Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KHAZANAH ROHANI KITA

Mereka Tetap Kuat Secara Rohani pada Masa yang Susah

Mereka Tetap Kuat Secara Rohani pada Masa yang Susah

 Selepas Perang Dunia Kedua, hampir seluruh Eropah berada dalam keadaan yang teruk. Saksi-Saksi Yehuwa dan banyak orang lain telah dibebaskan daripada kem konsentrasi Nazi. Hal itu memang baik, tetapi hidup mereka masih susah. Seperti kebanyakan penduduk Eropah, umat Yehuwa kekurangan makanan, pakaian, tempat tinggal, dan barang keperluan asas. Saudari Karin Hartung berkata, “Tempat yang boleh didiami sedikit sahaja. Jadi semua orang perlu tinggal bersama saudara-mara atau menyewakan bilik apartmen mereka kepada orang lain.” Buat suatu jangka masa, Saudari Gertrud Poetzinger, yang pernah dikurung dalam kem konsentrasi selama tujuh tahun setengah, terpaksa tinggal di stor peralatan dan tidur di atas kerusi. a

 Apakah yang dilakukan oleh organisasi Yehuwa untuk menjaga keperluan fizikal saudara saudari selepas perang? Apakah yang dapat kita pelajari daripada mereka yang hidup pada zaman selepas perang?

Menjaga Keperluan Fizikal Saudara Saudari

 Organisasi Yehuwa bertindak dengan cepat untuk menghulurkan bantuan kepada umat Yehuwa di Eropah. Nathan Knorr dan Milton Henschel dari ibu pejabat sedunia melawat para Saksi untuk mengenal pasti keperluan mereka. Pada bulan November dan Disember tahun 1945, mereka melawat England, Switzerland, Perancis, Belgium, Belanda, Denmark, Sweden, Finland, dan Norway. Saudara Knorr berkata, “Itulah kali pertama kami nampak betapa teruknya kesan perang ke atas Eropah.”

Nathan Knorr memberikan ceramah kepada para Saksi di Helsinki, Finland, 21 Disember 1945

 Saudara Knorr tidak dibenarkan masuk ke Jerman pada masa itu. Namun, Erich Frost, penyelia pejabat cawangan di Jerman, telah keluar dari Jerman untuk berjumpa dengannya. b Erich berkata, “Saudara Knorr memberi kami nasihat yang praktikal dan berjanji untuk memberi kami bantuan seperti makanan dan pakaian. Tidak lama selepas itu, banyak bekalan tepung, minyak, oat, dan makanan lain tiba di Jerman. Saudara saudari di negara lain juga menghantar banyak kotak yang berisi sut, pakaian dalam, dan kasut.” Saudara saudari yang menerima bantuan ini sangat bersyukur sehingga menitiskan air mata. Selain itu, ada laporan yang menyatakan bahawa “bantuan ini tidak diberikan sekali sahaja, tetapi berterusan selama dua tahun setengah!” c

Para Saksi di Amerika Syarikat mengasingkan pakaian untuk dihantar ke Eropah

Mereka Terus Bertumpu kepada Hal-Hal Rohani

 Biarpun keadaan hidup saudara saudari bertambah baik, mereka tetap bertumpu kepada hal-hal rohani. Apakah yang membantu mereka?

Jürgen Rundel (depan, kiri) pada tahun 1954 bersama saudara-saudara dari Sidang Spittal an der Drau di Austria

 Mereka mengekalkan rutin rohani yang baik. (Efesus 5:15, 16) Semasa perang, rutin rohani para Saksi tergendala, dan bahan bacaan Bible pun terhad. Tetapi selepas perang, para Saksi menghadiri perjumpaan dan keluar menginjil seperti biasa. Jürgen Rundel, yang tinggal di Austria, berkata, “Rencana dalam Informant d dan para penyelia lawatan menggalakkan kami untuk mempunyai rutin rohani yang baik.” Dia menambah, “Kami bertumpu kepada Yehuwa, Yesus, pembelajaran Bible peribadi, dan kerja menginjil. Kami tiada apa-apa yang dapat mengalihkan perhatian kami, seperti televisyen.”

 Saudari Ulrike Krolop berkata, “Saya teringat betapa gembiranya saya semasa mempelajari topik rohani yang mendalam. Suami saya menetapkan teladan yang baik. Sebaik sahaja kami menerima majalah Menara Pengawal yang baru, dia akan berhenti melakukan hal-hal yang lain dan terus mengkajinya.” Karin, yang disebut tadi, berkata, “Semasa perang, kami dapat lihat betapa cepatnya harta benda kami lesap. Tetapi makanan rohani pula terus disalurkan biarpun terhad. Yehuwa memang memberkati hamba-Nya yang setia.”

