Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bagaimanakah Seharusnya Kita “Memberikan Jawapan”?

Bagaimanakah Seharusnya Kita “Memberikan Jawapan”?

“Hendaklah percakapan kamu . . . menarik. Hendaklah kamu tahu memberikan jawapan kepada setiap orang dengan sepatutnya.”KOL. 4:6.

1, 2. (a) Ceritakan cara seorang saudari menanya soalan yang sesuai. (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Mengapakah kita tidak perlu takut untuk membincangkan topik yang mencabar?

BEBERAPA tahun yang lalu, seorang saudari berbincang dengan suaminya yang tidak seiman tentang Bible. Dahulu, suaminya ialah seorang ahli gereja. Semasa perbincangan, suaminya berkata bahawa dia percaya dalam Tritunggal. Saudari ini sedar bahawa suaminya mungkin tidak begitu faham apa sebenarnya ajaran Tritunggal. Maka dia bertanya, “Adakah kamu percaya bahawa Tuhan ialah Tuhan, Yesus ialah Tuhan, dan roh kudus ialah Tuhan; bukan tiga Tuhan, tetapi semuanya satu Tuhan?” Suaminya terkejut dan berkata, “Tidak, itu bukan apa yang saya percaya!” Hasilnya, mereka menikmati perbualan yang menarik tentang siapa sebenarnya Tuhan.

2 Pengalaman itu membuktikan pentingnya untuk menanya soalan yang sesuai dengan sopan. Kita juga tidak perlu takut akan topik-topik yang mencabar seperti Tritunggal, api neraka, atau kewujudan Pencipta. Jika kita bergantung pada Yehuwa dan pada latihan yang Dia sediakan, kita pasti boleh memberikan jawapan yang meyakinkan dan mencapai hati pendengar. (Kol. 4:6) Dalam rencana ini kita akan mengkaji cara mengajar yang berkesan dengan (1) menggunakan soalan untuk menimba isi hati seseorang, (2) menjelaskan berdasarkan ayat Bible, dan (3) menggunakan perumpamaan untuk menjelaskan isi-isi penting.

MENANYA SOALAN UNTUK MENIMBA ISI HATI PENDENGAR

3, 4. Mengapakah menanya soalan penting untuk mengenal pasti kepercayaan seseorang? Berikan contoh.

3 Menanya soalan dapat membantu kita mengenal pasti kepercayaan seseorang. Mengapakah hal ini penting? Amsal 18:13 (ABB) menyatakan, “Orang yang menjawab sebelum mendengar, bukan sahaja bodoh tetapi mempermalu diri sendiri.” Sebelum membincangkan sebuah topik Bible, adalah baik untuk mengenal pasti apa yang sebenarnya dipercayai oleh pendengar kita. Jika tidak, kita mungkin membazir banyak masa untuk memberi penjelasan mengenai hal-hal yang tidak dipercayainya!1 Kor. 9:26.

4 Misalnya, kita mungkin berbincang tentang topik neraka dengan seseorang. Bukan semua orang percaya bahawa neraka ialah tempat seksaan yang benar-benar wujud. Maka, kita boleh berkata, “Ramai orang memiliki pemahaman berbeza tentang neraka, bolehkah saya tanya pendapat anda tentang hal ini?” Selepas mendengar jawapannya, barulah kita dapat membantunya memahami ajaran Bible.

5. Berikan contoh bagaimana soalan dapat membantu kita memahami mengapa seseorang mempercayai sesuatu perkara.

5 Soalan yang sesuai juga dapat membantu kita memahami mengapa seseorang mempercayai sesuatu perkara. Contohnya, pernahkah anda menginjil kepada orang yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan? Kita mungkin berfikir bahawa dia dipengaruhi oleh ajaran evolusi. (Mzm. 10:4) Walaupun demikian, sesetengah orang hilang iman kerana pernah mengalami penderitaan atau melihat orang lain menderita. Adalah sukar bagi mereka untuk percaya bahawa Tuhan yang pengasih boleh membenarkan penderitaan berlaku. Maka, jika penghuni rumah meragui kewujudan Tuhan, kita boleh bertanya, “Adakah anda berasa begitu sejak dulu lagi?” Jika dia berkata tidak, kita boleh menanya sebab dia meragui kewujudan Tuhan. Jawapannya boleh membantu kita mengenal pasti cara terbaik untuk membimbingnya.Baca Amsal 20:5.

