Lompat ke kandungan

Wajibkah Anda Membayar Cukai?

Wajibkah Anda Membayar Cukai?

Wajibkah Anda Membayar Cukai?

KEBANYAKAN orang tidak suka membayar cukai. Mereka fikir bahawa wang cukai selalunya dibazirkan kerana orang yang mengendalikan wang itu tidak cekap atau tidak jujur. Ada juga orang yang membantah cukai atas sebab-sebab moral. Contohnya, penduduk sebuah pekan di Timur Tengah enggan membayar cukai. Mereka berkata, “Kami tidak akan membiayai peluru yang bakal membunuh anak-anak kami.”

Pendapat sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu. Seorang pemimpin Hindu yang bernama Mohandas K. Gandhi pernah kata, “Seseorang telah berdosa jika dia menyokong negara yang pentadbirannya berasaskan kuasa tentera. Hal ini benar tidak kira sama ada dia menyokongnya secara langsung atau tidak langsung. Dengan membayar cukai dan menyumbang kepada penyelenggaraan negara itu, dia telah berdosa.”

Seorang ahli falsafah pada abad ke-19 yang bernama Henry David Thoreau juga bersependapat. Atas sebab-sebab moral, dia enggan membayar cukai yang digunakan untuk menyokong peperangan. Dia bertanya, “Patutkah rakyat menyerahkan hak untuk bertindak mengikut hati nurani sendiri kepada penggubal undang-undang? Kalau begitu, apa gunanya kita semua mempunyai hati nurani masing-masing?”

Persoalan ini berkait dengan orang Kristian, kerana Bible mengajar bahawa mereka harus mengekalkan hati nurani yang bersih dalam segala hal. (2 Timotius 1:3) Pada masa yang sama, Bible juga mengakui bahawa kerajaan berhak untuk mengutip cukai. Bible berkata, “Setiap orang harus taat kepada pihak berkuasa [kerajaan manusia], kerana semua kuasa datang daripada Tuhan. Pihak berkuasa yang ada sekarang diberi kedudukan masing-masing menurut aturan Tuhan. Maka, ada alasan yang kukuh bagi kamu untuk taat kepada pihak berkuasa, iaitu bukan sahaja kerana takut dihukum, tetapi juga kerana hati nurani kamu. Itulah sebabnya kamu juga membayar cukai, kerana mereka ialah hamba Tuhan yang sentiasa berkhidmat kepada orang ramai. Berikanlah kepada pihak berkuasa apa yang berhak diterima oleh mereka. Bayarlah cukai kepada orang yang meminta cukai, dan berikanlah ufti kepada orang yang meminta ufti. Takutlah akan orang yang harus ditakuti, dan hormatilah orang yang harus dihormati.”​—Roma 13:1, 5-7.

Walaupun wang cukai digunakan untuk menyokong aktiviti ketenteraan pada abad pertama, orang Kristian pada masa itu mematuhi perintah yang disebut dalam ayat Bible tadi, dan mereka rela membayar cukai. Saksi-Saksi Yehuwa pada zaman moden juga mengikut teladan yang sama. Bagaimanakah kita dapat menjelaskan dua perkara yang nampaknya bercanggahan ini? Adakah seseorang Kristian perlu mengabaikan hati nuraninya apabila diminta untuk membayar cukai?

Cukai dan Hati Nurani

Sebahagian daripada wang cukai yang dibayar oleh orang Kristian pada abad pertama digunakan untuk tujuan ketenteraan. Hati nurani sesetengah orang terganggu atas sebab ini, dan pada kemudian hari, individu seperti Gandhi dan Thoreau membantah cukai atas sebab yang sama.

Perhatikan bahawa orang Kristian mentaati perintah yang disebut dalam Roma bab 13 bukan kerana mereka takut dihukum, tetapi “kerana hati nurani [mereka].” (Roma 13:5) Ya, hati nurani seseorang Kristian mewajibkannya untuk membayar cukai, biarpun wang cukai itu akan digunakan untuk menyokong aktiviti yang ditolak olehnya. Walaupun dua hal ini nampaknya bercanggahan, kita dapat memahaminya dengan mengetahui satu fakta penting tentang hati nurani kita.

Hati nurani ialah suara hati yang membimbing dan membantu kita untuk membezakan apa yang betul dan salah. Seperti yang dikatakan oleh Thoreau, setiap orang memiliki hati nurani. Namun, hati nurani kita bukan selalunya dapat dipercayai. Jika kita ingin menyenangkan Tuhan, hati nurani kita mesti berdasarkan piawaian moral-Nya. Fikiran atau pandangan kita perlu diselaraskan dengan Tuhan, kerana fikiran-Nya jauh lebih unggul daripada kita. (Mazmur 19:7) Jadi, kita harus berusaha untuk memahami pandangan Tuhan terhadap kerajaan manusia. Apakah pandangan-Nya itu?

Rasul Paulus menyebut kerajaan manusia sebagai “hamba Tuhan.” (Roma 13:6) Apakah maksudnya? Kerajaan manusia mengekalkan ketertiban dan juga menyediakan perkhidmatan untuk rakyat. Bahkan kerajaan yang selalu terlibat dalam rasuah masih menyediakan perkhidmatan seperti penghantaran pos, pendidikan awam, perkhidmatan bomba, dan penguatkuasaan undang-undang. Walaupun Tuhan sedar sepenuhnya kelemahan kerajaan manusia, Tuhan masih membenarkan mereka untuk memerintah buat suatu jangka waktu, dan menghendaki kita untuk membayar cukai. Dengan berbuat demikian, kita menunjukkan bahawa kita menghormati aturan Tuhan.

