Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN

Rak Mudah Alih Memberikan “Kesaksian kepada Semua Bangsa”

Rak Mudah Alih Memberikan “Kesaksian kepada Semua Bangsa”

1 APRIL 2023

 Sudah lebih daripada 10 tahun sejak rak mudah alih digunakan secara meluas dalam aktiviti penyebaran kita. Rekaannya bukan sekadar praktikal, tetapi juga unik dan dapat menarik perhatian orang. Bahkan dari jauh pun orang tahu bahawa itu merupakan rak para Saksi. Barangkali anda juga setuju dengan kata-kata Saudari Asenata dari Poland. Dia jelaskan, “Rak ini cantik, kemas, sangat senang digunakan, dan boleh dibawa ke mana-mana.”

 Pernahkah anda terfikir, “Bagaimanakah rak mudah alih direka dan dihasilkan?”

Rekaan yang Menarik dan Praktikal

 Pada 2001, Badan Pimpinan telah memberikan keizinan kepada saudara saudari di Perancis untuk mencuba beberapa kaedah kesaksian awam. Salah satunya merupakan penggunaan rak mudah alih. Pada mulanya, mereka telah menggunakan rak yang dibuat sendiri daripada bagasi atau troli beli-belah. Mereka akan menggunakannya untuk menyimpan dan memaparkan bahan bacaan. Setelah mencuba beberapa rekaan, pejabat cawangan Perancis telah memilih rak yang paling sesuai. Rak itu telah digunakan dalam aktiviti kesaksian awam selama beberapa tahun.

Rak bahan bacaan dahulu, Perancis, 2005

 Hasil yang diraih di Perancis amat memberangsangkan! Maka pada 2011, Badan Pimpinan meluluskan program kesaksian awam di Bandar Raya New York, A.S., dengan menggunakan rak dan meja. Para perintis yang menyertai program ini telah memberikan maklum balas mereka, dan ramai setuju bahawa rak lebih fleksibel dan mudah untuk digunakan. Selain itu, mereka memberikan beberapa cadangan untuk memperbaiki rekaan rak. Contohnya, pada mulanya, rak itu diperbuat daripada kayu. Jadi rak itu berat dan susah dibawa, terutamanya untuk naik turun tangga. Pada masa yang sama, rak juga tidak boleh terlalu ringan sehingga jatuh apabila ditiup angin. Akhirnya, rak yang lebih mantap dan ringan telah dihasilkan. Antara ciri-ciri baharunya ialah roda yang lebih besar dan dapat menyerap hentakan, serta kotak kecil untuk menyimpan stok bahan bacaan.

 Program kesaksian awam di Amerika Syarikat telah membuahkan hasil yang baik. Rekaan rak yang baharu juga memang sesuai dan sangat bagus. Maka pada 2012, Badan Pimpinan meluluskan penggunaan rak mudah alih di serata dunia. Aturan juga dibuat dengan sebuah kilang untuk menghasilkan rak ini dalam kuantiti yang besar dengan menggunakan bahan yang ringan dan tahan lasak.

 Seraya masa berlalu, beberapa ciri lain telah ditambahkan. Contohnya pada 2015, pelindung plastik lut sinar telah direka untuk menutup rak. Saudari Dina dari Georgia sangat suka ciri baharu ini. Dia kata, “Rak kita boleh pakai ‘baju hujan’ supaya majalah dan buku-buku tidak rosak.” Pada 2017, poster magnetik juga disediakan dalam beberapa bahasa. Saudara Tomasz dari Poland kata, “Poster pelekat susah untuk digunakan. Tapi poster magnetik memang rekaan yang sungguh baik!” Pada 2019, beberapa penyesuaian juga dibuat untuk menjadikan rak mudah alih lebih tahan lama.

Penghasilan Rak Mudah Alih

 Rak mudah alih dihasilkan di sebuah kilang, dan dihantar ke sidang-sidang di seluruh dunia. Kini, sebuah rak berharga 43 dolar Amerika (tidak termasuk kos penghantaran dan kos lain). Setakat ini, lebih daripada 16 juta dolar telah dibelanjakan, dan lebih daripada 420,000 buah rak telah dihantar ke sidang di serata dunia.

 Untuk memastikan wang sumbangan digunakan dengan cermat, rak mudah alih biasanya dipesan dalam kuantiti yang besar. Selain itu, sidang boleh memesan alat ganti untuk membaiki bahagian rak yang rosak dan terus menggunakannya.

Menggunakan Rak Mudah Alih untuk Memberikan Kesaksian

 Saudara saudari di seluas dunia amat menikmati kerja menginjil dengan menggunakan rak. Martina dari Ghana berkata, “Biasanya semasa menginjil, kita yang perlu menghampiri orang lain dulu. Tapi, apabila menginjil dengan rak, orang lain yang akan menghampiri kita. Itulah yang saya suka tentang kaedah menginjil ini. Rak kita juga seolah-olah memberikan kesaksian kepada orang yang lalu-lalang.”

 Di sebuah negara Afrika, seorang lelaki menghampiri rak untuk mengambil bahan bacaan dalam bahasanya. Seminggu kemudian, dia kembali lagi. Dia kata, “Saya baca setiap bahan bacaan kamu. Maklumatnya sangat penting, dan saya mahu kongsinya dengan keluarga saya yang tinggal di kampung.” Kampung yang dimaksudkannya itu terletak kira-kira 500 kilometer dari situ. Dua bulan kemudian, lelaki itu kembali lagi ke rak dan berkata, “Orang di kampung saya sudah baca semua bahan bacaan itu, dan mereka pun sangat sukanya. Mereka mahu jadi Saksi-Saksi Yehuwa. Tapi mereka ada banyak soalan mahu tanya. Contohnya, mereka tahu seseorang harus dibenamkan sepenuhnya ke dalam air semasa dibaptis. Tapi, kampung kami tiada sungai. Jadi, macam mana jika kami mahu dibaptis? Adakah kami perlu datang ke sini?” Para penyiar yang bercakap dengan lelaki itu menghubungi seorang perintis yang menuturkan bahasanya. Sejak itu, mereka telah mengadakan perbincangan Bible secara tetap.

 Kita sangat teruja semasa melihat rak mudah alih digunakan untuk memberikan “kesaksian kepada semua bangsa.” (Matius 24:14) Bagaimanakah kos untuk menghasilkan rak dibiayai? Melalui sumbangan kepada kerja sedunia yang dapat dibuat di laman donate.dan124.com. Terima kasih atas kemurahan hati anda.