6. Apakah yang harus kita lakukan selepas menanya soalan?

6 Selepas menanya soalan, kita harus mendengar jawapannya dengan teliti dan memahami perasaannya. Misalnya, seseorang mungkin berkata bahawa sesuatu tragedi telah menyebabkannya meragui kewujudan Pencipta yang pengasih. Kita boleh menunjukkan simpati dan memberitahunya bahawa adalah tidak salah untuk bertanya mengapa kita menderita. Kemudian, kita boleh menjelaskan mengapa Tuhan benar-benar wujud. (Hab. 1:2, 3) Kesabaran dan kasih yang kita tunjukkan boleh mendorongnya untuk belajar lebih banyak.

PENJELASAN BERDASARKAN AYAT BIBLE

Apakah yang dapat membantu kita menginjil dengan lebih berkesan? (Lihat perenggan 7)

7. Apakah yang harus kita lakukan untuk menginjil dengan berkesan?

7 Bible merupakan alat utama yang digunakan semasa menginjil. Dengan menggunakan Bible, kita “dilengkapi dengan sempurna untuk melakukan segala macam pekerjaan yang baik.” (2 Tim. 3:16, 17) Untuk menginjil dengan berkesan, kita tidak perlu menunjukkan banyak ayat Bible. Tetapi kita harus tahu cara untuk menerangkan ayat Bible dengan baik. (Baca Kisah 17:2, 3.) Mari kita lihat tiga contoh berikut.

8, 9. (a) Apakah satu cara kita boleh berbincang dengan orang yang percaya bahawa Yesus itu Tuhan? (b) Apakah cara lain yang pernah anda gunakan untuk menjelaskan topik ini?

8 Contoh 1: Semasa menginjil, kita bertemu dengan seseorang yang percaya bahawa Yesus dan Tuhan adalah sama. Apakah ayat Bible yang boleh digunakan? Kita mungkin boleh menjemput penghuni rumah untuk membaca kata-kata Yesus di Yohanes 6:38, ‘Aku sudah turun dari syurga bukan untuk melakukan kehendakku sendiri, tetapi kehendak Dia yang mengutus aku.’ Selepas itu, kita boleh bertanya, “Jika Yesus ialah Tuhan, siapakah yang mengutusnya dari syurga? Tidakkah Dia lebih berkuasa daripada Yesus? Sudah pasti, yang mengutus lebih berkuasa daripada yang diutus.”

9 Selain itu, kita boleh membaca Filipi 2:9. Rasul Paulus menerangkan apa yang dilakukan oleh Tuhan selepas Yesus dibangkitkan. Ayat itu menyatakan, ‘Tuhan meninggikan dia [Yesus] setinggi-tingginya, dan mengurniai dia kedudukan yang lebih tinggi daripada semua kedudukan yang lain.’ Untuk membantu orang itu memahami ayat Bible tersebut, kita boleh bertanya, “Jika Yesus sama dengan Tuhan sebelum dia mati, dan Tuhan kemudiannya meninggikan Yesus, tidakkah hal ini bermaksud Yesus mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Tuhan? Namun, dapatkah sesiapa menjadi lebih tinggi daripada Tuhan?” Jika penghuni rumah itu berhati tulus, dia mungkin mengkaji hal ini dengan lebih mendalam.Kis. 17:11.

