Cuaca Melampau—Dapatkah Bible Membantu Anda Menanganinya?
Adakah anda dipengaruhi oleh cuaca yang melampau? Jutaan orang di serata dunia telah mengalami pelbagai jenis cuaca yang melampau. Taufan, siklon, dan puting beliung sering menyebabkan kenaikan paras air laut secara mendadak, banjir, atau angin kuat yang membawa kemusnahan. Hujan lebat mungkin menyebabkan tanah runtuh, dan hujan ribut boleh membawa kilat yang menyebabkan kebakaran hutan. Kemarau, gelombang haba, dan ribut musim sejuk juga membawa banyak kesan yang buruk.
Di banyak negara, cuaca yang melampau semakin kerap berlaku dan menyebabkan semakin banyak kerosakan. Menurut Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, “bilangan orang yang dipengaruhi oleh bencana juga semakin meningkat. Semakin banyak banjir, ribut, dan kemarau menjejaskan kehidupan orang dan sumber pendapatan mereka, dan memaksa jutaan orang berpindah setiap tahun.”
Apabila hal ini berlaku, orang bukan hanya menderita secara fizikal, tetapi juga secara emosi. Mereka mungkin mengalami trauma kerana kehilangan harta milik, rumah, dan bahkan orang yang tersayang.
Jika anda pernah menderita akibat cuaca yang melampau, Bible dapat membantu anda menanganinya. Bible memberikan kelegaan hati, harapan, dan nasihat praktikal yang telah membantu banyak mangsa bencana. (Roma 15:4) Bible juga menjawab soalan yang ditanya oleh ramai orang, seperti “Mengapakah Tuhan membenarkan hal ini berlaku? Adakah Dia sedang menghukum saya?”
Cuaca melampau yang berlaku pada hari ini bukanlah hukuman daripada Tuhan
Bible mengajarkan bahawa Tuhan tidak bertanggungjawab atas penderitaan manusia. Bible meyakinkan kita bahawa “Tuhan tidak boleh dicubai oleh kejahatan, dan Dia juga tidak mencubai sesiapa pun dengan hal-hal yang jahat.” (Yakobus 1:13) Hal ini bererti Tuhan bukanlah penyebab cuaca melampau yang dialami oleh orang pada hari ini.
Bible pernah mencatatkan bahawa Tuhan menggunakan bencana alam untuk menghukum orang jahat. Tetapi kejadian-kejadian itu jauh berbeza daripada cuaca melampau pada hari ini, yang melanda secara tiba-tiba dan menimpa orang yang baik dan jahat. Sebaliknya, Bible mencatatkan bahawa Tuhan selalu melindungi orang yang tidak bersalah, memberikan amaran terlebih dahulu, dan menjelaskan sebabnya Dia berbuat demikian. Contohnya, Tuhan menjelaskan mengapa Dia mendatangkan banjir besar pada zaman Nuh. Dia juga memberikan amaran terlebih dahulu, dan melindungi Nuh dan keluarganya.—Kejadian 6:13; 2 Petrus 2:5.
Untuk mengetahui lebih banyak tentang mengapa kita yakin bahawa bencana alam bukanlah hukuman daripada Tuhan, sila lihat rencana “Apakah yang Dinyatakan dalam Bible tentang Bencana Alam?”
Tuhan prihatin terhadap orang yang menderita akibat cuaca melampau
Bible menunjukkan bahawa Tuhan Yehuwa a mengambil berat terhadap manusia dan merasai keperitan mereka. Perhatikan beberapa ayat berikut yang membawa kelegaan hati.
Yesaya 63:9: “Semasa mereka menderita, Tuhan juga berasa sedih.”
Maksudnya: Yehuwa sakit hati apabila melihat manusia menderita.
1 Petrus 5:7: “Dia mengambil berat tentang kamu.”
Maksudnya: Yehuwa prihatin terhadap keadaan anda.
Keprihatinan dan belas kasihan Yehuwa menggerakkan-Nya untuk bertindak. Dia memberikan kelegaan hati melalui nasihat yang praktikal dalam Bible, dan harapan bahawa pada masa depan tidak akan ada lagi bencana yang disebabkan cuaca yang melampau.—2 Korintus 1:3, 4.