Ulrike Krolop

 Mereka menginjil semula. (Matius 28:19, 20) Semasa perang, umat Yehuwa tidak dapat menginjil dan mengajar orang dengan bebas. Saudara Friedhelm berkata bahawa selepas perang berakhir, “semua orang segera menginjil.” Ulrike berkata, “Saksi pertama yang kongsi berita baik dengan keluarga suami saya masih pakai pakaian seragam dari kem konsentrasi! Dia mula menginjil sebaik sahaja dia dibebaskan.” Jürgen pula berkata, “Selepas perang tamat, hampir semua orang menginjil dengan bersemangat. Ramai saudara saudari muda menyertai khidmat sepenuh masa.”

 “Keadaan hidup di kota-kota yang dibom sangat teruk,” kata Ulrike. Banyak orang tinggal di bangunan yang runtuh! Bagaimanakah para Saksi mencari mereka? Ulrike, yang keluarganya masuk kebenaran selepas perang, berkata, “Kami pergi ke tempat yang ada cahaya pelita atau asap daripada tempat memasak.”

 Mereka menggalakkan satu sama lain. (1 Tesalonika 5:11) Biarpun Saksi-Saksi Yehuwa dilayan dengan teruk semasa perang, mereka tidak bertumpu kepada penderitaan mereka selepas perang berakhir. Sebaliknya mereka menggalakkan satu sama lain. Hasilnya, “mutu iman [mereka] yang telah diuji” membawa sukacita yang besar. (Yakobus 1:2, 3) Johannes, yang kini tinggal di Amerika Syarikat, berkata, “Penyelia litar kami pernah dikurung di kem konsentrasi. Dia mengongsi banyak pengalaman yang menggalakkan tentang bagaimana Yehuwa telah membantu umat-Nya. Setelah mendengar hal itu, iman kami dikuatkan.”

 Selepas perang berakhir, saudara saudari terus menjaga hubungan yang rapat dengan Yehuwa dengan mengingat kembali bagaimana “Dia membantu mereka semasa di kem dan menjawab doa mereka,” kata Johannes. Setelah dibebaskan, para Saksi juga mengekalkan rutin rohani yang baik, seperti membaca Bible, menghadiri perjumpaan, dan menginjil, secara tetap. Elisabeth, yang menghadiri konvensyen di Nuremberg pada tahun 1946, berkata bahawa saudara saudari yang dibebaskan “masih kurus kering dan kelihatan lemah. Tetapi mereka cukup bersemangat semasa menceritakan pengalaman mereka.”—Roma 12:11.

Karin Hartung

 Mereka mengekalkan hubungan yang rapat dengan rakan seiman. (Roma 1:11, 12) Semasa perang, para Saksi tidak dapat bergaul secara bebas dengan satu sama lain kerana mereka menghadapi penganiayaan yang teruk. Karin berkata, “Para Saksi jarang melawat satu sama lain agar tidak membahayakan nyawa rakan seiman.” Sudah tentu hal itu berubah semasa perang berakhir. Friedhelm berkata, “Saudara saudari melakukan segala sesuatu bersama-sama. Perjumpaan dan kerja menginjil sentiasa keutamaan mereka.”

 Selepas perang, “tidak banyak Saksi mempunyai kenderaan,” kata Dietrich, seorang penatua di Jerman. “Jadi kami berjalan ke perjumpaan secara berkumpulan. Oleh sebab kami sering meluangkan masa bersama-sama, hubungan kami menjadi sangat rapat, seperti ahli keluarga.”

Pengajaran bagi Kita

 Hari ini, banyak hamba Yehuwa menderita akibat bencana alam, wabak penyakit, perang, dan kos hidup yang melambung tinggi. (2 Timotius 3:1) Namun, kita tidak perlu terlalu risau. Mengapa? Teladan saudara saudari kita di Jerman pada zaman Nazi meyakinkan kita bahawa Tuhan kita akan terus menyokong kita pada hari-hari terakhir. Jadi, semoga kita memiliki sikap seperti Rasul Paulus, yang menulis, “Dengan penuh keberanian kita dapat berkata, ‘Yehuwa ialah penolongku; aku tidak akan berasa takut. Apakah yang dapat dilakukan manusia terhadapku?’”—Ibrani 13:6.

a Baca kisah hidup Saudari Poetzinger dalam rencana yang bertajuk, Putting the Kingdom First in Postwar Germany dalam bahasa Inggeris.

b Baca kisah hidup Saudara Frost dalam rencana yang bertajuk, Deliverance From Totalitarian Inquisition Through Faith in God dalam bahasa Inggeris.

c Untuk maklumat lanjut tentang bantuan bencana yang dihulurkan selepas Perang Dunia Kedua, lihat rencana “Mereka Memberikan yang Terbaik,” dan juga kotak pada muka surat 239, 246, dan 247 dalam buku Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!

d Sidang-sidang kini menggunakan Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita—Lembaran Kerja.