10. (a) Bagaimanakah kita boleh berbincang dengan seseorang yang mempercayai api neraka? (b) Bagaimanakah anda menjelaskan topik neraka kepada penghuni rumah?

10 Contoh 2: Seorang penghuni rumah yang kuat beragama berasa susah untuk percaya bahawa orang jahat tidak akan diseksa di neraka. Mungkin dia ingin orang jahat merana atas tindakan mereka. Bagaimanakah kita boleh menjelaskan berdasarkan ayat Bible? Pertama, kita boleh meyakinkannya bahawa orang jahat akan dihukum. (2 Tes. 1:9) Kemudian, kita boleh menunjukkan ayat Kejadian 2:16, 17 bahawa hukuman dosa ialah kematian. Kita juga boleh menjelaskan bahawa melalui dosa Adam, seluruh umat manusia berdosa. (Rm. 5:12) Kita juga boleh menekankan bahawa Tuhan tidak menyebut apa-apa tentang neraka. Kita boleh bertanya, “Mengapakah Tuhan tidak memberitahu Adam dan Hawa tentang hukuman di neraka?” Selepas itu, kita boleh membaca Kejadian 3:19 yang menyatakan bahawa seseorang yang berdosa akan kembali ke tanah, bukannya merana di neraka. Kita boleh bertanya, “Adakah masuk akal untuk memberitahu Adam bahawa dia akan kembali ke tanah jika dia sebenarnya akan ke neraka?” Jika orang itu berfikiran terbuka, dia akan merenungkan lagi tentang hal ini.

11. (a) Apakah caranya untuk berbincang dengan seseorang yang percaya bahawa semua orang baik akan naik ke syurga? (b) Apakah cara berkesan yang pernah anda gunakan untuk berbincang mengenai topik ini?

11 Contoh 3: Semasa menginjil, kita berjumpa dengan seseorang yang percaya bahawa semua orang baik akan naik ke syurga. Kepercayaan sebegini dipengaruhi oleh cara orang memahami ayat Bible. Contohnya, anda boleh membaca kepadanya Wahyu 21:4. (Baca.) Orang itu mungkin berfikir bahawa ayat ini menerangkan keadaan di syurga. Bagaimanakah kita boleh menjelaskan berdasarkan Bible? Anda tidak perlu merujuk kepada ayat Bible lain. Sebaliknya anda boleh menekankan ungkapan “kematian akan tiada lagi” dalam ayat itu. Tanyalah dia, “Jika sesuatu akan tiada lagi, maksudnya hal itu pernah wujud, bukan?” Barangkali dia menjawab, “Ya.” Kita boleh menerangkan bahawa kematian tidak pernah wujud di syurga. Sebaliknya, kematian hanya berlaku di bumi. Jadi, adalah masuk akal untuk percaya bahawa Wahyu 21:4 memang merujuk kepada berkat di bumi.Mzm. 37:29.

GUNAKAN PERUMPAMAAN UNTUK JELASKAN ISI PENTING

12. Mengapakah Yesus menggunakan perumpamaan?

12 Yesus menggunakan perumpamaan semasa menginjil. (Baca Matius 13:34, 35.) Perumpamaannya dapat mendedahkan niat hati pendengarnya. (Mat. 13:10-15) Perumpamaan juga membuat ajaran Yesus menarik dan mudah diingati. Bagaimanakah kita boleh menggunakan perumpamaan semasa mengajar?

