Majlis Penyampaian Sijil Sekolah Latihan Gilead yang ke-138
Pada 14 Mac 2015, majlis penyampaian sijil Sekolah Latihan Gilead telah diadakan di pusat pendidikan Saksi-Saksi Yehuwa di Paterson, New York. Seramai 14,000 orang telah menikmati program ini. Ada antara mereka yang menonton majlis ini menerusi siaran video secara langsung. Program ini bermula dengan selingan muzik bagi empat buah lagu Teokratik yang baru. Kemudian, para hadirin bergabung suara untuk menyanyikan lagu-lagu baru itu. a
Saudara Geoffrey Jackson, salah seorang ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa, merupakan pengerusi bagi program ini. Dalam kata-kata pembukaannya, dia menggalakkan para pelajar agar tidak kedekut ilmu. Sebaliknya, mereka harus menggunakan latihan yang diterima untuk membantu orang lain.—2 Timotius 2:2.
Saudara Jackson juga membahas tentang teladan Musa. Buat suatu ketika, khemah Musa merupakan pusat ibadat bagi bangsa Israel. Tetapi kemudiannya, khemah suci yang telah dibina menjadi pusat ibadat sejati. Musa tidak diizinkan untuk masuk ke dalam Bilik Maha Suci kerana peluang istimewa ini hanya dikurniakan kepada imam agung. Meskipun demikian, Musa tidak bersungut tentang aturan baru ini. Dia dengan setia menyokong Harun sebagai imam agung. (Keluaran 33:7-11; 40:34, 35) Apakah iktibarnya? “Hargailah tugasan yang diberikan kepada anda. Pada masa yang sama, jangan menahan orang lain daripada menikmati peluang untuk berkhidmat,” kata Saudara Jackson.
“Adakah Anda Akan Gentar kerana Bunyi Daun?” Inilah tema ceramah yang disampaikan oleh Saudara Kenneth Flodin, pembantu bagi Jawatankuasa Mengajar di bawah penyeliaan Badan Pimpinan. Dia mengatakan bahawa para pelajar mungkin menghadapi situasi yang menggentarkan, misalnya tentangan atau tugasan yang mencabar. Berdasarkan kata-kata di Bilangan 26:36, dia menggesa mereka untuk memandang situasi yang susah, bukan seperti sesuatu yang mustahil ditangani, tetapi seperti sehelai daun kering. Seterusnya, Saudara Flodin menyebut tentang contoh rasul Paulus yang berjaya menempuh banyak kesusahan kerana dia percaya kepada Yehuwa.—2 Korintus 1:8, 10.
“Apakah yang Anda Cari?” Saudara Mark Sanderson, yang juga merupakan seorang anggota Badan Pimpinan, telah menyampaikan ceramah yang seterusnya. Dia membincangkan prinsip di Amsal 13:12 yang berbunyi, “Apabila harapan hancur, hati pun hancur.” Malangnya, kebanyakan orang mengharungi kehidupan yang mengecewakan kerana mereka asyik mengejar sesuatu yang sukar dicapai, seperti kekayaan atau kemasyhuran.
Pada zaman Yesus, terdapat orang yang memiliki tanggapan yang salah terhadap Yohanes Pembaptis. (Lukas 7:24-28) Contohnya, mereka mungkin mengharapkan seorang ahli falsafah yang akan mengajar tentang idea dan teori yang menarik hati. Mereka yang mempunyai harapan sebegini pasti kecewa mengetahui bahawa Yohanes mengajarkan kebenaran, dan bukannya ajaran manusia. Ada juga yang mengharapkan seorang yang mempunyai penampilan yang mengagumkan. Tetapi, Yohanes hanya berpakaian seperti orang biasa. Namun, mereka yang mengharapkan kedatangan seorang nabi pasti bersukacita kerana Yohanes bukan sahaja seorang nabi, malah dia juga membuka jalan bagi Mesias!—Yohanes 1:29.
