KISAH HIDUP
Khidmat Sepenuh Masa —Berkat yang Diraih
Mengenang 65 tahun dalam khidmat sepenuh masa, saya benar-benar dapat berkata bahawa kehidupan saya dipenuhi sukacita. Hal ini tidak bermaksud bahawa saya tidak menghadapi masalah dan kekecewaan. (Mzm. 34:13; 94:19) Tetapi secara keseluruhannya, kehidupan saya amat memuaskan dan bermakna!
PADA 7 September 1950, saya mula berkhidmat di Bethel Brooklyn. Pada masa itu, 355 saudara saudari dari pelbagai negara dan dalam lingkungan umur 19 hingga 80 tahun berkhidmat di sana. Kebanyakan mereka adalah terurap.
MULA MENYEMBAH YEHUWA
Ibu telah mengajar saya untuk menyembah Tuhan yang gembira. Dia mula menyembah Yehuwa sewaktu saya kecil lagi. Pada 1 Julai 1939, semasa saya berumur 10 tahun, saya telah dibaptiskan di salah sebuah perhimpunan di Columbus, Nebraska, A.S. Sekitar 100 orang telah berkumpul di dewan yang disewa untuk mendengar sebuah rakaman ceramah Joseph Rutherford. Sementara mendengar ceramah, penentang telah berkumpul di luar dewan tersebut. Mereka menyerbu masuk, menghentikan perjumpaan kami, dan menghalau kami dari pekan itu. Kemudian, kami berkumpul di ladang seorang saudara yang berdekatan dan sambung mendengar ceramah hingga habis. Oleh itu, saya memang tidak dapat melupakan hari pembaptisan saya!
Ibu dengan tekun membesarkan saya dalam kebenaran. Walaupun bapa saya seorang yang baik, dia kurang berminat dalam hal rohani. Ibu dan Saksi-Saksi lain dalam Sidang Omaha banyak menggalakkan saya.
RANCANGAN HIDUP SAYA
Memandangkan saya hampir tamat sekolah menengah, saya perlu membuat keputusan tentang masa depan saya. Semasa musim cuti sekolah, saya merintis untuk sementara waktu bersama dengan rakan sebaya yang lain.
Dua saudara bujang, John Chimiklis dan Ted Jaracz, baru sahaja tamat sekolah Gilead yang ketujuh. Mereka ditugaskan untuk membuat kerja lawatan di kawasan kami. Saya terkejut apabila mendapati bahawa mereka hanya berumur awal 20-an. Pada masa itu, saya berumur 18 tahun dan akan tamat sekolah. Saya masih ingat Saudara Chimiklis bertanya tentang rancangan masa depan saya. Selepas memberitahunya, dia menggesa
saya, “Ya, terus masuk khidmat sepenuh masa, kerana kamu tidak tahu berkat apa yang akan diraih.” Nasihat itu dan teladan mereka memberi kesan yang mendalam kepada saya. Jadi, saya mula merintis pada tahun 1948, selepas tamat sekolah.DIJEMPUT KE BETHEL
Pada Julai 1950, keluarga saya menghadiri sebuah konvensyen antarabangsa di Stadium Yankee, Bandar Raya New York. Semasa di sana, saya menghadiri perjumpaan bagi mereka yang berminat untuk berkhidmat di Bethel. Saya menghantar sepucuk surat yang menyatakan keinginan saya untuk berkhidmat di sana.
Walaupun bapa membenarkan saya merintis dan terus tinggal di rumah, dia berasa bahawa saya patut membayar sedikit wang bagi bilik dan makanan saya. Pada awal bulan Ogos, semasa keluar mencari kerja, saya berhenti seketika untuk memeriksa peti surat. Di dalam, terdapat sepucuk surat untuk saya dari Brooklyn. Surat itu ditandatangani oleh Nathan H. Knorr. Dia menulis, “Surat permohonan anda untuk khidmat Bethel sudah diterima. Saya faham bahawa anda setuju untuk berada di Bethel hingga akhir hayat anda. Maka, saya ingin anda melaporkan diri ke Bethel di 124 Columbia Heights, Brooklyn, New York, pada 7 September 1950.”
Sewaktu bapa balik dari kerja pada hari itu, saya memberitahunya bahawa saya sudah mendapat kerja. Dia berkata, “Bagus, di mana kamu akan kerja?” Saya menjawab, “Di Bethel Brooklyn, gajinya 10 dolar sebulan.” Dia terkejut, tetapi berkata bahawa jika itulah pilihan saya, saya harus berusaha hingga berjaya. Tidak lama kemudian, bapa saya dibaptis di sebuah konvensyen di Stadium Yankee pada tahun 1953!