13. Apakah perumpamaan yang dapat menjelaskan bahawa Tuhan lebih berkuasa daripada Yesus?

13 Perumpamaan yang mudah difahami adalah terbaik. Contohnya, untuk menerangkan bahawa Tuhan lebih berkuasa daripada Yesus, kita boleh menggunakan perumpamaan ini: Jelaskan bahawa hubungan Tuhan dan Yesus adalah seperti sebuah keluarga. Tuhan memanggil Yesus anak-Nya, dan Yesus memanggil Tuhan Bapanya. (Luk. 3:21, 22; Yoh. 14:28) Kemudian, kita boleh bertanya, “Katakan kita mahu menunjukkan bahawa dua orang adalah setara, apakah hubungan mereka? Adik-beradik atau bapa dengan anak?” Penghuni rumah mungkin berkata, “Adik-beradik.” Selepas itu, kita boleh berkata, “Jika kamu dan saya dapat memahami perumpamaan ini, mengapakah Yesus tidak menggunakan perumpamaan yang sama? Sebaliknya, dia berkata bahawa Tuhan ialah Bapanya. Ya, maksud Yesus ialah Tuhan lebih tua dan lebih berkuasa daripadanya.”

14. Apakah perumpamaan yang menjelaskan bahawa Tuhan tidak menggunakan Syaitan untuk menghukum orang di neraka?

14 Mari kita lihat satu lagi contoh. Ada orang percaya bahawa Tuhan menugaskan Syaitan untuk mengurus neraka. Bagaimanakah kita dapat menjelaskan kepada seorang ibu atau bapa bahawa Tuhan tidak menggunakan Syaitan untuk menghukum orang? Kita boleh berkata, “Bayangkan anak anda memberontak dan melakukan banyak perkara jahat. Apakah tindakan anda?” Biasanya, ibu bapa akan mencuba berulang kali untuk menghentikan anak daripada berbuat jahat. (Ams. 22:15) Kemudian kita boleh bertanya, “Bagaimana pula jika anak anda enggan berubah?” Kebanyakan ibu bapa akan berkata bahawa mereka akan menghukum anak itu. Kita boleh bertanya lagi, “Bagaimana pula jika anda mendapati bahawa ada orang jahat yang mempengaruhi anak anda untuk memberontak?” Sudah pasti ibu bapa akan marah terhadap orang itu. Akhirnya, kita boleh berkata, “Selepas mengetahui bahawa ada orang jahat yang mempengaruhi anak anda, adakah anda akan menyuruh orang itu menghukum anak anda?” Mereka tentu menjawab, “Tidak.” Perumpamaan ini jelas menunjukkan bahawa Syaitan telah mempengaruhi orang untuk berbuat jahat. Sudah pasti, Tuhan tidak menggunakan Syaitan untuk menghukum orang.

KEKALKAN PANDANGAN YANG SEIMBANG

15, 16. (a) Mengapakah kita tidak boleh berharap bahawa semua orang akan menerima berita baik? (b) Adakah kita memerlukan kemahiran istimewa untuk mengajar dengan berkesan? Jelaskan. (Lihat juga kotak “ Bantuan untuk Memberikan Jawapan.”)

15 Meskipun kita menanya soalan yang sesuai, memberi penjelasan berdasarkan Bible, dan menggunakan perumpamaan yang baik, bukan semua orang akan menerima berita baik. (Mat. 10:11-14) Lagi pun, hanya sedikit orang yang menerima ajaran Yesus, walaupun dia merupakan Guru Agung!Yoh. 6:66; 7:45-48.

16 Walaupun kita berasa kurang mahir, kita masih boleh menginjil dengan berkesan. (Baca Kisah 4:13.) Firman Tuhan meyakinkan kita bahawa semua orang yang tulus hati akan menerima berita baik. (Kis. 13:48) Maka, adalah baik untuk memupuk pandangan yang seimbang. Berusahalah untuk meningkatkan mutu mengajar dan janganlah tawar hati jika orang tidak menerima kebenaran. Dengan memanfaatkan latihan yang Yehuwa sediakan, anda akan membawa manfaat kepada diri sendiri dan orang yang mendengar anda. (1 Tim. 4:16) Yehuwa dapat membantu kita untuk “memberikan jawapan kepada setiap orang dengan sepatutnya.” Rencana yang berikutnya akan membincangkan cara untuk berjaya dalam kerja penyebaran dengan menerapkan suatu prinsip Bible yang terkenal.