagaimana hal ini akan terjadi. Perhatikan bahawa dalam perbualan ini, Gideon tidak meragui bahawa Yehuwa benar-benar wujud.

9 Peristiwa seterusnya menguatkan iman dan mengeratkan hubungan Gideon dengan Tuhan. Gideon menyediakan makanan dan menghidangkannya kepada malaikat. Apabila malaikat itu menyentuh makanan dengan kayu yang dipegangnya, makanan itu terbakar hangus. Pada saat itu, Gideon berasa takut kerana sedar bahawa malaikat itu benar-benar mewakili Yehuwa. Gideon berkata, ‘Ya Yehuwa Raja, aku telah berhadapan muka dengan malaikat-Mu!’ (Hak. 6:17-22) Adakah kejadian ini menjejaskan hubungan Gideon dengan Yehuwa? Tidak! Sebaliknya, Gideon menikmati hubungan yang sejahtera dengan Tuhan. Oleh itu, Gideon membina sebuah mazbah di situ dan menamakannya, ‘Yehuwa Sumber Kesejahteraan.’ (Baca Hakim-Hakim 6:23, 24.) Jika kita merenungkan segala yang dilakukan oleh Yehuwa bagi kita setiap hari, kita akan sedar bahawa Dia ialah Sahabat sejati kita. Dengan selalu berdoa kepada-Nya, jiwa kita akan lebih tenteram dan hubungan kita dengan-Nya akan semakin erat.

‘SIAPAKAH YANG BOLEH MENUMPANG DI RUMAH YEHUWA?’

10. Menurut Mazmur 15:3, 5, apakah syarat-syarat untuk menjadi sahabat Yehuwa?

10 Untuk menjadikan Yehuwa sebagai Sahabat, kita perlu memenuhi beberapa syarat. Dalam Mazmur 15, Daud menulis syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh orang yang ingin ‘menumpang di Rumah Tuhan.’ (Mzm. 15:1) Mari kita bertumpu kepada dua syarat tersebut, iaitu mengelak daripada memfitnah, dan berlaku jujur dalam segala hal. Dalam lagu Daud, dia berkata tentang orang yang diterima ke dalam Rumah Tuhan, ‘Dia tidak memfitnah orang lain. Dia tidak dapat disuap untuk menyalahkan orang yang tidak bersalah.’—Mzm. 15:3, 5.

11. Mengapakah kita tidak patut memfitnah?

11 Dalam satu lagi mazmur, Daud memberikan amaran, “Jangan keluarkan kata-kata jahat.” (Mzm. 34:14) Jika kita tidak mematuhi nasihat ini, kita akan menjejaskan hubungan kita dengan Yehuwa. Sebenarnya, memfitnah adalah salah satu sifat musuh utama Tuhan, iaitu Syaitan. Maksud “Iblis” dalam bahasa Yunani ialah “pemfitnah.” Untuk mengekalkan hubungan baik dengan Yehuwa, kita harus berwaspada tentang apa yang kita katakan kepada orang lain dan mengenai orang lain. Kita juga harus berhati-hati dengan sikap kita, terutamanya terhadap saudara yang terlantik dalam sidang.—Baca Ibrani 13:17; 1 Tesalonika 5:12.

12, 13. (a) Mengapakah kita harus jujur dalam segala perkara? (b) Apabila kita jujur dalam segala perkara, apakah hasilnya?

12 Saksi-Saksi Yehuwa dikenali dengan sikap mereka yang jujur. Rasul Paulus menulis, “Teruslah berdoa untuk kami. Kami yakin bahawa hati nurani kami murni, kerana kami selalu ingin melakukan perkara yang benar.” (Ibr. 13:18, ABB) Oleh sebab kita “ingin melakukan perkara yang benar,” kita mengelak daripada mengambil kesempatan terhadap saudara saudari kita. Contohnya, jika seorang saudara atau saudari bekerja untuk kita, kita akan memastikan bahawa mereka dilayan dengan adil dan dibayar gaji selaras dengan apa yang dijanjikan. Sebagai seorang majikan, kita perlu jujur dengan pekerja serta orang lain. Jika kita pula bekerja untuk seorang Saksi, kita juga tidak patut mengambil kesempatan dengan meminta layanan istimewa.