Apabila kita tidak akan mengalami cuaca yang melampau lagi
Bible mencatatkan janji Yehuwa bahawa Dia ‘akan memberi kita harapan dan masa depan yang baik.’ (Yeremia 29:11) Tuhan ingin manusia menikmati hidup di bumi firdaus, dan tidak takut kepada cuaca yang melampau.—Kejadian 1:28; 2:15; Yesaya 32:18.
Tuhan akan menggunakan Kerajaan-Nya di syurga, yang diketuai oleh Yesus, untuk mengotakan janji yang menakjubkan ini. (Matius 6:10) Yesus mempunyai kebijaksanaan dan kuasa untuk menghalang cuaca yang melampau. Apabila Yesus berada di bumi, dia telah menunjukkan kuasanya untuk mengawal cuaca. (Markus 4:37-41) Dia akan memerintah dengan pengertian dan kebijaksanaan. Dia akan mengajar manusia untuk memelihara alam semula jadi dan tidak merosakkannya. (Yesaya 11:2) Di bawah pemerintahan Yesus, manusia tidak akan menderita akibat cuaca yang melampau.
Anda mungkin tertanya-tanya, “Bilakah Yesus akan menggunakan kuasanya untuk mengawal cuaca?” Untuk menjawab soalan itu, sila lihat rencana “Bilakah Kerajaan Tuhan Akan Memerintah Bumi?”
Cara menangani cuaca yang melampau
Nasihat Bible dapat membantu anda sebelum, semasa, dan selepas cuaca yang melampau melanda.
Sebelum: Bersedia untuk bertindak dengan segera.
Nasihat Bible: “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang yang kurang pengalaman terus berjalan lalu menanggung derita.”—Amsal 22:3.
Maksudnya: Ketahuilah terlebih dahulu jenis-jenis bencana yang akan berlaku di kawasan anda supaya anda dapat bertindak dengan cepat dan melindungi keluarga anda.
Pengalaman: “Pada hari kebakaran hutan berlaku, kami dapat melarikan diri kerana kami telah membuat persediaan. Kami mempunyai beg kecemasan, ubat, dan pakaian. Orang di sekeliling kami panik dan tidak dapat berfikir dengan jelas, tetapi kami mempunyai semua yang kami perlukan. Oleh itu, saya sangat bersyukur!”—Tamara, California, A.S.
Semasa: Bertumpu kepada apa yang paling penting.
Nasihat Bible: “Biarpun seseorang mempunyai banyak harta, harta miliknya tidak memberinya kehidupan.”—Lukas 12:15.
Maksudnya: Nyawa lebih penting daripada harta milik.
Pengalaman: “Semasa Taufan Lawin b memusnahkan rumah kami, saya tidak dapat berfikir dengan jelas tentang apa yang harus saya lakukan. Tetapi saya telah melakukan satu perkara, iaitu berdoa kepada Tuhan Yehuwa. Saya sedar nyawa kami lebih penting daripada harta milik kami yang telah hilang.”—Leslie, Filipina.
Selepas: Jangan risau tentang hari esok.
Nasihat Bible: “Janganlah khuatir tentang hari esok, kerana hari esok mempunyai kekhuatirannya sendiri.”—Matius 6:34.
Maksudnya: Jangan terlalu risau tentang masalah yang akan timbul pada masa depan.
Pengalaman: “Selepas rumah saya banjir akibat Taufan Irma, saya perlu membuat banyak keputusan dan saya rasa begitu stres. Saya cuba mengikuti nasihat Bible agar tidak khuatir tentang hari esok. Saya dapati bahawa dengan bantuan Yehuwa, saya dapat menangani banyak masalah.”—Sally, Florida, A.S.
Untuk lebih banyak nasihat yang praktikal, sila lihat rencana “Tetap Bersedia sepanjang Penghujung ‘Hari-Hari Terakhir.’”
a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan.—Mazmur 83:18.
b Juga dipanggil Taufan Haima.