Lompat ke kandungan

Menyembah Yehuwa sepanjang Masa yang Mencabar di Venezuela

Menyembah Yehuwa sepanjang Masa yang Mencabar di Venezuela

 Beberapa tahun belakangan ini, masalah ekonomi dan sosial di Venezuela menjadi semakin teruk. Seorang Saksi yang bernama Edgar berkata, “Dalam beberapa tahun sahaja, taraf hidup di sini jatuh menjunam. Kami rasa kami seolah-olah tinggal di negara yang berbeza!”

 Apakah yang membantu Edgar menyesuaikan diri? Dia berkata, “Saya dan isteri saya Carmen memikirkan contoh para mubaligh. Mereka berpindah ke negara yang miskin dan belajar untuk hidup tanpa kemudahan asas. Teladan mereka mendorong kami untuk menyederhanakan hidup kami dan belajar sesuatu yang baharu, seperti bercucuk tanam untuk mendapatkan makanan sendiri.”

Carmen dan Edgar

 Selain itu, Edgar dan Carmen berusaha melegakan rakan seiman mereka, termasuk saudara saudari yang murung. (1 Tesalonika 5:11) Edgar berkata, “Kami bukan sahaja melegakan hati mereka. Kami juga galakkan mereka untuk cuba membantu orang lain, supaya mereka pun dapat berasa sukacita.”—Kisah 20:35.

Diberkati kerana Berusaha Menginjil

 Semasa bermulanya pandemik COVID-19, Argenis memutuskan untuk menginjil kepada saudara-maranya. Sesetengah daripada mereka setuju untuk belajar Bible menerusi telefon.

Argenis

 Argenis juga ingin saudara-maranya yang tidak mempunyai sambungan Internet untuk menikmati konvensyen serantau 2020. Jadi, seorang Saksi dari pekan yang berdekatan telah memberi mereka rakaman program konvensyen. Saudara-mara Argenis pula telah meminjam sebuah TV yang besar dan alat pembesar suara. Kemudian, Argenis menelefon mereka untuk mengucapkan doa sebelum program bermula. Usaha Argenis telah membawa hasil yang baik. Empat orang saudara-maranya dan 15 orang yang lain telah menghadiri konvensyen itu.

Didorong oleh Iman dan Kasih

 Jairo dan Johana ialah sepasang suami isteri. Dalam sidang mereka, hanya mereka yang mempunyai kereta. Jadi mereka selalu menggunakannya untuk membantu orang lain. Namun, cabaran yang sering dihadapi mereka ialah minyak petrol susah didapati. Jairo berkata, “Kami perlu beratur berjam-jam untuk isi minyak. Ada kalanya, kami perlu tunggu sepanjang malam.”

Johana dan Jairo

 Jairo berasa bahawa usaha mereka untuk membantu orang lain amat berbaloi. Dia berkata, “Semasa kami hantar barang-barang kepada saudara saudari, kami rasa gembira kerana mereka mengucapkan syukur, bukan kepada kami, tetapi kepada Yehuwa. Dialah yang memenuhi segala keperluan umat-Nya.”—2 Korintus 9:11, 14.

Semua Orang Dapat Bantu

 Seorang saudari yang bernama Norianni sudah berumur lewat 20-an, tetapi dia rasa orang lain mungkin menganggapnya terlalu muda untuk memberikan bantuan. Namun, dia membaca kata-kata di 1 Timotius 4:12 yang menyatakan, “Jangan biarkan sesiapa pun memandang rendah terhadap kamu kerana kamu muda. Sebaliknya, hendaklah percakapanmu, tingkah lakumu, kasihmu, imanmu, dan kemurnianmu, menjadi contoh kepada orang yang setia.”

Norianni

 Ayat itu mendorong Norianni untuk membantu orang yang lebih tua dalam sidangnya. Norianni telah membantu mereka memberikan kesaksian menerusi surat dan bahkan menjemput mereka untuk menyertai pembelajaran Biblenya. Dia juga menelefon mereka dan menghantar mesej untuk menggalakkan mereka. Norianni berkata, “Yehuwa telah ajar saya bahawa ada banyak hal yang dapat saya lakukan untuk menolong orang lain.”

 Saudara saudari kita di Venezuela menghadapi banyak cabaran. Biarpun begitu, mereka tetap bersemangat dalam kerja penyebaran dan menjadi “sumber kelegaan hati yang besar” bagi satu sama lain.—Kolose 4:11; 2 Timotius 4:2.