13 Orang di dunia sering memuji kejujuran Saksi-Saksi Yehuwa. Contohnya, pengarah sebuah syarikat pembinaan yang besar memerhatikan bahawa Saksi-Saksi selalu menepati janji mereka. Dia berkata, “Kamu selalu melakukan apa yang sudah dipersetujui.” (Mzm. 15:4) Kejujuran membantu kita mengekalkan hubungan yang erat dengan Yehuwa, bahkan membawa pujian kepada-Nya.

BANTU ORANG LAIN MENJADI SAHABAT YEHUWA

Kita membantu orang lain untuk menjadi sahabat Yehuwa (Lihat perenggan 14, 15)

14, 15. Semasa aktiviti penyebaran, bagaimanakah kita boleh membantu orang lain untuk menjadi sahabat Tuhan?

14 Semasa menginjil, ramai orang yang kita jumpa percaya bahawa Tuhan wujud. Namun, kebanyakan daripada mereka tidak memandang Tuhan sebagai Sahabat karib. Bagaimanakah kita dapat membantu mereka? Fikirkan arahan yang diberikan oleh Yesus kepada pengikut-pengikutnya sebelum mereka menginjil, “Apabila kamu masuk ke dalam sebuah rumah, lebih dahulu katakanlah, ‘Semoga sejahteralah rumah ini.’ Jika orang yang tinggal di situ suka akan kedamaian, salam sejahtera kamu itu tetap padanya. Jika tidak, batallah salam sejahtera itu.” (Luk. 10:5, 6, ABB) Jika kita bersikap ramah, orang lain mungkin berminat terhadap kebenaran. Selain itu, penentang yang marah mungkin akan bertenang jika kita tetap mesra. Hal ini juga boleh membuka peluang kepada mereka untuk menerima kebenaran pada masa lain.

15 Kita ingin bersikap ramah dan damai semasa berjumpa dengan orang yang kuat beragama atau yang mengamalkan tradisi agama palsu. Terdapat ramai orang yang kecewa dengan keadaan dunia hari ini dan mahu belajar lebih banyak tentang Tuhan yang kita sembah. Kita boleh menjemput mereka dengan mesra ke perjumpaan Kristian kita. Rencana bersiri “Bible Mengubah Hidup” mengandungi banyak contoh yang baik.

BEKERJA BERSAMA SAHABAT BAIK KITA

16. Bagaimanakah kita dapat menjadi rakan sekerja Yehuwa?

16 Orang yang bekerja bersama sering kali menjadi sahabat karib. Orang yang sudah membaktikan diri kepada Yehuwa berpeluang untuk menjadi sahabat dan rakan sekerja-Nya. (1 Kor. 3:9) Jika kita terlibat dalam aktiviti penyebaran, sudah pasti kita mendapat lebih banyak pengertian tentang sifat-sifat Yehuwa yang luhur. Kita dapat melihat bagaimana daya aktif-Nya membantu kita dalam aktiviti penyebaran.

