Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kiri: Para sukarelawan di Chile bantu membina semula sebuah rumah rakan seiman mereka selepas kejadian kebakaran liar. Kanan: Dua saudari di Nigeria menerima bekalan bantuan bencana selepas kawasan mereka dilanda banjir yang teruk

BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN

Membantu Mangsa Bencana pada Tahun 2023—“Kita Dapat Lihat Yehuwa Menunjukkan Kasih-Nya”

Membantu Mangsa Bencana pada Tahun 2023—“Kita Dapat Lihat Yehuwa Menunjukkan Kasih-Nya”

26 JANUARI 2024

 Bible menubuatkan bahawa “satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain” dan bencana alam akan berlaku di merata tempat pada “penghujung sistem ini.” (Matius 24:3, 7) Kita telah lihat nubuat ini menjadi kenyataan semasa tahun aktiviti penyebaran 2023 a di mana hampir 100 kawasan mengalami perang dan bencana alam. Namun, Saksi-Saksi Yehuwa telah mencerminkan kasih Yehuwa sepanjang masa yang mencabar itu. Bagaimana?

 Pada tahun aktiviti penyebaran 2023, rakan seiman kita telah dilanda lebih daripada 200 bencana alam dan bencana yang disebabkan manusia. Organisasi kita telah membelanjakan lebih daripada 10 juta dolar b daripada wang sumbangan untuk kerja sedunia bagi kerja bantuan bencana. Jumlah ini tidak termasuk wang yang dibelanjakan oleh saudara saudari untuk menyokong secara peribadi. Mari kita lihat bagaimana sumbangan anda digunakan untuk membantu mereka yang terkesan oleh dua bencana berikut.

“Kasih Sejati Benar-Benar Wujud”

 Di Nigeria, beberapa kawasan sering dilanda banjir. Tetapi pada Oktober 2022, banjir paling teruk dalam 10 tahun ini telah menimpa negara itu. Lebih daripada 676,000 hektar (1,670,432 ekar) kawasan ladang telah musnah dan lebih daripada dua juta orang terpaksa berpindah. Cawangan Nigeria segera menubuhkan beberapa Jawatankuasa Bantuan Bencana untuk mengaturkan kerja bantuan bencana dan memberikan sokongan rohani.

Para saudara di Nigeria menggunakan jalan yang dibanjiri lumpur dan merentasi sungai untuk menghantar bekalan bantuan bencana

Kesan terhadap Saudara Saudari

  •   7,505 penyiar terpaksa berpindah

  •   860 rumah mengalami kerosakan atau musnah

  •   90 Dewan Perjumpaan dan satu Dewan Perhimpunan ditenggelami air

Cara Wang Sumbangan Digunakan

 Lebih daripada $250,000 digunakan untuk kerja bantuan bencana, contohnya:

  •   Menyediakan bekalan makanan seperti beras, kacang, dan mi

  •   Mendapatkan barang keperluan rumah seperti tilam dan kelambu

  •   Membaiki dan membina semula rumah yang rosak atau musnah

 Bagaimanakah para saudara memastikan wang sumbangan digunakan dengan cermat? Salah satu cara adalah dengan menilai tahap kerosakan bangunan dan menentukan sama ada dapat dibaiki atau tidak. Jika bangunan itu perlu dibina semula, rekaan ringkas yang sesuai dengan kawasan tempatan akan digunakan.

 Saudara saudari kita sangat bersyukur atas bantuan yang diberikan. Seorang saudari kata, “Segalanya dalam keadaan kucar-kacir disebabkan banjir itu. Ladang dan rumah kami juga musnah. Tapi saudara saudari datang pada hari bencana itu melanda untuk bantu kami. Mereka juga sediakan tempat tinggal yang selamat untuk kami. Kami berasa lega apabila kami menerima bantuan makanan yang dihantar daripada pejabat cawangan. Hati kami tersentuh kerana dapat lihat kata-kata di Yohanes 13:34, 35 menjadi kenyataan dalam hidup kami. . . . Kasih sejati benar-benar wujud. Saya dan keluarga sangat bersyukur dan ingin ucapkan terima kasih banyak kepada saudara saudari yang datang untuk bantu kami tepat pada masanya.”

