Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

HÅKAN DAVIDSSON | KISAH HIDUP

Membantu Menyebarkan Kebenaran Bible

Membantu Menyebarkan Kebenaran Bible

 Saya dilahirkan dan dibesarkan di Sweden. Semasa remaja, saya dipengaruhi oleh orang yang tidak percaya Tuhan wujud. Jadi, semasa ayah, ibu, dan adik perempuan mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa, saya tidak berminat.

 Tetapi ayah asyik menjemput saya untuk belajar Bible. Jadi, saya memutuskan untuk berbuat demikian. Saya kagum betapa tepatnya Bible semasa menyentuh topik tentang sains. Belakangan, saya diyakinkan bahawa Bible ialah Firman Tuhan dan Saksi-Saksi Yehuwa mengajar Bible dengan tepat dan hidup menurut standardnya. Pada tahun 1970, saya dibaptis pada hari yang sama dengan ayah. Ibu dan dua adik perempuan saya dibaptis beberapa tahun kemudian.

 Banyak rakan sebaya saya nampaknya hanya suka berparti. Saya mengakui bahawa semasa berumur 17 tahun, saya tertarik dengan gaya hidup mereka yang menyeronokkan. Tetapi sepasang suami isteri Saksi yang mengajar saya Bible nampak sangat gembira dan puas dalam khidmat sepenuh masa mereka sehingga saya ingin ikut jejak mereka. Akhirnya, saya pun berbuat demikian pada umur 21 tahun.

Saya dibaptis pada hari yang sama dengan ayah saya (di sebelah kiri saya)

 Merintis memberi saya sukacita yang mendalam dan saya menyesal kerana tidak mulakan khidmat ini lebih awal. Saya paling suka menginjil di pelabuhan Göteborg. Di sana, saya mengongsi kebenaran dengan pekerja kapal kargo yang berbahasa asing.

 Selama 50 tahun lalu, saya ada peluang istimewa untuk membantu menyediakan berita baik untuk orang daripada pelbagai bahasa. Mari saya ceritakan bagaimana semua itu bermula.

Bekerja dengan Menggunakan MEPS

 Untuk menyara hidup saya sebagai perintis, saya bekerja separuh masa sebagai jurutipografi. Pada masa itu, industri percetakan sedang memasuki era yang baharu. Teks dan gambar dipindahkan secara fotografi dan bukannya dengan mengatur huruf. Saya belajar untuk menggunakan alat penyusun huruf yang terkini dalam komputer untuk menyediakan plat bagi mesin cetak.

Pada hari perkahwinan kami

 Pada tahun 1980, saya berkahwin dengan Helene, seorang perintis biasa. Dia juga seperti saya yang suka berjumpa dengan orang dari pelbagai tempat dan belajar budaya baharu. Matlamat kami ialah menghadiri Sekolah Gilead dan berkhidmat sebagai mubaligh.

 Namun, oleh sebab saya ada pengalaman dalam tipografi, saya dan Helene dijemput untuk berkhidmat di Bethel Sweden. Organisasi kita berminat untuk menggunakan teknologi baharu supaya percetakan kita menjadi lebih baik. Maka, pada tahun 1983, kami dihantar ke Wallkill Bethel di New York untuk menerima latihan bagi Sistem Penyusunan Huruf Elektronik Berbilang Bahasa (MEPS) a yang baharu yang mula dicipta oleh para saudara.

Bekerja menggunakan peralatan MEPS untuk Hong Kong, Mexico, Nigeria, dan Sepanyol

 Kami mendapati bahawa MEPS ialah sistem komputer yang membolehkan teks ditaip dalam pelbagai huruf, mencantumkannya dengan gambar, dan menyusunnya untuk pencetakan. Tugas kami adalah untuk membantu menghasilkan huruf baharu menggunakan MEPS supaya bahan bacaan kita dapat dicetak dalam lebih banyak bahasa. Sekarang, puluhan tahun kemudian, Saksi-Saksi Yehuwa menerbitkan berita baik dalam lebih daripada seribu bahasa!

 Belakangan, saya dan Helene menerima tugasan di Asia untuk membantu menambahkan lebih banyak bahasa dalam MEPS. Kami sudah bersedia dan tidak sabar-sabar untuk membantu menyediakan berita baik dalam lebih banyak bahasa!

Budaya yang Berbeza

 Pada tahun 1986, saya dan Helene tiba di India. Kami perlu membiasakan diri dengan budaya yang sangat berbeza daripada budaya kami. Apabila kami sampai di Bombay, yang kini dipanggil sebagai Mumbai, kami tertekan dengan keadaan sekeliling yang baharu. Budaya orang Sweden dan India bagai langit dan bumi! Semasa minggu pertama di sana, kami betul-betul berfikir untuk pulang.

 Tetapi selepas minggu pertama itu, kami berdua membuat kesimpulan yang sama ini: “Dari dulu lagi, kami mahu jadi mubaligh. Sekarang, kami akhirnya dapat tugasan di tempat asing. Jadi, kami tidak boleh putus asa. Kami mesti mengatasi halangan-halangan ini.”

 Oleh itu, daripada melarikan diri, kami memutuskan untuk belajar sebanyak yang mungkin tentang gaya hidup yang sangat berbeza ini. Semasa kami melakukannya, saya dan Helene pun mula menyukai India. Sejak itu, kami belajar dua bahasa India, iaitu Gujarat dan Punjabi.

