Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Tuhan Mengenal Orang Milik-Nya”

“Tuhan Mengenal Orang Milik-Nya”

‘Orang yang mengasihi Tuhan, dikenal oleh Tuhan.’—1 KOR. 8:3.

1. Berikan contoh tentang bagaimana sesetengah umat Tuhan menipu diri sendiri. (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

PADA suatu pagi, Imam Agung Harun berdiri di pintu masuk khemah suci dengan bekas api untuk membakar kemenyan. Di situ, Korah dan 250 orang pengikutnya juga mempersembahkan kemenyan kepada Yehuwa. (Bil. 16:16-18) Sekilas pandang, mereka semua nampak seperti penyembah Yehuwa yang setia. Namun, hanya Harun yang setia kepada Yehuwa. Yang lain sebenarnya ingin merampas tanggungjawab para imam. (Bil. 16:1-11) Mereka telah menipu diri sehingga berfikir bahawa Yehuwa menyokong mereka. Namun Yehuwa membaca hati mereka dan tahu bahawa mereka munafik.—Yer. 17:10.

2. Apakah yang dikatakan oleh Musa? Adakah kata-katanya terbukti benar?

2 Pada hari sebelumnya, Musa telah berkata, ‘Esok pagi, Yehuwa akan menunjukkan siapa milik-Nya.’ (Bil. 16:5) Seperti yang dikatakan Musa, Yehuwa memang mengenal pengikut sejati-Nya dan menolak orang yang munafik. ‘Yehuwa mendatangkan api yang bernyala-nyala dan membakar [Korah serta] 250 orang yang sudah mempersembahkan kemenyan.’ (Bil. 16:35; 26:10) Harun pula terselamat. Hal ini menunjukkan bahawa dia merupakan imam agung yang dipilih Tuhan dan seorang penyembah yang sejati.—Baca 1 Korintus 8:3.

3. (a) Apakah situasi sidang Kristian pada zaman Paulus? (b) Apakah yang dapat kita pelajari daripada cara Yehuwa menangani pemberontak pada zaman Musa?

3 Situasi yang serupa berlaku 1,500 tahun kemudian pada zaman Paulus. Beberapa orang yang mendakwa diri Kristian telah menerima ajaran palsu dan masih bergaul dengan sidang Kristian. Sekilas pandang, orang murtad sebegini sama sahaja dengan penyembah lain. Tetapi sebenarnya mereka merupakan ancaman kepada orang Kristian sejati. Mereka seperti serigala yang bertopengkan rupa domba dan ingin “merosakkan iman sesetengah orang.” (2 Tim. 2:16-18) Tetapi, Paulus mengetahui bahawa Yehuwa mengenal orang murtad menerusi cara Dia menangani Korah dan pengikutnya. Mari kita lihat pengajaran daripada suatu petikan Bible yang menarik.

‘AKULAH YEHUWA; AKU TIDAK BERUBAH’

4. Paulus yakin terhadap apa, dan bagaimanakah dia menunjukkan keyakinannya kepada Timotius?

4 Paulus yakin bahawa Yehuwa mengenal orang yang setia kepada-Nya dan orang yang berpura-pura menyembah-Nya. Selepas menyatakan kesan buruk yang disebabkan oleh kemurtadan terhadap sesetengah orang di sidang, Paulus menulis kepada Timotius, ‘Asas kukuh yang sudah diletakkan oleh Tuhan tidak dapat digoncangkan. Di atasnya tertulis kata-kata ini: “Yehuwa mengenal orang milik-Nya,” dan “Sesiapa yang berkata bahawa dia milik Yehuwa, mesti berhenti melakukan perbuatan yang salah.”’—2 Tim. 2:18, 19.

5, 6. Apakah yang boleh kita pelajari daripada frasa ‘asas kukuh yang sudah diletakkan oleh Tuhan’? Apakah kesannya terhadap Timotius?

5 Bible menggunakan perkataan “asas” untuk menggambarkan pelbagai perkara. Di antaranya ialah Yerusalem, ibu kota Israel, dan peranan Yesus dalam melaksanakan tujuan Tuhan. (Mzm. 87:1, 2; 1 Kor. 3:11; 1 Ptr. 2:6) Frasa ‘asas kukuh yang sudah diletakkan oleh Tuhan’ hanya digunakan sekali sahaja dalam Bible. Apakah maksud Paulus apabila dia menulis tentang hal ini?