 Orang lain dalam komuniti juga memerhatikan kerja bantuan bencana yang dilakukan oleh para Saksi. Seorang ketua komuniti di Sabagreia, Negeri Bayelsa, berkata, “Terdapat banyak organisasi atau gereja, tapi hanya Saksi-Saksi Yehuwa yang menghulurkan bantuan sebegini. . . . Organisasi [kamu] ialah salah satu organisasi yang terbaik di seluruh dunia.”

“Kita Dapat Lihat Yehuwa Menunjukkan Kasih-Nya”

 Pada Februari 2023, lebih daripada 400 kebakaran liar telah menyebabkan kerosakan yang teruk di Chile. Terdapat lebih daripada 430,000 hektar (1,062,553 ekar) tanah, termasuk infrastruktur awam, yang telah musnah. Kira-kira 8,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka. Tidak lama selepas bencana ini berlaku, pejabat cawangan mula mengaturkan kerja bantuan bencana.

Di Chile, para sukarelawan membina semula rumah yang telah musnah bagi sebuah keluarga

Kesan terhadap Saudara Saudari

  •   222 penyiar terpaksa meninggalkan rumah mereka

  •   20 rumah musnah

Cara Wang Sumbangan Digunakan

 Lebih daripada $200,000 digunakan untuk kerja bantuan bencana, contohnya:

  •   Menyediakan bekalan makanan dan air

  •   Mendapatkan bahan api, alat pembersihan, dan ubat

  •   Membina semula rumah yang musnah

 Sebuah keluarga tidak sangka semua yang mereka miliki tiba-tiba musnah dijilat api, termasuk rumah dan perniagaan mereka. Akibatnya, mereka tidak dapat mencari nafkah hidup. Selama beberapa hari yang berikutnya, mereka masih sangat terkejut dan sedih semasa melihat kawasan tanah mereka yang kosong dan tiada rumah. Tapi seraya kerja pembinaan rumah mereka berlangsung, mereka mula berasa lebih lega. Kasih sayang saudara saudari yang menghulurkan bantuan telah menguatkan mereka. Keluarga itu sangat tersentuh dengan pengalaman ini. Ini mendorong mereka untuk menyertai para sukarelawan itu dan membantu seorang lagi saudara untuk membina rumahnya.

 Ramai saudara saudari kita sangat kagum dengan kerja bantuan bencana yang dilakukan oleh organisasi kita. Seorang saudara kata, “Aturan Jawatankuasa Bantuan Bencana ialah kurniaan daripada Yehuwa yang sangat menakjubkan. Sehari selepas bencana itu berlaku, saudara saudari yang terjejas telah menerima bantuan praktikal dan barang keperluan asas. Memang sangat menggalakkan untuk baca tentang kerja bantuan bencana di seluas dunia. Tapi apabila anda mengalaminya sendiri, hal itu sangat berbeza. Anda lebih menghargai organisasi kita dan cara saudara saudari meniru sifat-sifat Yehuwa. Mereka sangat prihatin dan ingin menjaga keperluan jasmani, rohani, dan emosi kita. Sememangnya, kita dapat lihat Yehuwa menunjukkan kasih-Nya.”

 Seraya penghujung sistem dunia ini semakin mendekat, kita akan melihat lebih banyak kejadian bencana yang berlaku. (Lukas 21:10, 11) Namun, Raja kita yang pengasih, iaitu Yesus Kristus, akan terus menjaga kita melalui sidang Kristian. Ini membuktikan bahawa dia sentiasa menyertai kita “sehingga penghujung sistem ini.” (Matius 28:20) Sumbangan anda kepada kerja sedunia melalui donate.dan124.com dan cara lain amat dihargai. Selain itu, anda juga terus mencurahkan masa dan tenaga untuk menyokong Raja Yesus dan Kerajaan Tuhan. Terima kasih atas kemurahan hati anda.

a Tahun aktiviti penyebaran 2023 bermula pada 1 September 2022 sehingga 31 Ogos 2023.

b Nilai dolar dalam rencana ini merujuk kepada dolar Amerika.