Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Taman Eden Kediaman Asal Manusia?

Adakah Taman Eden Kediaman Asal Manusia?

Adakah Taman Eden Kediaman Asal Manusia?

BAYANGKAN sebuah taman yang luas, indah, dan aman. Di sana, tiada pencemaran bunyi dan udaranya segar. Anda hidup bebas dan gembira, dan mempunyai kesihatan yang sempurna. Tiada apa-apa yang mengganggu suasana yang tenteram itu.

Semasa berjalan di taman itu, anda dapat menghayati bunga yang berwarna-warni dan sungai yang jernih. Padang luas terbentang di depan mata dan gunung-ganang menghiasi pemandangan anda. Angin sepoi bertiupan dan haruman bunga memenuhi udara. Anda memejamkan mata sambil menikmati bunyi burung berkicauan dan keriuhan bunyi serangga di sekeliling anda. Semasa membayangkan suasana ini, inginkah anda tinggal di tempat sebegini?

Banyak orang di serata dunia percaya bahawa pasangan manusia yang pertama tinggal di tempat yang digambarkan tadi. Selama ratusan tahun, penganut agama Yahudi, Kristian, dan Islam diajar bahawa Tuhan telah menempatkan Adam dan Hawa di Taman Eden. Menurut Bible, mereka hidup aman damai di sana. Mereka mempunyai hubungan yang baik dengan satu sama lain dan dengan binatang. Mereka juga ada hubungan yang rapat dengan Tuhan yang telah memberi mereka harapan kehidupan kekal di taman yang indah itu.​—Kejadian 2:15-24.

Agama Hindu juga mempunyai ajaran sendiri tentang firdaus. Penganut agama Buddha pula percaya bahawa para pemimpin mereka, yang juga dipanggil Buddha, muncul semasa keadaan dunia seperti firdaus. Beberapa agama di Afrika juga mengajar cerita yang serupa dengan kisah Adam dan Hawa.

Nampaknya, manusia daripada pelbagai latar belakang percaya tentang kewujudan firdaus. Seorang sejarawan berkata, “Banyak tamadun percaya firdaus wujud pada zaman kuno dan merupakan tempat yang sempurna, bebas, aman, makmur, dan bahagia. Tiada tekanan, masalah, atau kesusahan di sana. . . . Kepercayaan sebegini sudah sebati dengan manusia. Oleh itu, manusia mempunyai keinginan untuk memulihkan keadaan sehingga menjadi seperti firdaus.”

Mengapakah terdapat begitu banyak ajaran dan idea yang serupa tentang firdaus? Mungkinkah semua kepercayaan itu mempunyai asal usul yang sama? Mungkinkah Taman Eden, Adam, dan Hawa benar-benar pernah wujud?

Pada zaman moden ini, banyak orang tidak percaya pada ajaran firdaus dan anggapnya sebagai mitos dan legenda. Banyak pemimpin agama bahkan mengajar bahawa Taman Eden tidak pernah wujud. Mereka kata bahawa kisah itu hanyalah suatu cerita kiasan atau cerita dongeng.

Bible memang mempunyai cerita kiasan dan Yesus sendiri pun mengongsinya dengan para pengikutnya. Tetapi, kisah tentang Taman Eden bukanlah cerita semata-mata, sebaliknya merupakan kisah benar dan sejarah manusia. Memandangkan kisah ini berkaitan dengan kepercayaan kita tentang Bible, kita perlu mengetahui sama ada kisah ini benar atau tidak. Mari kita kaji mengapa sesetengah orang tidak percaya Taman Eden pernah wujud, dan sama ada alasan mereka masuk akal. Kita juga akan lihat mengapa kisah tentang Taman Eden penting bagi kita semua.