Saudara Sanderson menggunakan contoh ini untuk menggalakkan para pelajar agar bertumpu kepada apa yang patut semasa menjalankan tugasan mereka. Kemasyhuran atau layanan istimewa tidak harus menjadi tumpuan mereka, tetapi mereka harus menggunakan latihan yang diterima demi manfaat orang lain. Mereka boleh mengongsi apa yang sudah dipelajari di Sekolah Gilead, menguatkan iman saudara saudari, dan menunjukkan kasih kepada mereka. “Berusahalah untuk melayani saudara saudari anda dengan rendah hati dan lakukanlah kehendak Yehuwa dengan sepenuh hati. Dengan demikian, anda pasti tidak akan dikecewakan,” ujar Saudara Sanderson.
“Berikan Makanan kepada yang Lapar.” Tema ini dikembangkan oleh Saudara James Cauthon, seorang pengajar bagi Bahagian Sekolah Teokratik. Saudara Cauthon menjelaskan bahawa setiap orang mendahagakan kasih serta ingin dihargai dan diakui oleh orang lain. Yesus juga mendambakan hal yang sama. Oleh itu, Yehuwa mengungkapkan kata-kata yang menyentuh hati semasa Yesus dibaptiskan.—Matius 3:16, 17.
Yehuwa telah memberi kita kemampuan untuk menggalakkan dan menguatkan orang lain melalui kata-kata kita, dan Dia ingin kita menggunakan kurniaan ini dengan baik. (Amsal 3:27) Saudara Cauthon menggesa para pelajar: “Latihlah diri untuk mencari sifat-sifat baik orang lain dan pujilah mereka.” Pujian yang ikhlas dapat membantu rakan seiman tahu bahawa usaha mereka amatlah dihargai.
“Curahkan Segalanya hingga Titisan Terakhir.” Saudara Mark Noumair, seorang pembantu bagi Jawatankuasa Mengajar, telah menyampaikan ceramah yang seterusnya. Dia mengupas teladan rasul Paulus dan menggalakkan para pelajar untuk melakukan yang terbaik dan bukan sekadar melakukan apa yang diwajibkan sahaja. Seperti Paulus, mereka akan memperoleh sukacita yang sejati jika mereka mencurahkan usaha demi orang lain.—Filipi 2:17, 18.
Paulus tidak berputus asa walaupun berdepan dengan pelbagai dugaan. Oleh sebab Paulus terus memberikan yang terbaik sehingga akhir hayatnya, dia seolah-olah telah mencurahkan segala-galanya hingga titisan terakhir. Maka, dia dapat berkata, “Aku sudah berlari dalam perlumbaan sampai ke akhir.” (2 Timotius 4:6, 7) Saudara Noumair mendorong para pelajar untuk meniru Paulus dalam melaksanakan tugasan mereka dengan setia.
Pengalaman. Saudara Michael Burnett, salah seorang pengajar Gilead, telah mengendalikan bahagian ini. Beberapa orang pelajar Gilead telah melakonkan semula pengalaman menginjil yang dinikmati mereka semasa di Paterson.
Dari masa ke masa, para pelajar meraih hasil yang baik kerana peka terhadap peluang untuk memberikan kesaksian dan berusaha untuk menginjil dalam bahasa ibunda orang agar dapat mencapai hati mereka. Contohnya, seorang pelajar Gilead mendapat tahu bahawa terdapat banyak orang yang berbahasa Sepanyol di kawasan menginjilnya. Jadi, sebelum keluar menginjil, dia berusaha belajar beberapa ungkapan dalam bahasa Sepanyol dengan menggunakan aplikasi JW Language. Pada hari itu juga, dia bertemu dengan seorang lelaki yang bertutur dalam bahasa Sepanyol. Dengan menggunakan ungkapan yang dipelajarinya, dia telah memulakan perbualan dengan lelaki itu. Hasilnya, pembelajaran Bible telah dimulakan bersama lelaki itu dan empat orang ahli keluarganya.
Temu Ramah. Seterusnya, Saudara William Turner, Jr., seorang pembantu bagi Jawatankuasa Penyebaran di bawah penyeliaan Badan Pimpinan, menemu ramah empat orang pelajar. Dia bertanya mengenai pengalaman mereka sebelum menghadiri Sekolah Gilead serta latihan yang diterima daripada sekolah ini.
