Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Jika Kingsley Boleh Melakukannya, Saya Juga Boleh Melakukannya!”

“Jika Kingsley Boleh Melakukannya, Saya Juga Boleh Melakukannya!”

KINGSLEY mula membaca Bible selepas seseorang menyentuh bahunya. Inilah tugasan pertamanya dalam Sekolah Penyebaran Teokratik. Setiap perkataan disebutnya dengan betul dan tiada suku kata yang tertinggal. Tetapi dia tidak melihat Biblenya semasa membaca! Mengapa?

Kingsley tinggal di Sri Lanka. Dia buta, mempunyai masalah pendengaran, dan memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Bagaimanakah lelaki ini mengenali Yehuwa dan layak menyertai Sekolah Penyebaran Teokratik? Mari saya ceritakan.

Kali pertama saya berjumpa dengan Kingsley, saya kagum dengan minatnya terhadap kebenaran Bible. Dia pernah belajar Bible dengan beberapa orang Saksi. Dia memiliki buku yang bertajuk Knowledge That Leads to Everlasting Life dalam tulisan Braille, tetapi buku itu usang kerana selalu digunakan. * Dia setuju untuk belajar Bible dengan saya. Namun, terdapat dua cabaran.

Pertama, Kingsley tinggal di rumah orang yang lanjut usia dan kurang upaya. Oleh sebab masalah pendengaran Kingsley, ditambah lagi dengan kebisingan di tempat itu, saya terpaksa bercakap dengan lebih kuat. Jadi, semua orang di sana dapat mendengar pembelajaran Bible kami setiap minggu!

Kedua, Kingsley hanya dapat membaca dan memahami sedikit maklumat Bible setiap kali kami belajar Bible. Jadi, Kingsley membuat persiapan dengan rajin. Dia berulang kali membaca bahan yang akan dibincangkan, membaca ayat rujukan dalam Biblenya, dan cuba menjawab soalan pembelajaran dalam mindanya. Cara ini sangat berkesan. Semasa pembelajaran, dia akan duduk bersila di atas tikarnya dan menjelaskan apa yang dipelajarinya dengan suara yang kuat dan bersemangat. Tidak lama kemudian, kami mulai belajar dua kali seminggu dan setiap pembelajaran berlangsung selama dua jam!

MENGHADIRI DAN MENYERTAI PERJUMPAAN

Kingsley dan Paul

Kingsley berminat untuk menghadiri perjumpaan, tetapi hal ini tidak mudah. Dia memerlukan bantuan semasa menggunakan kerusi roda, menaiki kereta, dan menghadiri perjumpaan. Tetapi ahli sidang bergilir-gilir membantu dia, dan menganggap hal ini sebagai suatu peluang istimewa. Semasa perjumpaan, Kingsley meletakkan pembesar suara dekat dengan telinganya. Dia mendengar dengan teliti, malah memberikan komen!

Kemudian, Kingsley ingin menyertai Sekolah Penyebaran Teokratik. Dua minggu sebelum tugasannya yang pertama, saya menanya dia jika dia sudah berlatih. Dia berkata dengan yakin, “Ya, Saudara, saya sudah berlatih kira-kira 30 kali.” Saya memujinya dan meminta jika saya boleh mendengar pembacaannya. Dia membuka Bible, meletakkan jarinya pada huruf-huruf Braille, dan mula membaca. Tetapi, saya mendapati jarinya tidak bergerak seperti yang biasa dilakukannya semasa membaca. Dia telah menghafal seluruh bahagian pembacaannya!

Saya menitiskan air mata kerana tidak percaya dengan apa yang saya lihat. Saya bertanya bagaimana dia dapat menghafalnya sedangkan dia hanya berlatih sebanyak 30 kali. Dia menjawab, “Tidak, saya berlatih kira-kira 30 kali setiap hari.” Selama lebih daripada sebulan, Kingsley duduk di atas tikarnya, membaca Bible berulang kali sehingga dia menghafalnya.

Kemudian, Kingsley menyampaikan tugasannya di sidang. Semua orang memberikan tepukan gemuruh dan ada yang tersentuh sehingga menangis kerana melihat tekadnya. Seorang saudari yang telah berhenti menyampaikan tugasan kerana gementar, meminta untuk menyertai Sekolah Penyebaran Teokratik semula. Mengapa? Dia berkata, “Jika Kingsley boleh melakukannya, saya juga boleh melakukannya!”

Selepas belajar Bible selama tiga tahun, Kingsley membaktikan dirinya kepada Yehuwa dan dibaptis pada 6 September 2008. Dia setia hingga akhir hayatnya pada 13 Mei 2014. Kingsley yakin bahawa di Firdaus nanti, dia akan menyembah Tuhan dalam keadaan yang sempurna. (Yes. 35:5, 6)—Diceritakan oleh Paul McManus.

^ per. 4 Diterbitkan pada tahun 1995; kini tidak lagi diterbitkan.