Lompat ke kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

“Saya Bukan Lagi Seorang yang Kejam”

“Saya Bukan Lagi Seorang yang Kejam”
  • Tahun Lahir: 1973

  • Negara Asal: Uganda

  • Latar Belakang: Ganas, kaki botol, dan hidup tidak bermoral

KISAH SILAM SAYA

 Saya lahir di daerah Gomba, Uganda. Di situ, banyak orang hidup miskin. Pada waktu malam, kami terpaksa guna minyak tanah kerana belum ada elektrik di pekan kami.

 Ibu bapa saya telah berpindah ke Uganda dari Rwanda. Mereka menanam kopi dan pisang, dan membuat waragi, iaitu minuman keras yang dihasilkan daripada pisang. Mereka juga menternak ayam, kambing, babi, dan lembu. Disebabkan budaya dan cara saya dibesarkan, saya selalu fikir bahawa seorang isteri tidak boleh meluahkan pendapatnya dan harus sentiasa patuh pada suami.

 Semasa berumur 23 tahun, saya berpindah ke Rwanda. Di sana, saya mula pergi kelab menari bersama kawan-kawan. Saya bahkan dapat masuk percuma sebab saya selalu pergi ke sana. Saya juga sangat menikmati wayang yang ganas. Lama-kelamaan saya menjadi seorang yang ganas, kaki botol, dan hidup tidak bermoral.

 Pada tahun 2000, saya hidup bersama seorang wanita muda bernama Skolastique Kabagwira, dan kami mempunyai tiga orang anak. Disebabkan cara saya dibesarkan, saya mahu Skolastique sentiasa hormati saya, dan bahkan harapkan dia untuk berlutut semasa menyambut saya atau meminta sesuatu daripada saya. Bagi saya, semua harta dalam rumah merupakan milik saya. Saya juga selalu mabuk dan balik ke rumah kira-kira jam tiga pagi. Jika Skolastique lambat buka pintu, saya akan memukulnya.

 Pada masa itu, saya mendapat gaji lumayan sebagai penyelia di sebuah syarikat sekuriti. Skolastique selalu memujuk saya untuk ikut dia ke gereja Pentecostal. Mungkin dia berharap itu dapat membantu saya menjadi lelaki yang lebih baik. Tapi saya tidak minat, dan bahkan berlaku curang terhadapnya. Akhirnya, Skolastique tidak tahan dengan perangai saya yang buruk. Maka dia membawa semua anak kami dan tinggal bersama ibu bapanya.

 Seorang kawan saya yang lebih tua menggalakkan saya untuk fikir tentang kehidupan saya. Dia menasihati saya untuk kembali kepada Skolastique, dan berkata bahawa anak-anak saya perlukan kasih sayang seorang bapa. Maka pada 2005, saya berhenti minum minuman keras, tinggalkan wanita itu, dan kembali kepada Skolastique. Kami berkahwin pada 2006, tetapi saya masih bersikap kasar dan ganas terhadapnya.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA

 Pada tahun 2008, seorang Saksi-Saksi Yehuwa bernama Joël datang ke rumah kami. Selama beberapa bulan, dia dan seorang lagi Saksi yang bernama Bonaventure, selalu mengunjungi saya dan kami mengadakan perbincangan Bible yang mendalam. Saya tanya banyak soalan, terutamanya tentang buku Wahyu. Sebenarnya, motif saya adalah untuk membuktikan bahawa ajaran Saksi tidak benar. Contohnya, saya tanya mengapa mereka percaya bahawa “kumpulan besar” yang disebut di Wahyu 7:9 akan hidup di bumi, sedangkan ayat itu menyatakan bahawa “mereka berdiri di hadapan takhta [Tuhan] dan di hadapan Anak Bebiri [Yesus Kristus].” Joël menjawab soalan saya dengan sabar. Misalnya, dia menunjukkan Yesaya 66:1 yang menyatakan bahawa Tuhan memanggil bumi sebagai ‘alas kaki-Nya.’ Maka kumpulan besar sebenarnya sedang berdiri di bumi, di hadapan takhta Tuhan. Saya juga membaca Mazmur 37:29 yang menyatakan bahawa orang yang berbuat benar akan mendiami bumi dan hidup untuk selama-lamanya.

 Akhirnya saya setuju untuk menerima pembelajaran Bible. Jadi Bonaventure telah mengajar saya dan Skolastique. Melalui pembelajaran Bible, saya terdorong untuk membuat perubahan dalam hidup. Saya belajar untuk melayan isteri saya dengan hormat. Saya tidak lagi mahu dia berlutut untuk menyambut saya atau semasa dia ingin minta sesuatu daripada saya. Saya anggap semua harta dalam rumah sebagai milik kami, dan saya berhenti tengok wayang yang ganas. Memang tidak senang untuk buat semua perubahan ini. Saya perlu berusaha sedaya upaya untuk mengawal diri dan memupuk kerendahan hati.

Bible membantu saya menjadi suami yang lebih baik

 Beberapa tahun sebelumnya, saya telah menghantar anak sulung saya, Christian, ke Uganda untuk tinggal bersama saudara-mara saya. Tetapi selepas membaca Ulangan 6:4-7, saya sedar bahawa sebagai ibu bapa, Tuhan mahu kami menjaga anak-anak kami dan mengajar mereka prinsip-prinsip Bible. Kami sekeluarga sangat gembira apabila disatukan semula!

MANFAAT YANG SAYA TERIMA

 Saya percaya bahawa Yehuwa, Tuhan yang berbelas kasihan, telah mengampuni saya atas sikap dan kelakuan saya dahulu. Saya gembira kerana Skolastique juga belajar Bible, dan kami akhirnya dibaptis bersama-sama pada 4 Disember 2010. Kini kami saling mempercayai dan berusaha menerapkan prinsip Bible dalam keluarga kami. Isteri saya sangat gembira kerana saya akan terus pulang ke rumah selepas kerja, dan saya juga melayannya dengan penuh kasih dan hormat. Dia bersyukur kerana saya bukan lagi seorang kaki botol atau ganas. Pada 2015, saya telah dilantik sebagai penatua. Tiga daripada lima orang anak kami juga telah dibaptis.

 Semasa saya mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa, saya tidak terima ajaran mereka secara membabi buta. Sebenarnya, mereka menjawab semua soalan saya dengan menggunakan Bible. Hal ini buat saya sangat kagum. Saya dan isteri sedar bahawa orang yang kata dirinya seorang penyembah Tuhan patut berusaha mematuhi semua prinsip-Nya, dan bukan hanya ikut apa yang mereka suka. Saya sangat bersyukur kerana Yehuwa memberi saya peluang untuk mengenali-Nya dan menjadi sebahagian daripada keluarga rohani-Nya. Apabila saya mengenang kembali masa lalu saya, saya yakin bahawa dengan bantuan Tuhan, semua orang dapat berubah dan hidup dalam cara yang menyenangkan hati-Nya.