Lompat ke kandungan

Ramai Orang Dicapai melalui Satu Orang

Ramai Orang Dicapai melalui Satu Orang

 Marta ialah seorang Saksi-Saksi Yehuwa di Guatemala. Dia sedang belajar bahasa Kekchi supaya dapat menginjil dalam bahasa itu. Pada suatu hari, dia nampak seorang lelaki sedang berjalan keluar dari sebuah hospital. Daripada penampilannya, Marta menyimpulkan bahawa lelaki itu datang daripada perkampungan orang Kekchi. Saksi-Saksi Yehuwa jarang dapat pergi tempat itu untuk menginjil kerana kampung itu terletak di kawasan pergunungan. Walaupun Marta hanya tahu beberapa perkataan dalam bahasa Kekchi, dia menghampiri lelaki itu dan cuba bercakap dengannya.

 Marta menawarkan pembelajaran Bible kepada lelaki itu. Dia menerima tawaran itu dengan gembira tetapi dia berkata bahawa dia tiada duit untuk membayar Marta. Marta menjelaskan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa membantu orang belajar Bible secara percuma. Marta juga berkata bahawa dia dan seluruh keluarganya boleh belajar bersama-sama menerusi telefon. Lelaki itu pun setuju. Kemudian, Marta menawarkan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Sepanyol kerana lelaki itu boleh membaca dan bertutur dalam bahasa tersebut. Dia juga menawarkan buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? dalam bahasa Kekchi. Pada minggu seterusnya, lelaki itu bersama dengan isteri dan dua orang anaknya mula belajar Bible dengan Marta menerusi telefon. Mereka belajar sebanyak dua kali seminggu. “Oleh sebab saya tidak fasih dalam bahasa Kekchi,” kata Marta, “kami belajar dalam bahasa Sepanyol kerana dia dan anak-anaknya faham bahasa Sepanyol. Kemudian lelaki itu akan menterjemahkan apa yang dipelajari kepada isterinya.”

 Lelaki itu ialah seorang paderi di gerejanya. Dia mula mengajar ahli gereja tentang hal-hal yang dipelajarinya. Ahli gereja suka apa yang didengari mereka dan ingin mengetahui dari mana dia belajar semua ajaran baharu itu. Apabila dia memberitahu mereka bahawa dia sedang belajar Bible, seorang demi seorang mula menyertai pembelajaran itu. Lama-kelamaan, kira-kira 15 orang berkumpul setiap minggu untuk belajar bersama Marta menerusi telefon. Belakangan, mereka meletakkan mikrofon berdekatan dengan telefon supaya semua orang dapat dengar.

 Apabila Marta memberitahu penatua di sidang tentang hal ini, salah seorang penatua pun pergi ke kampung itu untuk melawat pelajar-pelajar Marta. Penatua itu menjemput mereka untuk datang mendengar sebuah ceramah umum yang akan disampaikan oleh penyelia litar. a Ceramah itu akan disampaikan di sebuah kampung yang sangat jauh. Mereka perlu memandu selama satu jam dan kemudian berjalan kaki selama dua jam untuk sampai ke tempat itu. Meskipun begitu, sebanyak 17 orang pelajar telah menghadirinya.

 Beberapa minggu kemudian, penyelia litar itu dan beberapa orang Saksi meluangkan masa selama empat hari bersama pelajar-pelajar itu. Pada sebelah pagi, mereka menonton video-video di jw.org dalam bahasa Kekchi dan belajar brosur Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa? Pada sebelah petang pula, mereka menonton Siaran JW. Penyelia litar itu juga menugaskan seorang guru Bible untuk setiap pelajar.

 Selama empat hari itu, para Saksi juga menginjil di perkampungan Kekchi yang berdekatan dan menjemput mereka untuk menghadiri perjumpaan khas. Terdapat 47 hadirin yang datang dan para Saksi menawarkan pembelajaran Bible kepada mereka. Hasilnya, 11 buah keluarga menerima tawaran itu.

 Beberapa bulan kemudian, para penatua membuat aturan untuk mengadakan perjumpaan setiap minggu di kampung pertama yang dikunjungi mereka. Hari ini, kira-kira 40 orang menghadiri perjumpaan secara tetap. Sebanyak 91 orang telah menghadiri sambutan Peringatan kematian Yesus. Alangkah gembiranya para Saksi apabila melihat hasil baik ini.

 Semasa Marta mengenang kembali peristiwa ini, dia berkata, “Saya bersyukur kepada Yehuwa. Kadangkala saya rasa apa yang saya dapat buat sikit sahaja. Tetapi kita adalah seperti alat dalam tangan Tuhan. Dia tahu keadaan hati penduduk kampung itu, dan Dialah yang mendorong umat-Nya untuk mencari mereka. Yehuwa memang mengasihi mereka.”

a Penyelia litar ialah seorang penginjil Saksi-Saksi Yehuwa yang berkhidmat di sebuah litar yang merangkumi kira-kira 20 buah sidang.