Bantulah Rakan Seiman yang Sudah Bercerai —Bagaimana?
Anda mungkin mengenal orang yang sudah bercerai. Hari ini, perceraian semakin lazim. Contohnya, penyelidik di Poland melaporkan bahawa pasangan yang berada dalam lingkungan umur 30-an dan sudah berkahwin selama tiga hingga enam tahun barangkali akan bercerai. Perceraian bukan terhad kepada golongan ini sahaja.
Sebuah institut di Sepanyol melaporkan bahawa “[di Eropah] separuh daripada mereka yang berkahwin akan bercerai.” Hal ini juga berlaku di negara lain yang sudah maju.
DILANDA DENGAN PELBAGAI EMOSI
Apakah yang menyebabkan hal ini berlaku? Seorang penasihat perkahwinan dari Eropah Timur berkata bahawa perceraian berlaku kerana hubungan suami isteri terputus. Perceraian meninggalkan kesan-kesan emosi yang sukar disembuhkan. Dia menambah, perceraian disusuli “perasaan marah, kesal, kecewa, malu, dan putus harapan.” Kadangkala, ada yang ingin membunuh diri. “Setelah perceraian disahkan di mahkamah, . . . perasaan kesepian dan kekosongan dalam hidup menyelubungi orang itu sehingga dia tertanya-tanya, ‘Sekarang saya sudah bercerai, siapakah saya sebenarnya? Apakah tujuan hidup saya?’”
Mengingat kembali beberapa tahun yang lalu, Ewa berkata, “Saya berasa sangat malu selepas bercerai kerana jiran dan rakan sekerja akan memandang rendah saya. Saya sangat marah. Saya mempunyai dua anak kecil, dan saya harus menjadi ibu dan bapa kepada mereka.” * Adam, seorang saudara yang berkhidmat sebagai penatua selama 12 tahun berkata, “Saya hilang maruah diri sehingga kadangkala saya berasa marah. Saya ingin menjauhkan diri daripada orang lain.”
BERGELUT UNTUK PULIH SEMULA
Sesetengah orang masih bergelut untuk pulih semula walaupun sudah bercerai selama bertahun-tahun. Mereka risau tentang masa depan. Mereka mungkin menyimpulkan bahawa orang lain tidak mempedulikan mereka. Seorang penulis berkata bahawa orang yang sudah bercerai “perlu menukar cara hidup dan belajar untuk mengatasi masalah dengan sendiri.”
Stanisław berkata, “Selepas bercerai, bekas isteri saya tidak membenarkan saya melawat dua anak perempuan saya. Oleh itu, saya berasa bahawa tiada orang yang mengambil berat tentang saya, bahkan Yehuwa pun telah mengabaikan saya. Hidup saya tidak bermakna lagi. Lama-kelamaan, saya sedar bahawa pemikiran saya
adalah salah.” Wanda yang sudah bercerai dan khuatir tentang masa depan berkata, “Saya pasti bahawa orang lain termasuk rakan seiman tidak akan memberi perhatian kepada saya dan anak-anak saya selepas beberapa waktu. Namun, saya dapat lihat bahawa rakan seiman selalu mendampingi kami dan membantu saya untuk membesarkan anak-anak untuk terus menyembah Yehuwa.”Kata-kata yang diluahkan oleh sesetengah orang yang sudah bercerai menunjukkan bahawa mereka diselubungi perasaan negatif. Mereka mungkin kurang harga diri dan berfikir bahawa mereka tidak bernilai atau tidak penting lagi. Mereka bahkan mengkritik orang di sekeliling mereka dan menganggap bahawa orang di sidang bersikap dingin dan tidak bersimpati. Namun, pengalaman Stanisław dan Wanda menunjukkan bahawa rakan seiman sebenarnya sangat mengambil berat terhadap mereka. Rakan seiman biasanya akan memberikan sokongan yang sangat baik, walaupun bantuan itu mungkin tidak dihargai pada mulanya.
PERASAAN SUNYI DAN TIDAK DIHARGAI
Kita mesti ingat bahawa rakan seiman yang sudah bercerai akan dilanda perasaan sunyi dari masa ke masa. Biasanya saudari yang sudah bercerai akan berfikir bahawa tidak ramai orang yang mempedulikan mereka. Alicja mengaku, “Lapan tahun sudah berlalu sejak saya bercerai. Namun, saya masih berasa kurang yakin. Pada saat itulah saya ingin menyisihkan diri dan menangis, serta berasa kasihan pada diri sendiri.”
Orang yang bercerai biasanya ingin menyisihkan diri. Tetapi Bible tidak menggalakkan perbuatan ini. Orang yang menyisihkan diri sedang “membantah segala pendapat yang baik.” (Ams. 18:1) Adalah bijak bagi orang yang berasa sunyi supaya tidak selalu meminta nasihat daripada orang yang berlawanan jantina, agar mereka tidak tergoda untuk menjalin hubungan romantik yang tidak sesuai.
Rakan seiman kita yang sudah bercerai mungkin dilanda dengan pelbagai perasaan yang mencabar. Misalnya, khuatir akan masa depan, berasa kesepian, atau berasa tidak dihargai. Perasaan sebegini memang biasa dialami dan susah diatasi. Oleh itu, kita harus meniru Yehuwa dengan menyokong saudara saudari yang berasa sedemikian. (Mzm. 55:23; 1 Ptr. 5:6, 7) Kita boleh yakin bahawa bantuan yang kita berikan akan dihargai. Sudah pasti, mereka akan mendapatkan bantuan daripada rakan sejati di dalam sidang!—Ams. 17:17; 18:24.
^ per. 6 Nama-nama telah diubah.