TERUSLAH BERJAGA-JAGA!
Amaran Pegawai Kesihatan tentang Kesan Media Sosial terhadap Kaum Muda—Apakah yang Bible Katakan?
Pada 23 Mei 2023, seorang pegawai kesihatan yang terkemuka di Amerika Syarikat memberikan amaran tentang kesan negatif media sosial terhadap kaum muda.
“Walaupun media sosial bermanfaat bagi kanak-kanak dan remaja, banyak bukti menunjukkan bahawa penggunaannya membawa kesan yang parah terhadap kesihatan mental dan fizikal mereka.”—Social Media and Youth Mental Health: The U.S. Surgeon General’s Advisory, 2023.
Laporan itu menyebut tentang beberapa hasil kajian yang membimbangkan.
Kaum muda antara umur 12 hingga 15 tahun “yang meluangkan lebih daripada tiga jam sehari untuk media sosial adalah dua kali ganda lebih berisiko mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan keresahan.”
Remaja berumur 14 tahun yang lebih banyak menggunakan media sosial mengalami masalah seperti “tidak cukup tidur, dibuli dalam Internet, berpandangan negatif terhadap penampilan diri, kurang keyakinan diri, dan kemurungan. Lebih ramai perempuan mengalami kesan-kesan buruk ini berbanding lelaki.”
Bagaimanakah ibu bapa dapat melindungi anak-anak mereka? Bible mengandungi nasihat yang praktikal.
Apa yang ibu bapa dapat lakukan
Mengambil tahu situasi anak. Sebagai ibu bapa, pertimbangkan risikonya dan tentukan sama ada anak anda dibenarkan untuk guna media sosial atau tidak.
Prinsip Bible: “Ajarilah anak haluan yang harus ditempuhnya.”—Amsal 22:6.
Untuk belajar lebih banyak, bacalah rencana “Patutkah Anak Saya Menggunakan Media Sosial?”
Jika anda membenarkan anak anda untuk guna media sosial, pastikan anda tahu risikonya dan apa yang mereka lakukan dalam Internet. Apakah caranya?
Lindungi anak anda daripada bahan yang berbahaya. Ajar anak anda untuk mengenal pasti dan mengelakkan bahan yang berbahaya.
Prinsip Bible: “Jangan ada sesiapa pun dalam kalangan kamu yang menyebut tentang perbuatan seks yang tidak bermoral, ketamakan, . . . kelakuan yang memalukan, perkara yang bodoh, atau jenaka yang lucah.”—Efesus 5:3, 4.
Untuk tahu lebih lanjut, bacalah rencana “Mengajar Anak Anda Cara Menggunakan Media Sosial dengan Selamat.”
Tetapkan batas. Contohnya, buat peraturan tentang bila dan berapa lama anak anda boleh menggunakan media sosial.
Prinsip Bible: “Perhatikanlah kelakuan kamu dengan teliti. . . . hiduplah sebagai orang yang bijak. Gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.”—Efesus 5:15, 16.
Tontonlah animasi papan putih Gunakan Rangkaian Sosial dengan Bijak untuk bantu anak anda memahami mengapa penting untuk mengawal penggunaan media sosial.