Saya gembira kerana rakan perintis saya, Alfred Nussrallah, juga dijemput ke Bethel. Kami membuat perjalanan ke Bethel bersama-sama. Kemudian dia berkahwin dengan Joan dan telah menghadiri Sekolah Gilead. Mereka dihantar sebagai mubaligh ke Lubnan. Selepas itu, mereka melakukan kerja lawatan di Amerika Syarikat.
KHDMAT BETHEL
Tugas pertama saya di Bethel adalah di bahagian penjilidan buku. Buku pertama yang saya jilid ialah buku What Has Religion Done for Mankind? Selepas lebih kurang lapan bulan, saya ditugaskan ke Bahagian Kerja Penyebaran di bawah bimbingan Saudara Thomas J. Sullivan. Dia telah lama berkhidmat untuk organisasi Yehuwa. Saya gembira bekerja bersamanya dan meraih manfaat daripada kebijaksanaan dan pengertian rohaninya.
Selepas kira-kira tiga tahun, Max Larson, penyelia kilang, memberitahu bahawa Saudara Knorr ingin berjumpa dengan saya. Saya sangka bahawa saya telah melakukan kesilapan. Saya lega apabila mengetahui bahawa Saudara Knorr hanya ingin tahu jika saya mempunyai rancangan untuk meninggalkan Bethel. Dia memerlukan seorang untuk bekerja di pejabatnya untuk sementara waktu. Saya memberitahunya bahawa saya tidak merancang untuk meninggalkan Bethel. Maka, saya telah berpeluang untuk berkhidmat di pejabatnya selama 20 tahun.
Wang tidak boleh membeli pendidikan yang saya terima daripada Saudara Sullivan dan Knorr, serta saudara lain di Bethel, seperti Milton Henschel, Klaus Jensen, Max Larson, Hugo Riemer, dan Grant Suiter. *
Saudara-saudara ini sangat teratur dalam tanggungjawab mereka kepada
organisasi Yehuwa. Saudara Knorr bersemangat memajukan kepentingan Kerajaan Tuhan ke seluruh dunia. Mereka yang berkhidmat di pejabatnya berasa senang untuk berbual dengannya. Jika kami ada pandangan yang berbeza dengannya, kami masih berasa bebas untuk meluahkannya kerana dia mempercayai kami.Pada suatu ketika, Saudara Knorr memberitahu pentingnya melakukan hal-hal yang kecil. Misalnya, semasa dia berkhidmat sebagai penyelia kilang, Saudara Rutherford akan menelefonnya dan berkata, “Saudara Knorr, tolong bawakan pemadam pensel apabila kamu datang makan tengah hari nanti. Saya memerlukannya di pejabat.” Perkara pertama yang Saudara Knorr lakukan ialah pergi ke stor, mengambil pemadam, dan memasukkannya ke dalam poket. Kemudian, dia akan membawanya ke pejabat Saudara Rutherford. Perkara ini kecil sahaja, tetapi sangat berguna bagi Saudara Rutherford. Kemudian, Saudara Knorr berkata, “Saya suka pensel yang tajam di atas meja saya. Jadi tolonglah tajamkannya setiap pagi.” Selama bertahun-tahun, saya memastikan bahawa penselnya tajam.
Saudara Knorr sering berkata bahawa adalah penting untuk mendengar dengan teliti apabila diberi tugas tertentu. Dia pernah memberikan arahan terperinci tentang sesuatu tugas kepada saya. Namun, saya tidak mendengar dengan teliti. Akibatnya, saya melakukan kesilapan yang menyebabkannya malu. Saya amat sedih dan telah menulis surat yang menyatakan bahawa saya berasa bersalah dan adalah baik jika saya tidak lagi berkhidmat di pejabatnya. Pada pagi itu, Saudara Knorr mendekati meja saya dan berkata, “Saya telah menerima surat kamu. Kamu memang telah berbuat salah. Saya sudah memberitahu kamu, dan saya pasti kamu akan lebih berhati-hati. Mari kita teruskan kerja.” Saya sangat menghargai kebaikan hatinya.