Pergi ke Myanmar

Memakai pakaian tempatan semasa di Dewan Perjumpaan Myanmar

 Pada tahun 1988, kami dihantar ke Myanmar, sebuah negara yang terletak di antara China, India, dan Thailand. Terdapat masalah politik di Myanmar dan sebahagian besar negara itu diperintah oleh tentera. MEPS belum lagi menyokong bahasa di sana yang tidak menggunakan tulisan rumi dan tiada perisian lain yang dapat melakukannya. Jadi, tugas pertama kami adalah untuk membantu reka aksara bagi huruf baharu dan bawa balik fail-fail itu ke Wallkill untuk dimuat naik ke dalam MEPS.

 Semasa di lapangan terbang, Helene membawa beg yang mengandungi gambar bagi huruf baharu itu. Dalam keadaan politik yang bahaya pada masa itu, kami boleh ditangkap oleh pengawal sempadan jika mereka mendapati kami membawa bahan bacaan Myanmar. Tetapi semasa Helene diperiksa, dia hanya pegang beg itu sambil menaikkan tangannya. Tiada seorang pun yang perasan beg itu!

MEPS membolehkan kami untuk meningkatkan kualiti menyusun huruf

 Selain mendapat huruf baharu, para penterjemah di Myanmar menerima komputer riba, mesin pencetak, dan latihan MEPS. Kebanyakan antara penterjemah ini tidak pernah melihat komputer, tetapi mereka sudi belajar kemahiran baharu. Tidak lama kemudian, mereka tidak lagi perlu bergantung pada mesin cetak komersial yang ketinggalan zaman yang memerlukan seseorang untuk mengatur huruf agar dapat menghasilkan satu halaman. Hasilnya, kualiti bahan bacaan kita mengalami kemajuan dengan segera.

Pergi ke Nepal

 Pada tahun 1991, saya dan Helene ditugaskan untuk membantu di Nepal, sebuah negara yang terletak di selatan Banjaran Himalaya. Pada masa itu, hanya ada sebuah sidang di sana dan hanya ada beberapa bahan bacaan yang tersedia dalam bahasa Nepali.

 Tidak lama kemudian, terdapat lebih banyak bahan bacaan diterjemahkan dan diedarkan di kawasan ini. Hari ini, terdapat kira-kira 3,000 Saksi di lebih daripada 40 sidang di Nepal, dan lebih daripada 7,500 orang menghadiri Peringatan kematian Kristus tahun 2022!

Sebuah Brosur dalam Bahasa Lahu

 Pada pertengahan tahun 1990-an, para mubaligh yang tinggal di bandar Chiang Mai, Thailand, mula menginjil kepada orang daripada suku Lahu yang tinggal di kawasan perbukitan. Lahu dituturkan oleh orang yang tinggal di sekitar sempadan China, Laos, Myanmar, Thailand, dan Vietnam. Namun, kita tidak mempunyai bahan bacaan dalam bahasa itu.

 Seorang lelaki muda yang belajar bersama para mubaligh menterjemahkan brosur “Lihatlah!” daripada bahasa Thailand ke bahasa Lahu. Kemudian, dia dan penduduk kampung Lahu yang lain mengumpulkan wang lalu mengirim brosur dan wang itu ke pejabat cawangan. Mereka juga menyertakan surat yang menyatakan bahawa mereka ingin semua orang yang berbahasa Lahu untuk mendengar kebenaran yang mereka belajar daripada brosur itu.

 Beberapa tahun kemudian, saya dan Helene berpeluang untuk melatih para penterjemah Lahu untuk menggunakan MEPS. Salah seorang penterjemah ialah seorang saudara yang baru dibaptis. Dia berkhidmat di pejabat penterjemahan di Chiang Mai. Kami sangat terkejut semasa mengetahui bahawa dialah lelaki muda itu yang menterjemahkan brosur “Lihatlah!” ke bahasa Lahu!

 Pada tahun 1995, saya dan Helene balik ke India. Kami bekerja dengan para penterjemah di pejabat cawangan dan menyediakan alat-alat MEPS yang mereka perlukan untuk kerja. Hari ini, ada cukup bahan bacaan disediakan dalam banyak bahasa di sana yang dapat membantu orang belajar dan membuat kemajuan sehingga dibaptis.

Hidup yang Memuaskan

 Saya dan Helene sudah berkhidmat di pejabat cawangan Britain sejak 1999. Kami bekerja dalam Bahagian Program MEPS di ibu pejabat sedunia. Betapa gembiranya kami dapat meluangkan sebahagian besar masa kami di London dan menginjil dalam kawasan penyebaran bahasa Gujarat dan Punjabi! Setiap kali kami nampak bahasa baharu tersedia di jw.org, kami akan cari peluang untuk menginjil kepada orang yang menuturkan bahasa itu dalam kawasan penyebaran kami.

 Saya sangat gembira kerana sejak muda lagi, saya menetapkan matlamat rohani dan bukannya ikut rakan sebaya saya yang hanya ingin hidup seronok. Semasa saya dan Helene kenang kembali, kami tidak menyesal atas keputusan kami untuk mengejar khidmat sepenuh masa. Kami gembira dapat melawat lebih daripada 30 buah negara dan melihat sendiri bagaimana berita baik mencapai setiap bangsa, suku, dan bahasa!—Wahyu 14:6.

a Kini dikenali sebagai Sistem Penerbitan Elektronik Berbilang Bahasa. MEPS juga digunakan untuk menghasilkan bahan bacaan digital.