6 Selepas menyatakan tentang ‘asas kukuh yang sudah diletakkan oleh Tuhan,’ Paulus memetik kata-kata Musa dari Bilangan 16:5. Ayat itu menunjukkan bahawa Yehuwa mampu mengesan dan menangani tindakan pemberontak seperti Korah dan pengikutnya. Cara Yehuwa menangani Korah menunjukkan bahawa Dia tidak akan membiarkan orang murtad di sidang abad pertama untuk menghalang tujuan-Nya. Paulus tidak menjelaskan dengan lebih lanjut tentang ‘asas kukuh yang sudah diletakkan oleh Tuhan.’ Namun, kata-katanya pasti menguatkan Timotius untuk percaya dan yakin dalam cara Yehuwa menangani masalah.

7. Mengapakah kita boleh pasti bahawa Yehuwa akan bertindak dengan adil, benar, dan setia?

7 Prinsip Yehuwa yang luhur tidak berubah. ‘Rancangan Yehuwa tahan selama-lamanya, dan tujuan-Nya tidak berkesudahan,’ kata Mazmur 33:11. Ayat lain juga menyatakan bahawa pemerintahan, kasih, keadilan, kebenaran, dan kesetiaan Yehuwa kekal selamanya. (Kel. 15:18; Mzm. 106:1; 111:3; 117:2) Maleakhi 3:6 menyatakan, ‘Akulah Yehuwa; Aku tidak berubah.’ Begitu juga, Yakobus 1:17 menyatakan ‘Dia Tuhan yang tidak berubah.’

KATA-KATA PADA “ASAS KUKUH” MEMBINA IMAN

8, 9. Apakah pengajarannya daripada kata-kata di atas “asas kukuh” itu?

8 Dalam ayat di 2 Timotius 2:19, Paulus menulis bahawa terdapat kata-kata yang tertulis pada ‘asas kukuh yang sudah diletakkan oleh Tuhan.’ Pada zaman kuno, adalah lazim untuk mengukir tulisan pada asas sebuah bangunan untuk menunjukkan siapa pemiliknya atau pembinanya. Paulus ialah orang pertama yang menggunakan perumpamaan ini. * Kata-kata di atas ‘asas kukuh yang sudah diletakkan oleh Tuhan’ mengandungi dua mesej penting. Pertama, “Tuhan mengenal orang milik-Nya” dan kedua, “Sesiapa yang berkata bahawa dia milik Tuhan, mesti berhenti melakukan perbuatan yang salah.” Hal ini berkait dengan ayat di Bilangan 16:5.—Baca.

9 Apakah pengajaran daripada kata-kata di atas “asas kukuh” itu? Prinsip-prinsip Yehuwa boleh dirumuskan kepada dua pengajaran penting: (1) Yehuwa mengasihi mereka yang setia kepada-Nya, dan (2) Yehuwa membenci perbuatan yang salah. Bagaimanakah hal ini berkait dengan kemurtadan di sidang?

10. Bagaimanakah kelakuan orang murtad mempengaruhi orang Kristian pada zaman Paulus?

10 Timotius dan orang Kristian lain mungkin terganggu oleh kelakuan orang murtad dalam kalangan mereka. Sesetengah ahli sidang mungkin bertanya mengapa orang murtad masih dibenarkan untuk berada dalam sidang. Bahkan ada yang mungkin meragui sama ada Yehuwa dapat membezakan antara umat-Nya yang tulus daripada orang murtad.—Kis. 20:29, 30.

Perbuatan orang murtad tidak mempengaruhi pendirian Timotius (Lihat perenggan 10-12)

11, 12. Bagaimanakah surat Paulus menguatkan iman Timotius?

11 Sudah pasti, surat Paulus menggalakkan Timotius. Surat itu mengingatkan Timotius bahawa Harun diterima sebagai penyembah sejati Yehuwa, manakala niat jahat Korah dan pengikutnya terdedah, dan mereka dibinasakan. Kata-kata Paulus menunjukkan bahawa walaupun terdapat orang Kristian palsu, Yehuwa mampu mengenal pasti siapa yang benar-benar milik-Nya.

12 Yehuwa tidak berubah dan boleh dipercayai. Oleh sebab Dia membenci kejahatan, tidak lama lagi Dia akan menghakimi orang jahat yang enggan bertaubat. Timotius juga perlu menolak pengaruh orang Kristian palsu kerana dia “milik Tuhan.” *

IBADAT YANG TULUS TIDAK SIA-SIA

13. Kita boleh yakin akan hal apa?

13 Surat Paulus ini juga dapat menguatkan kerohanian kita. Kita boleh yakin bahawa Yehuwa bukan sekadar tahu mereka yang setia kepada-Nya, tetapi Dia amat berminat terhadap orang milik-Nya. Bible menyatakan, ‘Yehuwa sentiasa mengawasi seluruh bumi ini dan memberikan kekuatan kepada mereka yang setia kepada-Nya.’ (2 Taw. 16:9) Sememangnya, kita boleh yakin bahawa apa sahaja yang kita lakukan untuk Yehuwa dengan “hati yang murni” adalah tidak sia-sia.—1 Tim. 1:5; 1 Kor. 15:58.