17. Bagaimanakah perhimpunan dan konvensyen membuktikan bahawa Yehuwa ialah Sahabat kita?

17 Hubungan kita dengan Yehuwa akan menjadi semakin erat seraya kita meluangkan lebih banyak masa dalam aktiviti penyebaran. Misalnya, kita dapat melihat bagaimana Yehuwa menumpaskan usaha penentang yang menghalang kerja penyebaran. Kita juga kagum dengan bahan bacaan yang kita terima secara berterusan. Melalui konvensyen dan perhimpunan, kita belajar bahawa Yehuwa memahami masalah yang kita hadapi dan Dia prihatin terhadap keperluan kita. Jelas sekali, kita dibimbing oleh-Nya. Sebuah keluarga menulis, “Konvensyen ini amat menyentuh hati. Kami dapat merasai kasih Yehuwa dan Dia ingin kami berjaya.” Sepasang suami isteri dari Jerman telah menghadiri konvensyen istimewa di Ireland. Mereka diterima dengan ramah dan dijaga dengan baik. Mereka berkata, “Kami amat bersyukur kepada Yehuwa dan Raja-Nya, Yesus Kristus. Mereka telah menjemput kami untuk menjadi sebahagian daripada bangsa yang bersatu padu. Kami bukan sahaja bercakap tentang perpaduan ini, tetapi menikmatinya setiap hari. Pengalaman kami semasa menghadiri konvensyen di Dublin selalu mengingatkan kami tentang penghormatan besar untuk berkhidmat kepada Tuhan Yang Agung bersama anda semua.”

SAHABAT SERING BERKOMUNIKASI

18. Apakah soalan yang boleh kita tanya diri mengenai berkomunikasi dengan Yehuwa?

18 Hubungan persahabatan menjadi lebih erat jika terdapat komunikasi yang baik. Dewasa ini, ramai orang sibuk menggunakan rangkaian sosial dan SMS untuk berkomunikasi. Bagaimanakah kita berkomunikasi dengan Sahabat karib kita, Yehuwa? Ya, Dia ialah Pendengar doa. (Mzm. 65:3) Tetapi, seberapa seringkah kita meluangkan masa untuk bercakap dengan-Nya?

19. Jika kita berasa susah untuk meluahkan isi hati kepada Yehuwa, apakah yang dapat membantu kita?

19 Sesetengah hamba Tuhan berasa susah untuk meluahkan isi hati mereka. Namun, itulah yang Yehuwa inginkan semasa kita berdoa. (Mzm. 119:145; Rat. 3:41) Walaupun kita berasa susah untuk mengungkapkan perasaan dalam kata-kata, kita mempunyai bantuan. Paulus menulis kepada orang Kristian di Roma, ‘Kita tidak tahu bagaimana kita patut berdoa; daya aktif itu sendiri bermohon kepada Tuhan dengan erangan yang tidak dapat diutarakan dengan kata-kata. Tuhan yang mengetahui isi hati manusia, mengerti apa yang dimaksudkan oleh daya aktif itu, kerana daya aktif itu bermohon kepada Tuhan bagi umat-Nya, sesuai dengan kehendak Tuhan.’ (Rm. 8:26, 27, ABB) Sewaktu kita membaca buku Ayub, Mazmur, dan Amsal, kita dapat mempelajari cara untuk meluahkan isi hati kita kepada Yehuwa.

20, 21. Apakah galakan yang terdapat dalam kata-kata Paulus di Filipi 4:6, 7?

20 Ketika menghadapi kesusahan, kita boleh mengikut nasihat Paulus kepada orang Kristian di Filipi, ‘Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Tuhan apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Tuhan, hendaklah kamu selalu mengucap syukur.’ Jika kita melafazkan doa seperti itu, kita akan berasa tenang dan lega. Paulus berkata, ‘Kesejahteraan daripada Tuhan yang tidak mungkin difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus.’ (Flp. 4:6, 7, ABB) Kita harus sentiasa bersyukur atas ‘kesejahteraan daripada Tuhan’ yang benar-benar melindungi hati dan minda kita.

Bagaimanakah doa mengeratkan hubungan kita dengan Tuhan? (Lihat perenggan 21)

21 Doa membantu kita untuk memupuk persahabatan dengan Yehuwa. Maka, kita digalakkan untuk sentiasa berdoa. (1 Tes. 5:17) Semoga rencana ini menguatkan hubungan anda dengan Tuhan dan tekad anda untuk memenuhi syarat-syarat-Nya. Selain itu, luangkanlah masa untuk merenungkan berkat-berkat yang dinikmati kerana Yehuwa ialah Bapa kita, Tuhan kita, dan Sahabat karib kita.