Tuhan tidak akan membenarkan kerajaan manusia untuk memerintah selama-lamanya. Tuhan janji bahawa semua kerajaan di bumi akan digantikan oleh Kerajaan-Nya di syurga, dan semua kesan buruk yang disebabkan oleh pemerintahan manusia sejak berabad-abad dahulu akan dihapuskan. (Daniel 2:44; Matius 6:10) Tetapi sebelum hal itu berlaku, Tuhan tidak mahu orang Kristian melawan kerajaan manusia. Umat Tuhan tidak seharusnya mengelak daripada membayar cukai atau memberontak melalui cara-cara lain.

Namun anda mungkin bersependapat dengan Gandhi, dan fikir bahawa pembayaran cukai yang digunakan untuk menyokong peperangan merupakan dosa. Jika begitu, fikirkan tentang hal ini: Sepertimana pandangan kita menjadi lebih luas apabila kita berada di tempat yang lebih tinggi, kita juga ingin menyelaraskan fikiran kita dengan fikiran Tuhan yang jauh lebih tinggi, supaya kita memperoleh pandangan yang sama seperti Tuhan. Tuhan berfirman melalui Nabi Yesaya, “Setinggi langit dari bumi, setinggi itulah jalan-Ku daripada jalan kamu dan fikiran-Ku daripada fikiran kamu.”​—Yesaya 55:8, 9.

Kuasa yang Mutlak?

Menurut Bible, membayar cukai tidak bermaksud bahawa kerajaan manusia mempunyai kuasa mutlak. Sebaliknya, Yesus mengajar bahawa Tuhan hanya memberi kerajaan manusia kuasa yang terbatas. Semasa ditanya sama ada rakyat patut membayar cukai kepada kerajaan Roma pada masa itu, Yesus menjawab, “Berikanlah milik Kaisar kepada Kaisar, tetapi berikanlah milik Tuhan kepada Tuhan.”​—Markus 12:13-17.

Dalam ayat ini, “Kaisar” mewakili kerajaan manusia. Memandangkan mereka mencetak dan menetapkan nilai wang, mereka memang berhak untuk menuntut cukai daripada rakyat. Tetapi pada masa yang sama, Yesus menunjukkan bahawa manusia tidak berkuasa atas “milik Tuhan,” seperti kehidupan dan ibadat kita. Apabila undang-undang manusia bercanggah dengan perintah Tuhan, orang Kristian “mesti patuh kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia.”​—Kisah 5:29.

Walaupun seorang Kristian tidak bersetuju dengan cara kerajaan menggunakan wang cukai, dia tidak akan memberontak atau enggan membayar cukai. Perbuatan sebegini sebenarnya melanggar aturan Tuhan. Ingatlah, Yesus pernah kata, “Kerajaanku bukan sebahagian daripada dunia ini.” (Yohanes 18:36) Maka, umat Tuhan akan menunggu dengan sabar sehingga masanya Kerajaan Tuhan bertindak.

Manfaat Mengikut Ajaran Bible

Terdapat beberapa manfaat jika anda mengikut ajaran Bible tentang membayar cukai. Anda tidak perlu takut hukuman yang dikenakan atas orang yang cuba mengelak daripada membayar cukai. (Roma 13:3-5) Hati nurani anda juga akan tetap bersih dan anda memuliakan Tuhan kerana menghormati undang-undang kerajaan. Biarpun anda kehilangan sebahagian daripada pendapatan anda kerana perlu membayar cukai, anda dapat yakin bahawa Yehuwa akan menjaga penyembah-Nya yang setia. Raja Daud berkata, “Dahulu aku muda dan sekarang aku sudah tua, tetapi aku tidak pernah melihat orang yang berbuat benar ditinggalkan Tuhan, ataupun anak-anak mereka meminta-minta makanan.”​—Mazmur 37:25.

Selain itu, dengan mengikut nasihat Bible, anda dapat menikmati ketenangan minda. Perhatikan contoh Stelvio dari bahagian selatan Eropah. Selama bertahun-tahun, dia menginginkan perubahan politik agar keadaan menjadi lebih baik. Tetapi selepas mempelajari Bible, dia berkata, “Saya mula menerima hakikat bahawa manusia tidak dapat membawa keadilan, keamanan, dan perpaduan sejati. Hanya Kerajaan Tuhan yang dapat melakukannya.” Bagaimana pula jika hati nurani anda masih terganggu kerana kerajaan menggunakan wang cukai untuk membiayai kegiatan yang salah? Fikirkan contoh ini: Adakah anda bertanggungjawab atas cara pemilik rumah menggunakan sewa yang anda bayar? Pasti tidak. Maka, yakinlah bahawa anda juga tidak bertanggungjawab atas cara kerajaan menggunakan cukai anda.

Seperti Stelvio, jika anda memberi “milik Tuhan kepada Tuhan,” anda juga berpeluang melihat masanya Tuhan menunaikan janji-Nya dan membawa keamanan dan keadilan di bumi.

[Petikan pada muka surat 22]

Kita harus menyelaraskan pandangan sendiri dengan pandangan Tuhan kerana fikiran-Nya jauh lebih unggul

[Petikan pada muka surat 23]

Orang Kristian yang membayar cukai mempunyai hati nurani yang bersih dan yakin bahawa Tuhan akan menjaga keperluan mereka

[Gambar pada muka surat 22]

Berikanlah milik Kaisar kepada Kaisar, tetapi berikanlah milik Tuhan kepada Tuhan”

[Sumber]

Copyright British Museum