Para pelajar yang ditemu ramah berkongsi tentang isi daripada Sekolah Gilead yang telah menggalakkan mereka. Misalnya, seorang pelajar menyebut tentang perkara yang dipelajarinya berdasarkan Lukas bab 10. Setelah memperoleh hasil yang baik dalam kerja menginjil, 70 orang pengikut Yesus amat bersukacita. Yesus turut bersukacita. Namun, dia memberitahu para pengikutnya bahawa sukacita mereka tidak hanya bergantung pada hasil yang diraih, tetapi kerana usaha mereka menyenangkan hati Yehuwa. Hal ini mengingatkan kita bahawa sukacita sejati tidak bergantung pada situasi kita, tetapi pada perkenan Yehuwa.
Saudara Turner menjelaskan pengajaran di Filipi 1:6 dengan berkata bahawa Yehuwa telah “memulakan pekerjaan baik” dalam kalangan para pelajar dan Dia akan sentiasa berada di sisi mereka.
“Bertumpulah kepada Yehuwa.” Ceramah utama bagi program ini disampaikan oleh Saudara Samuel Herd, seorang ahli Badan Pimpinan. Dia menyatakan hakikat bahawa kita tidak dapat melihat Yehuwa dengan mata kasar kita. Jadi, bagaimanakah kita dapat bertumpu kepada-Nya?
Salah satu cara adalah dengan meneliti ciptaan Tuhan. Dengan demikian, kita dapat belajar tentang-Nya. Selain itu, Yehuwa “telah membuka mata hati” kita. (Efesus 1:18) Semakin kerap kita membaca Bible, semakin banyak yang akan kita pelajari tentang Yehuwa. Semakin banyak yang kita pelajari tentang-Nya, semakin erat hubungan kita dengan-Nya.
Dengan bertumpu kepada perbuatan dan pertuturan Yesus dalam catatan Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes, kita mendapat gambaran yang jelas mengenai Yehuwa. Yesus mencerminkan sifat Bapanya dengan sempurna. Oleh itu, dia dapat berkata, “Sesiapa yang sudah melihat aku sudah melihat Bapa juga.”—Yohanes 14:9.
Saudara Herd mendorong para hadirin agar tidak hanya melihat sifat Yehuwa menerusi contoh Yesus, tetapi untuk meneladaninya. Sebagai contoh, Yesus mengerahkan usaha untuk memberi orang makanan. Jadi kita juga ingin bertungkus lumus menyebarkan makanan rohani yang kita terima.
Apakah manfaatnya jika kita bertumpu kepada Yehuwa? Kita akan memiliki keyakinan seperti yang disingkapkan oleh pemazmur yang menulis, ‘Aku sentiasa sedar akan hadirat Yehuwa; Engkau ada di sampingku, tiada suatu pun dapat menggoncang aku.’—Mazmur 16:8.
Kesimpulan. Selepas sijil diserahkan, salah seorang lulusan Gilead membaca sepucuk surat penghargaan daripada kelas mereka. Sebagai penutup, Saudara Jackson mengingatkan para lulusan agar tidak berasa bahawa mereka mesti mengajarkan hal-hal yang baru atau yang mengagumkan. Sebenarnya, kebanyakan perkara yang akan diajar oleh mereka merupakan sesuatu yang sudah diketahui saudara saudari. Saudara Jackson juga menegaskan pentingnya sifat rendah hati. Para lulusan Gilead digalakkan untuk menghalakan perhatian orang kepada Bible serta bahan bacaan kita, dan bukannya kepada diri sendiri atau latihan yang diterima di Gilead. Mereka tidak harus membuat rakan seiman lain berasa tawar hati kerana tidak berpeluang menghadiri Sekolah Gilead. Sebaliknya, para lulusan dapat menggalakkan rakan seiman dengan membantu mereka meraih manfaat daripada pemberian rohani yang kita miliki. Program ini telah menyemarakkan semangat para hadirin dan menguatkan tekad mereka untuk terus berkhidmat demi saudara saudari mereka.