14. Apakah jenis ibadat yang tidak diterima oleh Yehuwa?

14 Yehuwa tidak menerima ibadat yang munafik. Mata ‘Yehuwa sentiasa mengawasi seluruh bumi,’ Dia tahu siapa yang tidak “setia kepada-Nya.” Amsal 3:32 mengatakan, ‘Yehuwa membenci orang yang berbuat jahat.’ Contohnya, seseorang mungkin berpura-pura setia kepada Yehuwa, tetapi sebenarnya melakukan dosa secara sembunyi. Meskipun seseorang dapat menyembunyikan dosanya, Yehuwa Yang Maha Kuasa dan adil akan memastikan bahawa ‘sesiapa yang menyembunyikan dosanya tidak akan berjaya.’—Ams. 28:13; baca 1 Timotius 5:24; Ibrani 4:13.

15. Apakah yang tidak harus kita lakukan, dan mengapa?

15 Kebanyakan umat Yehuwa menyembah-Nya dengan ikhlas. Adalah jarang bagi seseorang untuk cuba memperdaya Yehuwa dengan menyembah-Nya secara munafik. Namun, jika perkara itu terjadi pada zaman Musa dan pada abad pertama, perkara yang sama juga boleh terjadi pada hari ini. (2 Tim. 3:1, 5) Adakah hal ini bermaksud kita meragui niat rakan seiman yang menyembah Yehuwa? Sudah tentu tidak! Pemikiran sedemikian adalah salah. (Baca Roma 14:10-12; 1 Korintus 13:7.) Malah, berasa curiga terhadap kesetiaan ahli sidang lain akan membahayakan kerohanian kita sendiri.

16. (a) Apakah yang boleh kita lakukan agar tidak menjadi munafik dengan tidak sengaja? (b) Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada kotak “Ujilah Diri Kamu Sendiri”?

16 Setiap orang Kristian “harus memeriksa kelakuannya sendiri.” (Gal. 6:4) Oleh sebab kita manusia berdosa, secara tidak sengaja, kita boleh memupuk sifat yang menjadikan penyembahan kita tidak tulus. (Ibr. 3:12, 13) Maka, dari masa ke masa kita perlu memeriksa niat sebenar kita dengan bertanya, “Adakah saya menyembah Yehuwa kerana mengasihi-Nya dan sedar bahawa Dialah Pemerintah yang Berdaulat? Atau adakah saya lebih mementingkan berkat fizikal yang akan diraih di Firdaus nanti?” (Why. 4:11) Adalah baik untuk memeriksa diri dan menyingkirkan apa sahaja kecenderungan yang munafik dari hati kita.

KESETIAAN MEMBAWA KEBAHAGIAAN

17, 18. Mengapakah kita harus menyembah Yehuwa dengan tulus?

17 Jika kita berusaha untuk beribadat dengan hati yang tulus, kita akan menerima banyak berkat. ‘Berbahagialah orang yang tidak dituduh oleh Yehuwa kerana kejahatan mereka, dan yang tidak suka menipu,’ kata pemazmur. (Mzm. 32:2) Orang yang tidak bersikap munafik lebih berbahagia, dan mereka berpeluang untuk menikmati kehidupan sejati pada masa depan.

18 Tidak lama lagi, Yehuwa akan mendedahkan semua orang yang melakukan dosa secara tersembunyi dan tidak menyembah-Nya dengan ikhlas. Dia akan menunjukkan ‘perbezaan antara kesudahan orang baik dan kesudahan orang jahat, antara orang yang mengabdikan diri kepada-Nya dan yang tidak.’ (Mal. 3:18) Sementara itu, kita berasa lega kerana “Tuhan sentiasa memperhatikan orang yang melakukan kehendak-Nya, Dia sentiasa mendengarkan doa mereka.”—1 Ptr. 3:12.

^ per. 8 Wahyu 21:14 menyatakan bahawa nama 12 orang rasul tertulis pada 12 “buah batu asas.” Ayat ini ditulis puluhan tahun selepas Paulus menulis surat kepada Timotius.

^ per. 12 Rencana yang seterusnya akan membincangkan bagaimana kita dapat meniru Yehuwa dengan menolak perbuatan yang jahat.