KHAZANAH ROHANI KITA
Mengajar Orang di Serata Dunia untuk Membaca dan Menulis
“Saya membesar di sebuah ladang yang terletak di kawasan luar bandar,” kata Agostinho, yang tinggal di Brazil. “Kami sangat miskin. Saya terpaksa berhenti sekolah untuk bekerja demi memenuhi keperluan keluarga.” Agostinho hanya dapat membaca dan menulis apabila dia berumur 33 tahun. Dia berkata, “Saya mempunyai lebih keyakinan diri setelah saya belajar untuk membaca dan menulis.”
Sepanjang 70 tahun yang lalu, Saksi-Saksi Yehuwa telah mengajar lebih daripada 250 ribu orang untuk membaca dan menulis, dan Agostinho merupakan salah seorang daripadanya. Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa mengadakan kelas sebegini? Apakah manfaat yang dapat diraih oleh mereka yang menerima pendidikan ini?
Orang yang Buta Huruf Menghadapi Cabaran untuk Belajar
Pada pertengahan 1930-an, Saksi-Saksi Yehuwa telah menjalankan aktiviti penyebaran di 115 buah negara. Untuk mencapai orang yang bertutur dalam pelbagai bahasa, para mubaligh memainkan rakaman audio ceramah Bible yang telah diterjemahkan. Ada kalanya mereka juga dapat meninggalkan bahan bacaan dalam bahasa tempatan. Walaupun ramai orang menunjukkan minat terhadap Bible, ada banyak di kalangan mereka yang buta huruf. Hal ini menjadi suatu cabaran bagi mereka yang ingin belajar Bible.
Oleh kerana mereka tidak tahu membaca Bible, mereka tidak dapat menerapkan prinsip-prinsip dalam Bible. (Yosua 1:8; Mazmur 1:2, 3) Selain itu, mereka juga menghadapi cabaran untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai orang Kristian. Contohnya, jika ibu bapa tidak tahu membaca, memang mencabar bagi mereka untuk mendidik anak-anak mereka. (Ulangan 6:6, 7) Para Saksi baharu yang buta huruf juga susah untuk menggunakan Bible semasa mengajar orang lain.
Memulakan Kempen untuk Mengajar Orang Membaca dan Menulis
Pada 1940-an dan 1950-an, Nathan H. Knorr dan Milton G. Henschel, dua saudara antara mereka yang mengambil pimpinan dalam kerja Saksi-Saksi Yehuwa, telah melawat pelbagai negara untuk mengatur aktiviti penyebaran di kawasan tersebut. Mereka menggalakkan pejabat cawangan di negara yang mempunyai banyak penduduk yang buta huruf untuk memulakan kelas membaca dan menulis di dalam sidang.
Pejabat cawangan menghantar arahan kepada sidang-sidang mengenai cara untuk mengendalikan kelas tersebut. Di sesetengah negara, para saudara dapat menggunakan program yang telah disediakan oleh kerajaan tempatan. Contohnya, di Brazil, pejabat cawangan menerima bahan dan buku teks daripada kerajaan lalu menghantarnya kepada sidang. Di negara lain pula, para Saksi sendiri yang menyediakan program membaca dan menulis.
Kelas membaca dan menulis terbuka kepada semua orang, tidak kira lelaki atau wanita, tua atau muda. Matlamat utama kelas ini ialah mengajar mereka untuk membaca dalam bahasa ibunda mereka. Hal ini bermaksud beberapa bahasa mungkin diajar dalam satu sidang.
Program yang Membantu Orang
Apakah manfaat yang telah diraih oleh mereka yang menyertai program ini? Seorang Saksi dari Mexico berkata, “Sekarang saya boleh faham maksud Bible, dan kata-kata Bible dapat menyentuh hati saya. Setelah saya belajar untuk membaca, saya lebih yakin semasa bercakap dengan orang lain, dan saya dapat mengongsi mesej Bible dengan lebih ramai orang.”
Manfaat yang diperoleh melalui program membaca dan menulis ini bukan sahaja terhad kepada pemahaman Bible. Isaac dari Burundi berkata, “Oleh kerana saya telah belajar membaca dan menulis, saya dapat belajar kemahiran pembinaan. Kerja pembinaan telah menjadi kerjaya saya, dan kini saya menyelia projek-projek pembinaan yang berskala besar.”
Jesusa dari Peru berumur 49 tahun apabila dia mula menghadiri kelas membaca dan menulis. Dia berkata, “Sebagai seorang suri rumah, saya perlu mengenal harga dan nama barangan di pasar. Dulu, hal itu sangat susah bagi saya. Tetapi sekarang, setelah saya belajar membaca, saya lebih yakin semasa membeli-belah untuk keluarga saya.”
Para pegawai kerajaan di pelbagai negara selalu memuji Saksi-Saksi Yehuwa atas usaha mereka mengajar orang untuk membaca dan menulis. Saksi-Saksi Yehuwa masih mengadakan kelas membaca dan menulis sehingga kini. Program dan alat yang digunakan mereka pun semakin berkesan. Mereka juga telah menghasilkan hampir 224 juta brosur dalam 720 bahasa untuk mengajar orang membaca atau membantu mereka yang kurang berpendidikan. a
a Sebagai contoh, brosur Apply Yourself to Reading and Writing tersedia dalam 123 bahasa, dan brosur Dengarlah Cakap Tuhan tersedia dalam 610 bahasa.