Apakah yang Bible Katakan tentang Masalah Kebuluran?
“Sifar kebuluran.” Inilah misi para pemimpin dunia, iaitu untuk memastikan semua orang di bumi mempunyai makanan yang mencukupi. a Tapi, dapatkah masalah kebuluran dibasmi? Apakah yang Bible katakan?
Nubuat Bible tentang masalah kebuluran pada zaman ini
Dari dulu lagi, Bible telah menyatakan bahawa masalah kebuluran akan berlaku pada zaman ini, yang juga dikenali sebagai “hari-hari terakhir.” (2 Timotius 3:1) Tuhan bukanlah penyebab masalah kebuluran, tetapi Dia telah memberikan amaran tentang krisis ini. (Yakobus 1:13) Perhatikan dua nubuat Bible tentang hal ini.
“Kebuluran . . . akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat.” (Matius 24:7) Nubuat Bible ini menyatakan bahawa kebuluran akan berlaku secara berleluasa. Berdasarkan satu laporan, para penyelidik bekalan makanan menyatakan, “Masalah kebuluran, bekalan makanan, dan malnutrisi yang berlaku di serata dunia menjadi semakin teruk.” b Berjuta-juta orang di banyak negara tidak dapat memperoleh makanan yang mereka perlukan. Sedihnya, hal ini menyebabkan banyak nyawa terkorban.
“Aku nampak seekor kuda hitam, dan penunggang kuda itu memegang sebuah dacing di tangannya.” (Wahyu 6:5) Dalam nubuat ini, kuda dan penunggang itu ialah lambang kiasan yang memaksudkan kebuluran pada hari-hari terakhir. c Penunggang kuda itu memegang sebuah dacing di tangannya untuk menimbang bekalan makanan yang terhad. Terdapat juga suara yang menyuruh orang ramai menggunakan bekalan makanan dengan cermat kerana harga makanan akan melambung tinggi. (Wahyu 6:6) Nubuat Bible ini jelas menunjukkan krisis makanan sedunia yang menyebabkan berbilion-bilion orang hari ini tidak dapat atau tidak mampu memperoleh makanan yang berkhasiat.
Cara masalah kebuluran akan diselesaikan
Para pakar mengatakan bahawa bumi kita dapat menghasilkan makanan yang mencukupi untuk semua penduduknya. Jika begitu, mengapakah masalah kekurangan makanan wujud? Menurut Bible, apakah yang Pencipta kita, Yehuwa, d akan lakukan untuk menyelesaikan masalah ini?
Masalah: Kerajaan manusia tidak dapat melenyapkan kemiskinan dan ketidakadilan yang menjadi penyebab masalah kebuluran.
Penyelesaian: Semua kerajaan manusia akan digantikan oleh Kerajaan Tuhan, sebuah kerajaan yang sempurna. (Daniel 2:44; Matius 6:10) Hari ini, ramai orang yang miskin tidak mampu membeli makanan. Tetapi masalah ini akan berakhir semasa Kerajaan Tuhan memerintah. Raja Kerajaan ini ialah Yesus Kristus. Mengenai Yesus, Bible kata, “Dia akan menyelamatkan orang miskin yang berseru meminta tolong, dan dia akan membantu orang yang lemah dan orang yang diabaikan. . . . Bumi akan melimpah dengan biji-bijian, dan puncak gunung akan mengeluarkan hasil yang lumayan.”—Mazmur 72:12, 16.
Masalah: Perang membawa kemusnahan dan menjejaskan ekonomi. Akibatnya, pengedaran makanan terganggu atau dihentikan.
Penyelesaian: “[Yehuwa] menghentikan peperangan di seluruh dunia. Dia mematahkan busur dan menghancurkan tombak; Dia menghanguskan semua kereta kuda.” (Mazmur 46:9) Tuhan akan menghapuskan senjata perang dan hal-hal yang mencetuskan perang. Maka, semua orang boleh dapatkan makanan dengan selamat dan mudah. Bible berjanji, “Orang yang baik akan hidup makmur dan menikmati kedamaian yang melimpah.”—Mazmur 72:7.
Masalah: Cuaca ekstrem dan bencana alam memusnahkan tanaman dan ternakan.
Penyelesaian: Tuhan akan mengawal kuasa alam dan mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk menghasilkan makanan. Bible kata, “[Yehuwa] meredakan angin ribut, dan ombak pun menjadi tenang. . . . Dia menyebabkan padang gurun menjadi kolam air, dan tanah yang kering menjadi mata air. Dia membolehkan orang yang kelaparan tinggal di sana . . . Mereka menabur benih di ladang dan menanam pokok anggur lalu menuai hasil yang lumayan.”—Mazmur 107:29, 35-37.
Masalah: Orang yang tamak dan menerima rasuah menghasilkan makanan yang tidak selamat atau menghalang makanan daripada diedarkan kepada orang ramai.
Penyelesaian: Kerajaan Tuhan akan menghapuskan orang yang tidak jujur dan tamak. (Mazmur 37:10, 11; Yesaya 61:8) Bible menyatakan bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang “membela orang yang ditindas dan memberikan makanan kepada orang yang lapar.”—Mazmur 146:7.
Masalah: Satu pertiga daripada bekalan makanan dunia dibazirkan atau dibuang setiap tahun.
Penyelesaian: Di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan, pengurusan bekalan makanan akan diatur dengan sempurna. Semasa di bumi, Yesus tidak membazirkan makanan. Contohnya, selepas menyediakan makanan secara mukjizat untuk lebih daripada 5,000 orang, dia memberitahu pengikutnya, “Kumpulkanlah baki roti supaya tiada apa-apa yang dibazirkan.”—Yohanes 6:5-13.
Kerajaan Tuhan akan menyingkirkan punca kebuluran dengan sepenuhnya. Semua orang akan menikmati makanan sihat yang berlimpah-limpah. (Yesaya 25:6) Untuk mengetahui bila Kerajaan Tuhan akan melaksanakan hal ini, lihat rencana “Bilakah Kerajaan Tuhan Akan Memerintah Bumi?”
a Agenda Pembangunan Mampan 2030 yang disokong oleh semua negara dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015.
b Laporan gabungan usaha Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB, Dana Antarabangsa untuk Pembangunan Pertanian, Tabung Kanak-Kanak PBB, Program Makanan Sedunia PBB, dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
c Untuk tahu lebih lanjut tentang penunggang kuda yang disebut dalam buku Wahyu, lihat rencana “Empat Penunggang Kuda—Siapakah Mereka?”
d Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana “Siapakah Yehuwa?”