Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Doa—Tentang Apa?

Doa—Tentang Apa?

PERNAHKAH anda mendengar tentang Doa Bapa Kami? Banyak orang Kristian di seluas dunia tahu tentangnya dan bahkan menghafal dan menggunakannya setiap hari. Tetapi ramai hanya mengulanginya tanpa memahami maksudnya. Adakah itu tujuan Yesus memberikan doa contoh itu kepada kita? Tidak!

Tidak lama sebelum itu, Yesus kata, “Semasa kamu berdoa, jangan asyik mengulangi kata-kata yang sama.” (Matius 6:7) Jika Yesus tidak mahu kita menghafal dan mengulangi doa itu, apakah sebabnya dia memberikan doa itu? Dia sedang mengajar kita hal-hal penting yang harus didoakan. Mari kita kaji doa itu yang tercatat di Matius 6:9-13.

“Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan.”

Yesus sedang mengingatkan para pengikutnya bahawa mereka harus berdoa kepada Bapa Yehuwa sahaja. Tetapi mengapakah nama Yehuwa begitu penting dan harus disucikan?

Sejak awal sejarah manusia, nama Tuhan telah diburuk-burukkan. Musuh Tuhan, iaitu Syaitan, menuduh bahawa Tuhan ialah pendusta dan menahan apa yang baik daripada manusia. (Kejadian 3:1-6) Sesetengah orang membuat orang lain percaya bahawa Tuhan kejam dan keji. Ada penterjemah Bible mengeluarkan nama Tuhan daripada terjemahan mereka. Orang lain pula melarang penggunaan nama Yehuwa atau mengajar bahawa Tuhan tidak wujud.

Tapi Tuhan akan memastikan bahawa nama-Nya disucikan. (Yehezkiel 39:7) Bukan itu sahaja, Dia akan melenyapkan semua masalah yang kita hadapi hari ini. Bagaimana? Kata-kata Yesus yang berikutnya memberikan jawapannya.

“Datanglah Kerajaan-Mu.”

Banyak pemimpin agama keliru tentang apa itu Kerajaan Tuhan. Tetapi sejak dahulu lagi, pengikut Yesus sudah tahu bahawa Kerajaan ini ialah sebuah pemerintahan yang akan mengubah keadaan di bumi dan Mesias akan menjadi Raja Kerajaan ini. (Yesaya 9:6, 7; Daniel 2:44) Kerajaan ini akan menyucikan nama Yehuwa dan menghapuskan Syaitan. Kerajaan ini akan melenyapkan kebuluran, penyakit, peperangan, dan bahkan kematian. (Mazmur 46:9; 72:12-16; Yesaya 25:8; 33:24) Maka semasa anda doa, “Datanglah kerajaan-Mu,” anda sedang memohon agar janji-janji Tuhan ini ditunaikan.

“Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi seperti di syurga.”

Kata-kata ini merupakan jaminan bahawa kehendak Tuhan di bumi pasti terlaksana kerana kehendak-Nya di syurga juga telah dilaksanakan. Di syurga, Yesus telah berperang melawan Syaitan dan konco-konconya dan melemparkan mereka ke bumi. (Wahyu 12:9-12) Tiga permohonan pertama dalam doa Yesus menunjukkan bahawa kehendak Tuhan ialah perkara yang terpenting. Selain itu, kehendak Tuhan selalu membawa manfaat kepada semua ciptaan-Nya. Oleh itu, Yesus berdoa, “Biarlah kehendak-Mu yang berlaku dan bukannya kehendakku.”​—Lukas 22:42.

“Berilah kami makanan yang kami perlukan untuk hari ini.”

Tidak salah bagi kita untuk berdoa agar keperluan asas kita dipenuhi. Bible kata Yehuwalah “yang memberikan kehidupan dan nafas serta segala sesuatu kepada semua orang.” (Kisah 17:25) Dia ialah Bapa penyayang yang selalu menjaga keperluan anak-anak-Nya. Tapi Dia tidak akan menunaikan permintaan yang akan memudaratkan kita.

“Ampunkanlah dosa kami.”

Adakah kita betul-betul memerlukan pengampunan Tuhan? Ada orang tidak sedar bahawa kita dilahirkan sebagai pendosa. Dosa ialah akar kepada banyak masalah kita dan dosa telah membawa kematian. Tetapi dengan pengampunan Tuhan, kita mempunyai masa depan yang cerah. (Roma 3:23; 5:12; 6:23) Adakah Tuhan rela mengampuni dosa kita? Bible kata, “Ya Yehuwa, Engkau baik dan suka mengampuni.”​—Mazmur 86:5.

“Selamatkanlah kami daripada Si Jahat.”

Banyak orang tidak percaya bahawa Syaitan betul-betul wujud. Tapi Yesus kata bahawa dia wujud dan ialah “pemerintah dunia ini.” (Yohanes 12:31; 16:11) Syaitan sedang mempengaruhi seluruh dunia supaya manusia menjauhi Tuhan. (1 Petrus 5:8) Tetapi Yehuwa lebih berkuasa daripada Syaitan, dan Dia akan melindungi orang yang setia daripada pengaruh “Si Jahat.”

Adakah doa kita hanya boleh merangkumi hal-hal yang telah kita bincangkan? Tidak. Ayat di 1 Yohanes 5:14 kata, “Jika kita memohon apa sahaja yang selaras dengan kehendak-Nya, [Tuhan] mendengarkan kita.” Yehuwa menjemput anda untuk melemparkan segala kekhuatiran anda kepada-Nya.​—1 Petrus 5:7.

Tetapi adakah kita hanya boleh berdoa pada masa dan di tempat yang tertentu? Mari kita lihat jawapannya.