Selamat Tinggal Hotel Bossert
Pada November 2012, Saksi-Saksi Yehuwa telah menjual Hotel Bossert. Kunci telah diserahkan kepada pemilik yang baharu. Sepertimana para penginap meninggalkan hotel, demikian juga Saksi-Saksi Yehuwa meninggalkan hotel itu. Wang yang diperoleh daripada penjualan hotel itu akan digunakan untuk menyokong kerja pendidikan Bible sedunia yang dijalankan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.
Bangunan ini memiliki reka bentuk Itali dan mempunyai 14 tingkat. Para Saksi menjual bangunan ini kerana ibu pejabat mereka akan berpindah dari Brooklyn, New York, ke bangunan baharu di Warwick, New York. Perpindahan ini dijangka mengambil masa beberapa tahun.
Sejarah Seratus Tahun
Louis Bossert, seorang pedagang kayu di New York, membina sebuah bangunan Bossert pada tahun 1909. Pada mulanya, bangunan itu merupakan sebuah “hotel apartmen” untuk penyewa sementara dan tetap. Memandangkan bangunan itu cepat dipenuhi dengan penghuni, dia membina sebuah bangunan tambahan dua kali lebih besar pada tahun 1914. Kemudian pada tahun 1916, dia membina sebuah restoran di atas bumbung bangunan itu yang bernama Marine Roof.
Sekitar tahun 1980-an, Saksi-Saksi Yehuwa membeli dan mengubahsuai bangunan itu untuk didiami oleh para Saksi yang bekerja di ibu pejabat. Dewan di dalam bangunan itu diubahsuai menjadi ruang makan. Restoran di atas bumbung itu pula diubahsuai menjadi ruang rehat untuk penghuni dan pelawat mereka.
Sejak tahun 2010, Saksi-Saksi Yehuwa dari pelbagai negara yang mengunjungi ibu pejabat telah menginap di bangunan itu.
Pemilik baharu itu merancang untuk mengubahsuai bangunan itu dari apartmen yang sederhana kepada sebuah hotel yang mewah. Projek pengubahsuaian ini adalah mudah kerana bangunan itu masih berada dalam keadaan yang sangat baik.
Mengembalikan Kemegahannya
Sebelum Saksi-Saksi Yehuwa berpindah masuk ke Bossert, bangunan itu terbiar selama bertahun-tahun. Dinding luar bangunan yang berwarna putih berada dalam keadaan yang kotor, dan birai hias di sepanjang bumbung bangunan itu rosak. Tingkap-tingkap bangunan itu juga sudah usang dan rosak. Nampaknya, hanya burung merpati yang mengunjungi Marine Roof. Maka, projek pengubahsuaian yang berskala besar dimulakan. Saksi-Saksi Yehuwa dari seluruh Amerika Syarikat menyumbangkan kemahiran dan masa mereka. Projek itu akhirnya diselesaikan pada tahun 1991.
Sepanjang pengubahsuaian dijalankan, para Saksi membersihkan dan membaiki dinding luar bangunan itu yang diperbuat daripada batu kapur dan granit. Mereka menggantikan birai hias yang usang dengan birai hias baharu yang diperbuat daripada kaca gentian. Mereka juga memasang tingkap mahogani yang baharu.
Selain itu, mereka mengubahsuai seluruh bahagian dalam bangunan itu, terutamanya bahagian lobi. Untuk memperbaiki dinding marmar yang telah rosak, mereka mendapatkan batu kapur dari kuari di Itali. Para pekerja juga membaiki ornamen siling yang telah rosak disebabkan air.
Kerja membaiki tiang-tiang besi yang besar di bahagian lobi merupakan kerja yang sangat mencabar. Permukaan tiang-tiang tersebut pada asalnya dilapisi dengan scagliola, iaitu teknik Itali yang menjadikan satu lapisan kelihatan seperti permukaan batu marmar. Namun, pemilik-pemilik sebelumnya telah berkali-kali mengecat tiang-tiang itu. Tiada pekerja sukarela yang tahu teknik itu. Di sebuah perpustakaan universiti yang berdekatan, terdapat sebuah buku yang mengandungi cara-cara untuk membuat scagliola. Dengan menggunakan maklumat dalam buku itu, para pekerja mengambil masa berminggu-minggu untuk membaiki permukaan tiang-tiang itu agar kelihatan seperti asal.
Apabila projek itu selesai pada tahun 1991, bangunan itu menjadi cantik dan berguna. Sebagai penghargaan atas kerja mereka, bangunan Bossert telah mendapat Anugerah Pemeliharaan Lucy G. Moses atas kerja memelihara bangunan dengan baik.