BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN
Kerja Penyelenggaraan Dewan Perjumpaan
1 APRIL 2024
“Saya sangat suka Dewan Perjumpaan saya!” kata Nicole, seorang saudari muda di Colombia. “Di sinilah saya boleh kumpul bersama-sama keluarga rohani saya.” Adakah anda juga ada perasaan yang sama seperti Nicole?
Di serata dunia, terdapat kira-kira 63,000 Dewan Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Selain digunakan sebagai tempat ibadat, Dewan Perjumpaan juga memainkan satu lagi peranan yang penting. David, seorang perintis biasa di Colombia, berkata, “Dewan Perjumpaan kita menghiasi ajaran kita. Para pelawat sering kagum kerana tempat ibadat kita dijaga dengan baik sekali.” Sudah pasti ini merupakan hasil usaha saudara saudari yang bekerja keras untuk membersihkan dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan. Bagaimanakah kerja ini diaturkan?
Bagaimanakah Kerja Penyelenggaraan Diaturkan?
Sidang-sidang yang menggunakan sebuah Dewan Perjumpaan bertanggungjawab untuk menyelenggarakannya. Salah satu cara untuk menjaga bangunan ibadat kita adalah dengan melakukan kerja pembersihan secara tetap. Saudara saudari juga membuat sesetengah kerja pembaikan dan penyelenggaraan.
Untuk membantu sidang tempatan menjaga Dewan Perjumpaan mereka, Bahagian Rekaan dan Pembinaan Tempatan (LDC) melantik beberapa saudara sebagai pelatih penyelenggaraan. Setiap pelatih penyelenggaraan menyelia 6-10 Dewan Perjumpaan. Dia mengunjungi Dewan Perjumpaan itu dan melatih para penyiar dalam sidang untuk menjaga dewan mereka. Setiap tiga tahun, pelatih tersebut akan menilai keadaan bangunan dan mengenal pasti isu-isu berkenaan keselamatan atau penyelenggaraan.
Para penyiar amat menghargai latihan penyelenggaraan yang diberikan. Saudari Indhumathi dari India berkata, “Sesi latihan itu sangat baik. Saya belajar banyak tentang cara menjaga dewan kami.” Evans, seorang saudara dari Kenya, berkata, “Oleh sebab kami mengurus masalah yang kecil sebelum menjadi lebih serius, ini membantu kami menjimatkan banyak wang untuk membaikinya.”
Bagaimanakah Perbelanjaan untuk Kerja Penyelenggaraan Dibiayai?
Setiap tahun, jumlah wang untuk menggunakan dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan adalah sekitar ratusan hingga ribuan dolar, a bergantung pada lokasi dewan, usia bangunan, dan jumlah sidang yang menggunakan tempat itu. Bagaimanakah perbelanjaan itu dibiayai?
Kerja penyelenggaraan Dewan Perjumpaan dibiayai melalui sumbangan sukarela. Seorang saudara di Kazakhstan yang bernama Alexander menjelaskan, “Sebahagian daripada wang sumbangan digunakan untuk membayar bil Internet, air, dan elektrik. Sebahagian lagi adalah untuk barang keperluan seperti kertas tisu, sarung tangan, alat pembersihan, dan cat.” Lebihan wang sumbangan akan disalurkan kepada kerja sedunia untuk digunakan dalam projek penyelenggaraan yang lebih besar atau mahal di tempat lain.
Projek Penyelenggaraan yang Lebih Besar
Jika kos penyelenggaraan Dewan Perjumpaan melebihi jumlah perbelanjaan untuk pengendalian Dewan Perjumpaan selama dua atau tiga bulan, para penatua harus berbincang dengan pelatih penyelenggaraan LDC. Jika projek itu diluluskan oleh LDC, perbelanjaan tersebut biasanya akan ditanggung oleh wang sumbangan kerja sedunia. Pada tahun aktiviti penyebaran 2023, terdapat 8,793 projek sedemikian yang telah dijalankan. Jumlah perbelanjaan bagi semua projek itu ialah $76.6 juta. Perhatikan dua contoh projek yang berikut.
Di Angola, sebuah Dewan Perjumpaan yang sudah digunakan untuk 15 tahun mempunyai beberapa masalah. Sistem elektriknya perlu digantikan, dindingnya retak, dan terdapat masalah kebocoran air yang telah menjejaskan rumah-rumah jiran. Maka, LDC telah membuat aturan untuk menyelesaikan isu-isu tersebut. Sejumlah $9,285 telah digunakan untuk projek tersebut. Jiran-jiran sangat berterima kasih dan kagum dengan kualiti serta cara kerja pembaikan dilakukan.
Di Poland, sebuah Dewan Perjumpaan mengalami beberapa kerosakan. Bumbung bangunan itu bocor dan karpet dalam dewan rosak teruk. LDC telah meluluskan projek untuk menggantikan karpet dan membaiki bumbung supaya kalis air. Seluruh projek itu telah memakan sebanyak $9,757. Oleh sebab kerja penyelenggaraan ini telah dibuat, kerja pengubahsuaian yang besar tidak perlu dibuat untuk Dewan Perjumpaan ini dalam tahun-tahun terdekat.
Kerja Penyelenggaraan Memuliakan Yehuwa
Kerja penyelenggaraan bukan hanya dapat membantu organisasi kita menggunakan wang sumbangan dengan cermat, tetapi juga memuliakan Yehuwa. Saudara Shaun di Tonga berkata, “Kerja penyelenggaraan membolehkan saudara saudari menyembah Yehuwa di tempat yang bersih, teratur, dan yang dijaga dengan baik. Dewan Perjumpaan mengharumkan nama Yehuwa dalam kalangan masyarakat setempat. Kami sangat berbesar hati dapat menjemput orang untuk datang ke Dewan Perjumpaan.”
Bagaimanakah Anda Dapat Menghulurkan Bantuan?
Kita semua dapat membantu dalam kerja pembersihan dan penyelenggaraan Dewan Perjumpaan. Saudara Marino, yang berkhidmat sebagai pelatih penyelenggaraan di Australia, kata, “Kita semua boleh mengambil bahagian untuk menjaga Dewan Perjumpaan kita. Sokongan kita dapat membantu menjimatkan wang sumbangan supaya wang itu dapat disalurkan untuk kerja-kerja yang lebih mendesak.”
Saudara Joel dari India meluahkan penghargaannya atas peluang untuk melakukan kerja penyelenggaraan di Dewan Perjumpaannya. Dia kata, “Apabila saya berganding bahu bersama rakan seiman saya untuk membuat kerja ini, ini bantu saya membayangkan kerja-kerja yang akan kita lakukan di dunia baharu.” Nicole, yang disebut di awal rencana, berkata, “Baru-baru ini, saya bantu mop lantai semasa saudara-saudara membaiki kebocoran di bilik air. Walaupun bukan saya yang membaiki kerosakan itu, kerja yang saya lakukan telah bantu menghindari kemalangan.”
Jika anda ingin membantu dalam kerja penyelenggaraan Dewan Perjumpaan anda, maklumkanlah para penatua sidang anda. Selain itu, wang sumbangan yang diberikan bukan hanya membantu menyelenggara Dewan Perjumpaan sidang anda, tetapi juga Dewan Perjumpaan lain di seluruh dunia. Sumbangan ini dapat dibuat menerusi peti sumbangan di Dewan Perjumpaan tempatan atau melalui donate.dan124.com. Terima kasih atas kemurahan hati anda.
a Nilai dolar dalam rencana ini merujuk kepada dolar Amerika.