KEINGINAN BERKAHWIN
Selepas lapan tahun di Bethel, saya tiada rancangan lain, tetapi untuk terus berkhidmat di sana. Namun, hal itu berubah. Semasa konvensyen di Stadium Yankee, tahun 1958, saya ternampak Lorraine Brookes yang pernah saya jumpa ketika dia merintis di Montreal, Kanada. Saya kagum dengan sikapnya terhadap khidmat sepenuh masa dan kerelaannya untuk ke mana sahaja dia ditugaskan. Lorraine mempunyai matlamat untuk menghadiri Sekolah Gilead. Pada tahun 1956, semasa berumur 22 tahun, dia menghadiri Sekolah Gilead ke-27. Selepas tamat Sekolah Gilead, dia ditugaskan ke Brazil sebagai mubaligh. Pada tahun 1958, kami berkenalan semula dan dia telah menerima lamaran saya. Kami bercadang untuk berkahwin pada tahun yang seterusnya dan berharap untuk berkhidmat sebagai mubaligh bersama-sama.
Apabila saya memberitahu Saudara Knorr tentang rancangan saya, dia mencadangkan bahawa kami menunggu selama tiga
tahun sebelum berkahwin dan kemudian berkhidmat di Bethel Brooklyn. Pada masa itu, bagi pasangan yang ingin terus berkhidmat di Bethel, salah seorang daripada mereka harus berkhidmat di Bethel untuk sekurang-kurangnya 10 tahun dan yang seorang lagi sekurang-kurangnya 3 tahun. Jadi, Lorraine setuju untuk berkhidmat selama dua tahun di Bethel Brazil dan satu tahun di Bethel Brooklyn sebelum kami berkahwin.Selepas bertunang, kami berhubung melalui surat selama dua tahun yang pertama. Adalah mahal untuk menelefon dan pada masa itu tiada e-mel. Pada 16 September 1961, kami berasa amat gembira kerana Saudara Knorr memberikan ceramah perkahwinan kami. Menunggu beberapa tahun rasanya lama. Tetapi selepas terkenang kembali, kami berasa puas dan gembira atas perkahwinan kami yang sudah menjangkau 50 tahun. Kami setuju bahawa menunggu memang berbaloi.
KHIDMAT YANG ISTIMEWA
Pada tahun 1964, saya ditugaskan sebagai penyelia zon untuk melawat negara-negara lain. Pada waktu itu, isteri tidak mengikuti suami mereka. Tetapi pada tahun 1977, isteri dibenarkan untuk pergi bersama suami. Pada tahun itu, Lorraine dan saya bersama Grant dan Edith Suiter melawat pejabat-pejabat cawangan di negara Jerman, Austria, Greece, Cyprus, Turki, dan Israel. Keseluruhannya, saya telah melawat lebih kurang 70 negara.
Semasa ke Brazil pada tahun 1980, kami melawat bandar Belém. Lorraine pernah berkhidmat di sana sebagai mubaligh. Kami juga melawat saudara saudari di Manaus. Semasa saya menyampaikan ceramah di sebuah stadium, kami nampak sekumpulan orang yang tidak mengikut adat orang Brazil, iaitu saudari akan bercium pipi dan saudara saling berjabat tangan. Mengapa?
Mereka ialah saudara saudari yang berasal dari perkampungan pesakit kusta di bahagian pedalaman hutan Amazon. Demi keselamatan, mereka tidak menyentuh orang lain. Tetapi kehadiran mereka menyentuh hati kami. Kami tidak akan lupa wajah mereka yang berseri-seri! Betapa benarnya kata-kata Yesaya, “Mereka akan menyanyi dengan gembira.”
HIDUP YANG MEMUASKAN DAN BERMAKNA
Apabila terkenang kembali khidmat kami selama enam dekad, kami amat gembira dengan berkat-berkat yang diraih kerana membenarkan Yehuwa membimbing kami melalui organisasi-Nya. Walaupun saya tidak dapat membuat kerja lawatan lagi, saya masih bertugas sebagai pembantu Badan Pimpinan bagi Jawatankuasa Koordinator dan Jawatankuasa Penyebaran. Saya amat bersyukur kerana dapat memainkan peranan yang kecil ini untuk menyokong persaudaraan sedunia. Kami sentiasa kagum untuk melihat ramai saudara saudari muda yang menceburi khidmat sepenuh masa yang bersikap seperti Yesaya, “Inilah aku. Utuslah aku!” (Yes. 6:8) Saudara saudari muda ini telah membuktikan kata-kata penyelia litar yang berkata kepada saya, “Ya, terus masuk khidmat sepenuh masa, kerana kamu tidak tahu berkat apa yang akan diraih.”
^ per. 20 Kisah hidup beberapa saudara ini terdapat dalam The Watchtower: Thomas J. Sullivan (15 Ogos 1965); Klaus Jensen (15 Oktober 1969); Max Larson (1 September 1989); Hugo Riemer (15 September 1964); dan Grant Suiter (1 September 1983).